Pada 30 Disember 2016, selepas solat Jumaat Ketua Editor portal merdekaonline. com, Al-Azharri Siddiq Kamunri, menemui Imam Pertama dan Imam Kedua Masjid Nabawi, di Madinah Munawwarah, Arab Saudi untuk merungkaikan isu-isu umat Islam di Malaysia dan sejagat.
Imam Pertama Masjid Nabawi As- Syeikh Dr. Ali bin Abdul Rahman al -Huzaifi (kiri), dilahirkan pada 22 Mei 1947. Beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Imam Muhammad Ibn Saud (Riyadh), serta peringkat sarjana dan Ph.D di Universiti al-Azhar, Mesir.
Beliau pernah bertugas sebagai Pensyarah di Universiti Islam Madinah di Fakulti Syariah, Fakulti Hadis, Fakulti Dakwah & Usuluddin dan Fakulti al-Quran, Imam Masjid Quba’, Imam dan Khatib Masjidil Haram, Imam dan Khatib Masjid Nabawi, Ketua Lajnah Ilmiah Mushaf Cetakan Madinah Nabawiah dan Anggota Badan Tertinggi Kompleks Percetakan al- Quran Raja Fahd.
Imam Kedua Masjid Nabawi, As- Syeikh Solah bin Muhammad al -Buda ir pula dilahirkan pada tahun 1970 di bandar Hufuf Wilayah Ahsa’, Arab Saudi. Beliau memiliki sarjana muda dari Universiti Imam Muhammad ibn Saud dalam bidang Syariah.
Beliau telah menjadi Imam dan Khatib Masjid Nabawi semenjak tahun 1998 dan Qadi di Mahkamah Rayuan dan

 

 

MERDEKA-online: Bagaimana sheikh melihat politik Islam di Malaysia, khususnya dewasa ini. Umat Islam di Malaysia sangat mendambakan penyatuan dan perpaduan dalam kalangan pemimpin utama parti politik Islam di Malaysia?

As-Syeikh Dr. Ali : Satu perkara yang penting untuk anda sedari, Malaysia adalah sebuah negara Islam yang dikenali sangat baik dan aman. Nasihat saya, kekalkanlah keamanan yang dikecapi itu kerana bukannya mudah untuk mengusahakan keamanan tetapi sangat mudah untuk menghancurkan keamanan. Sebab itulah umat Islam di Malaysia mesti bersatu padu di belakang pemerintah dan Kerajaan Malaysia, bersatu menghalang musuh-musuh Islam mengkucar-kacirkan dan seterusnya menghancurkan negara anda.

Ketahuilah bahawa jarum musuh-musuh Islam sangat halus, anda tidak akan melihatnya dengan mata kasar tetapi mereka akan bermaharajalela apabila mereka memerintah. Ketika itu penyesalan sudah tidak berguna lagi. Lihatlah negara-negara sunnah yang sudah hancur seperti Iraq dan kini di Yeman dan Syria. Kedua, umat Islam jangan terlalu sibuk dengan urusan politik sahaja. Jika umat Islam terlalu sibuk dengan politik sahaja dan melupakan ibadah-ibadah lain, saya bimbang ia akan membawa bala kepada umat Islam. Percayalah, politik yang keterlaluan akan membawa bala kehancuran kepada umat Islam dan negara.

Saya menyeru kepada umat Islam di Malaysia, jangan berpecah belah disebabkan politik kerana politik adalah punca perpecahan dalam kalangan umat Islam dan merosakkan hubungan dalam kalangan ummah sehingga boleh memusuhi sesama umat Islam. Umat Islam mestilah bersatu dalam sebuah politik yang ‘satu’.

Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak membawa mesej Maqasid Syariah dalam kepimpinan. Bagaimana Sheikh melihat konsep Maqasid Syariah diamalkan di Malaysia?

As-Syeikh Dr. Ali : Pertama sekali, saya menyeru supaya kita semua bertawakal kepada Allah SWT kerana Allah SWT Maha Mengetahui apa yang kita perjuangkan untuk umat Islam. Sikap bertawakal kepada Allah SWT dalam pemerintahan negara dan kerja dakwah akan mengangkat darjat pemimpin anda lebih tinggi dalam Islam. Nasihat saya kepada pemerintah dan Kerajaan Malaysia, perteguhkanlah keimanan dan kepercayaan kepada Allah SWT, janganlah bimbang dan takut jika berada di pihak yang benar kerana Allah SWT Maha Mengetahui dan insya-Allah akan membantu kerja-kerja yang mulia.

Lihatlah sirah perjalanan kehidupan para nabi-nabi. Mereka juga tidak lari daripada ujian ketika menjadi pemimpin. Mereka bukan sahaja difitnah, malah mereka berhadapan dengan musuh-musuh yang mahu membunuh mereka. Kesan kehidupan para Nabi amat besar ertinya kepada pemimpin dan umat Islam di seluruh pelusuk dunia. Ketahuilah bahawa kehidupan para Nabi adalah sebaik-baik kehidupan. Kita perlu meneliti bagaimana Allah SWT menjayakan kehidupan dan perjuangan para Nabi. Tidak ada seorang pun yang boleh menandingi kehidupan para Nabi, tetapi kita boleh mencontohinya terutama dakwah yang mereka lakukan.

Alhamdulillah pemerintah dan Kerajaan Malaysia sangat dekat dengan dakwah Islamiah, terutama usaha beliau melaksanakan Maqasid Syariah. Ia suatu usaha yang sangat baik. Ingatlah bahawa ketaatan kepada Allah SWT akan mendatangkan keberkatan dalam kehidupan seharian. Jauhilah daripada melakukan maksiat kepada Allah SWT. Ketahuilah maksiat yang dilakukan oleh seseorang itu akan menjadikannya setaraf dengan binatang.

Kedua, kehidupan manusia ada tingkatan tersendiri. Darjat tingkatan tersebut bergantung kepada amalan kebaikan yang dilakukan. Semakin banyak amalan baik yang dilakukan maka tinggilah darjat kehidupannya di sisi Allah SWT. Ketiga, sibukkanlah diri dengan kerja-kerja dakwah kerana kerja dakwah adalah kerja yang sangat mulia. Dakwah adalah kerja para Nabi. Jadikanlah dakwah sebagai kehidupan. Allah SWT akan menolong kepada sesiapa yang melakukan dakwah.

Keempat, peliharalah solat dan bersolat berjamaah di awal waktu, solat pahalanya sangat besar di sisi Allah SWT. Kelima, jangan sesekali mensyirikkan Allah SWT. Syirik adalah perkara yang paling asas dalam kehidupan untuk dihindari.

Keenam, tauhid adalah mengikhlaskan kebergantungan kepada Allah SWT sahaja. Kebergantungan kepada Allah SWT adalah berkehendakkan kepada melakukan kebaikan dan menghalang keburukan, bertawakal kepada Allah SWT, bersandarkan harapan kepada Allah SWT, mendahulukan kecintaan kepada Allah SWT daripada selainnya serta mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ikhlas dalam melakukan amalan serta mengikut sunnah yang dibawa oleh Nabi SAW.

Ketujuh, untuk mencapai Maqasid Syariah juga umat Islam mesti melazimi membaca al-Quran serta mentadabbur dan jangan sesekali meninggalkan amalan membaca al-Quran. Sekiranya kita tidak memahami isinya, maka rujuklah kepada tafsir.