BENARKAH pemilikan tanah Melayu di Pulau Pinang semakin merosot dan masa depan kampung Melayu semakin kabur akibat dihimpit pembangunan?

Dengan ‘ancaman’ pembangun­an yang semakin pesat, selama mana tanah Melayu ini sama ada kampung tra­disional atau tanah pertanian mampu bertahan atau dipertahankan? Jenguklah di kawasan Balik Pulau dan sekitarnya. Begitu juga dengan penempatan penduduk yang dihimpit dengan pembangunan di sekitar Georgetown. Sesetengah kampung akan tinggal nama. Sekadar menyebut beberapa nama, Kampung Dodol, Jelutong; Kampung Pisang dan Kampung Melayu di Air Itam; Kampung Sungai Gelugor; Kampung Masjid, Tanjung Tokong dan Kampung Tanjung Bungah. Lebih mengejutkan, ada penempatan yang kononnya diteroka oleh orang Melayu rupa-rupanya milik orang lain. Bukannya tanah dipijak milik orang tetapi kampung diduduki milik orang.

Difahamkan, pemilikan tanah Melayu sudah menguncup kepada 18 peratus pada tahun 2010. Dise­babkan tanah Melayu terutama di kampung atau luar bandar merupakan tanah pusaka berskala kecil yang diwarisi dalam kelompok ramai, akhirnya tanah itu dijual. Amat baik jika tanah itu jatuh kepada orang Melayu juga tetapi apa jadi jika keadaan sebaliknya berlaku? Lebih mendukacitakan apabila ada laporan mengatakan tanah milik koperasi dan agensi kerajaan yang sepatutnya menjaga kepenting­an orang Melayu turut terjual atas nama pembangunan.

Selak tidak pasti sama ada tanah yang masih dalam ‘genggaman’ orang Melayu itu terutama di kawasan bandar merupakan milik persendirian, syarikat atau melibatkan tanah wakaf. Berkaitan tanah wakaf pula, amat sensitif. Pelbagai usaha mahu dilakukan untuk pembangunannya tetapi hasilnya se­ring mengecewakan. Banyak halangan. Laporan Ketua Audit Negara sebelum ini juga mendapati tahap pengurusan hartanah wakaf Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) kurang memuaskan dan terdapat beberapa kelemahan. MAINPP gagal menyediakan maklumat hartanah wakaf, memberi kadar sewa terlalu rendah, pajakan tidak teratur, hartanah wakaf tidak disenggara dan perancangan projek tidak teratur. Lebih malang, tanah diceroboh juga tidak disedari.

Langkah untuk menyelamatkan tanah Melayu perlu dilakukan segera, sama ada melalui bank tanah atau usaha bersama pihak koperasi dan syarikat. Bank tanah boleh membeli semula tanah bagi menjaga kepentingan orang Melayu di negeri itu. Sebelum ini, Pergerakan Pemuda UMNO pernah mencadangkan supaya diwujudkan Majlis Amanah Tanah Melayu di seluruh negeri bagi melindungi tanah rizab Melayu selain membangunkannya. Menurut Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, Enakmen Ri­zab Melayu Negeri-negeri perlu dikuatkuasakan sepenuhnya. Semak semula senarai tanah rizab yang diwarta keluar dan pastikan tanah-tanah terlibat digantikan. Setiap pembangunan melibatkan tanah rizab Melayu perlu digantikan semula dengan keluasan yang sama atau mengambil kira nilai tanah berkenaan.

Amat malang apabila pemba­ngunan di tanah milik Melayu terutama melibatkan tanah pertanian termasuk sawah, hasilnya tidak dapat dinikmati oleh kebanyakan orang Melayu sendiri. Di Seberang Perai, semakin banyak tanah sawah yang bertukar wajah menjadi kawasan perumahan dan komersial. Hasil jualan tanah tidak seberapa dan pada masa sama, pembangunan di atas tanah berkenaan sama ada perumahan atau kedai/pejabat tidak mampu dimiliki oleh orang Melayu. Orang yang menjual hanya mampu ‘menggigit jari’ . Keadaan ini disebabkan oleh sikap pemaju perumahan yang sengaja menawarkan harga yang terlalu mahal atau ‘menyembunyikan’ kuota yang diperuntukkan kepada Melayu.

Bagi Melayu Pulau Pinang, kebanyakan mereka tidak mampu memiliki rumah mewah dan bangunan komersial yang dibangunkan. Berapa kerat orang Melayu yang mampu memiliki apartmen atau rumah kedai di kawasan Georgetown, Bayan Baru atau Ba­yan Lepas? A­khirnya mereka hanya mampu tengok projek dan yang berjaya memiliki semua itu orang luar atau pihak a­sing. Satu laporan lain menyebut, dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang, hanya segelintir Melayu akan tinggal di Georgetown. Mereka ini adalah golongan yang berpendapatan tinggi. Ketika ini pun semakin ramai yang ‘menyeberangi’ jambatan Pulau Pinang untuk berhijrah ke Seberang Perai. Begitu juga ke Kedah terutama di Kulim dan Sungai Petani.

Bagi mengelakkan nasib Me­layu semakin parah, sesuatu perlu dilakukan supaya pembangunan itu dapat dinikmati bersama. Contoh­nya pembinaan ruang kedai/pejabat perlu mengambil kira keperluan orang Melayu untuk berniaga di kawasan strategik sama ada di pekan atau bandar. Berapa kerat orang Melayu yang mampu berniaga di kawasan bandar dengan kadar sewa yang tinggi? Sebelum ini, Majlis Amanah Rakyat (Mara) ada membina kompleks perniagaan untuk disewakan. Entah di mana silapnya, kebanyakan kompleks ini ‘hidup segan mati tak mahu’.

Alangkah eloknya pihak berkuasa atau kerajaan negeri yang mempunyai tanah di kawasan bandar atau pekan ini membina kedai-kedai yang boleh disewakan kepada orang Melayu yang tidak mampu bersaing dengan kaum lain. Di samping mengutamakan keuntung­an segera, pihak berkuasa perlu melihat sama keperluan orang Melayu atau mungkin juga kaum lain yang tidak mampu membeli atau menyewa kedai-kedai ini untuk menjalankan perniagaan. Masalah ini bukan sahaja berlaku di Pulau Pinang tetapi juga di negeri-negeri lain.

Lihatlah siapa yang mampu berniaga di kedai-kedai di dalam bandar ini? Kadar sewanya juga sudah tentu tinggi kerana ia milik syarikat atau individu tertentu.

Bertindaklah! Jangan sekadar membuat desakan dan cadangan untuk mengatasi masalah tetapi tidak ada tindakan diambil. Bilakah kesudahannya jika semua pihak asyik berkomentar?