Komen cikgu itu agak pedih tetapi menyedarkan penulis untuk tidak menghasilkan karya yang mirip penghasilan orang lain. Mungkin disebabkan isinya saling bersangkut paut maka kesalahan budak darjah 5A ketika itu terampun dengan sendirinya.

Karangan yang dibuat berkisar tentang hujan lebat di kampung yang akhirnya menyebabkan musibah banjir. Bayangkan, isu banjir telah menjadi fokus cerita sejak lama dahulu. Namun sehingga kini ia masih terus diperkatakan, ibarat mimpi ngeri yang tak sudah.

Lebih menakutkan setiap kali bulan Disember hujan lebat yang kerap bukan sahaja menyebabkan banjir malahan ibarat musibah yang tidak pernah kebah. Tahun lalu di Kelantan ia menjadi bah kuning yang menenggelamkan bukit. Antara peristiwa banjir yang paling buruk dalam sejarah negara.

Sewajarnya kita sebagai manusia dikurniakan akal dan tulang empat kerat bersedia untuk menghadapi musim banjir ini dengan pendekatan yang lebih bijak dan berkesan. Di beberapa negara sama ada di England atau China setiap kali musim hujan lebat, penduduk-penduduknya akan membina ban dengan guni berisi pasir kasar. Kerja-kerja membina ban tersebu dilakukan lebih awal sebelum musim bah.

Apa salahnya, jika kita tidak mahu membina empangan kita bina pula benteng guni pasir yang lebih tinggi bagi memastikan air tidak mudah melimpah.

Tepuk dada tanya usaha, sama ada kita mahu air terus melimpahi daratan atau kita membina ban yang tinggi dan menukar sungai menjadi kolam takungan.

Langkah lain mengatasi musibah banjir ini adalah dengan mula memperbanyakkan kemudahan untuk penempatan sementara penduduk dari kawasan rendah.

Sebelum banjir, sebaiknya penempatan ini dikenal pasti untuk memastikan keselamatan penduduk lebih terjamin.

Sememangnya, penduduk terlibat sudah lali dengan fenomena banjir besar namun pihak berkuasa harus lebih proaktif untuk membantu demi mengelak bencana alam tersebut menjadi punca banyaknya nyawa yang terkorban.

Kisah penduduk yang enggan berpindah akibat yakin bah yang datang boleh dikompromi sepatutnya menjadi pengajaran. Elemen psikologi kadangkala amat mencabar penyelamat apabila keadaan tersebut berlaku.

Maka eloklah sebelum misi menyelamat bermula anggota penyelamat atau sukarelawan dilatih dengan skil memujuk yang lebih berkesan.

Jika pujuk tidak ‘makan’ maka bantuan polis boleh ditagih untuk mengarahkan mangsa banjir untuk berpindah atau dipindahkan secara paksa.

Sesungguhnya di kala bah mula melimpah-ruah kita saling bekerjasama bagi memudahkan tugas pihak berkuasa. Jika bukan kerana tugas sudah pasti kelibat anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tidak berada di rumah penduduk.

Wira tidak didendangkan ini tidak mengharap langsung diberi pangkat dan ganjaran jutaan ringgit cukuplah sekadar permintaan mereka untuk memindahkan penduduk yang terperangkap dipenuhi.

Ketika artikel ini ditulis, banjir telah mula melanda beberapa kawasan di Selangor, Perak dan Sarawak.

Pengajaran paling utama kepada kita adalah untuk tidak memandang enteng dengan kuasa alam semula jadi ciptaan Ilahi.

Tanah, air, api dan angin adalah empat unsur alam yang perlu dihormati. Jika tanah runtuh akibat gegaran, air melimpah dari sungai menyebabkan banjir, api yang besar menjadi lawan dan angin sepoi menjadi ribut maka kehidupan manusia berantakan.

Sebagai manusia, musibah adalah ujian yang mematangkan kita untuk berusaha kerana Allah tidak akan menimpakan sesuatu yang tidak mampu kita tanggung.

Hadapi musibah dengan tabah bukan terus pasrah. Berusahalah mengatasi musibah di musim banjir. Insya Allah, ada jalannya.