Kini PRU-14 telah memasu­ki fasa terakhir sebelum hari mengun­di iaitu berkempen untuk meraih sokongan pengundi. Tidak dapat dinafikan landasan media sosial adalah saluran kempen paling popular dan efektif tetapi kempen cara konvensional melalui penggunaan kaedah ceramah tetap popular bukan sahaja bagi parti politik tetapi juga pengundi.

Lazimnya kaedah berkempen secara berceramah lebih sukar kerana kumpulan yang hadir mempunyai latar belakang yang pelbagai dan sebab itu juga agak sukar untuk mengukur keberkesanan kempen secara ceramah ini. Kempen mengikut kaedah ini walaupun mempunyai ruang masa terhad kerana sesuai dilakukan pada sebelah malam sahaja tetapi amat digemari oleh calon dan kumpulan sasaran.

Paling digemari oleh pence­ramah adalah kerana kempen ini berlaku dalam bentuk satu hala iaitu tiada siapa yang akan mempersoalkan kandungan ceramah kerana lazimnya tiada sesi soal jawab. Tindak balas yang wujud dari kumpulan yang mendengar hanyalah melalui sorakan sama ada bersetuju atau sebaliknya dengan hujah yang disampaikan.

Sebab itu, isu yang dihujahkan dalam kempen ala ceramah ini lebih menjurus kepada isu yang populis iaitu perkara yang enak didengar walaupun perkara yang dibincangkan itu telah lama diperkatakan sebelum ini. Paling popular adalah isu pelaksanaan sistem cukai barang dan perkhid­matan (GST) yang mula diper­kenalkan penggunaannya pada 1 April 2015.

Walaupun sudah lebih dari tiga tahun berlalu tetapi isu ini tidak pernah terlepas daripada topik ceramah kerana apabila GST dikaitkan dengan harga barang, maka sudah semestinya isu ini akan mendapat sambutan pihak yang mendengar ceramah tersebut. Walaupun dibuktikan kaitan GST dengan kenaikan harga barang adalah begitu rapuh, isu sebegini sering dipergunakan di atas pentas ceramah kerana faktor harga barang dikaitkan pula dengan kos sara hidup yang sentiasa dekat di hati rakyat.

Walaupun GST telah menambahkan sumber pendapatan negara berbanding sistem cukai terdahulu iaitu SST dan menjadi salah satu sumber kewangan penting bagi skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM), penceramah sengaja menidakkan manfaat GST demi meraih simpati pengundi.

Akibat percaturan politik seperti inilah yang menyebabkan rakyat merasa mereka dianiaya oleh GST tetapi hakikatnya sebalik­nya iaitu GST banyak membantu golongan berpendapatan rendah iaitu kumpulan B40 melalui subsidi sasaran. Sebab itu, di antara lebih 160 negara yang telah mengguna pakai sistem percukaian GST, Malaysia dianggap unik kerana selepas tiga tahun diperkenalkan, perdebatan mengenai isu ini masih berlaku.

Ketika negara lain bersaing untuk menarik pelabur asing dengan pelbagai insentif menarik, kempen ceramah parti pembangkang pula bersaing untuk menghalau pelabur asing yang sudah me­labur di Malaysia. Secara logiknya perkara sebegini tidak masuk akal tetapi itulah hakikatnya berlaku dalam kempen PRU ketika ini.

Strateginya adalah sebelum isu pelaburan asing dipolitikkan, negara yang banyak melabur di Malaysia mesti dipilih untuk di kambing hitamkan. Mengikut data terkini, negara paling ba­nyak melabur melalui pelaburan langsung ialah Singapura (RM116 bilion), Jepun (RM71 bilion) dan China (RM65 bilion).

Mengapa China dipilih sebagai kambing hitam berbanding Si­ngapura atau Jepun adalah kerana China ketika ini dinilai mampu bersaing dengan Amerika Syarikat (AS) bukan sahaja dalam hal ketenteraan tetapi juga dalam bidang ekonomi.

Sebab itu, apa sahaja pelaburan dari China dengan mudah dimanipulasi untuk dipolitikkan bagi menggambarkan kedaulatan Ma­laysia telah tergadai melalui pelaburan mereka. Secara logik­nya Singapura yang sepatutnya di kambing hitamkan berdasarkan jumlah pelaburan, tetapi strategi kambing hitamkan Singapura te­lah sering digunakan untuk perkara lain yang tidak bersangkut de­ngan hal ekonomi membuatkan China menjadi pilihan utama.

Tetapi menariknya kempen ala ceramah ini yang sering mengitar semula bahan isu kempen, ia diputar sedemikian rupa hanya untuk raih simpati. Kadang kala isu yang dibangkitkan akan terpalit kepada rakan seperjuangan politik, tetapi telah diolah sehinggakan individu terbabit dengan isu tersebut langsung tidak dipersalahkan.

Sebab itu, ketika ini senario kempen ceramah umpamanya, mereka yang berada di atas pentas mungkin sebelum ini adalah seteru politik, tetapi mereka boleh berhujah isu yang berlaku ketika masing-masing berada dalam parti politik yang bertentangan, tetapi tidak timbul pula hujah yang bertentangan. Sebab itu politik dianggap sebagai seni yang memungkinkan sesuatu yang mustahil berlaku.

Mungkin juga mereka yang berada di bawah pentas seronok mendengar hujah kerana kupasan yang dibuat penceramah lazimnya berbentuk mudah difahami dan enak didengar. Tetapi dalam waktu sama kumpulan yang mendengar perlu meneliti dengan kritis terhadap hujah yang disampaikan kerana kempen yang mengitar semula isu sering bermain dengan emosi pendengar untuk meraih simpati.