Di kampung, oleh sebab kebanyakan jiran yang kebetulannya ada pertalian keluarga, maka bertukar-tukar juadah berbuka masih berlaku. Contohnya, A, B dan C terdiri daripada sebuah keluarga yang tinggal sebelah-menyebelah, maka boleh dikatakan setiap hari berlaku pertukaran juadah berbuka. Sejenis kuih dan lauk sahaja dibuat tetapi nanti apabila berbuka puasa, pelbagai jenis juadah ada di atas meja kerana berlaku apa yang dinamakan berbalas-balas juadah.

Sejak dahulu sampai sekarang, berbalas-balas juadah ini ada nilai seninya yang tersendiri. Anak-anak kecil yang baharu berlatih berpuasa akan seronok kerana merekalah yang ditugaskan oleh ibu bapa menghantar juadah ke rumah jiran atau saudara-mara.

Selepas juadah dihulurkan, lambat mereka hendak balik kerana mereka menunggu balasan daripada tuan rumah yang dihantar tadi. Jika tidak ada balasan, maka kecewalah si anak ini. Malah, jika ibu bapa tidak menyediakan juadah yang hendak diberikan, maka tarik muka masamlah juga si anak-anak kerana terpaksa bercuti menghantar juadah ke rumah orang.

Suatu masa dahulu, di kampung-kampung yang kukuh kejiranannya, pada bulan-bulan puasa seperti ini, orang sudah tahu siapa pakar buat onde-onde, siapa pakar buat tepung talam. Contohnya, A pandai buat onde-onde, B tepung talam, C buat kuih lapis, D buat pulut panggang manakala E pakar tepung bungkus. Itu belum lagi dicampur lauk-pauk yang turut dijadikan hantaran ke rumah jiran-jiran dan sanak-saudara untuk berbuka.

Kelima-kelima rumah ini boleh dikatakan selalu bertukar-tukar juadah kerana kebetulan tinggal berhampiran. Tidak mustahil F yang berjiran dengan E, D dan C tetapi agak jauh dengan A dan B akan menghantar kepada A dan B untuk melebarkan kejiranan. Andaikan F dapat banyak juadah hingga rasanya tidak habis dimakan, mungkin sedikit daripadanya dihantar kepada A, yang mungkin juadah itu dihantar oleh A kepada E dan E menghantarnya kepada F. Jadi A dapat balik juadahnya yang sudah tentunya menjentik sedikit kelucuan sebelum berbuka.

Uniknya bertukar-tukar juadah kerana juadah sudah tentunya disediakan sendiri. Juadah mesti dibuat berlebihan kerana ada niat hendak memberi kepada jiran walaupun bukannya hendakkan balasan. Yang hendakkan balasan ialah budak-budak.

Pada bulan puasa, di sesetengah kampung yang padat penduduk, sebelum berbuka puasa macam pesta mini jadinya. Budak-budak akan dikenali oleh setiap keluarga kerana selalu menghantar juadah. Tuan rumah bertanya anak siapa engkau ni? Dan oleh sebab itu, kalau jadi apa-apa insiden pun kepada budak-budak kampung, orang cepat kenal kerana ikatannya kukuh, tidak bersifat menyendiri tetapi berusaha menonjolkan diri untuk melengkapkan hubungan baik sesama mereka.

Oleh sebab zaman sudah berubah, budaya bertukar-tukar juadah ini sudah pastinya akan terkubur begitu sahaja. Di kawasan-kawasan pinggir bandar dan bandar, bertukar-tukar juadah masih juga berlaku walaupun tidak sehebat apa yang berlaku di kampung.

Di kampung pun budaya ini semakin hambar. Ramai percaya, lama-kelamaan budaya ini akan ditelan zaman juga. Ia berpunca daripada kesibukan tugas masing-masing dan juadahnya pula bukan dibuat sendiri tetapi dibeli.