Pengorbanan Pahang iaitu negeri terbesar di Semenanjung berkeluasan 3.6 juta hektar atau bersamaan luas gabungan tiga negeri, Kelantan, Terengganu dan Selangor dalam banyak perkara berkaitan kegunaan tanah memang tidak dapat dinafikan.

Dari segi kawasan berhutan, ia penyumbang terbesar dalam kalangan negeri-negeri di Semenanjung dengan keluasan 2.057 juta hektar atau 57.2 peratus daripada keluasan negeri.

Kawasan seluas 2.057 juta hektar ini kecil sikit daripada Perak iaitu negeri kedua terbesar di Semenanjung yang seluas 2.1 juta hektar.

Dan daripada 2.057 juta hektar hutan ini, 258,952 hektar merupakan kawasan tadahan air yang langsung tidak boleh ‘disentuh’ apatah lagi bagi kerja-kerja pembalakan yang merupakan lebih dua kali ganda keluasan Pulau Pinang.

Susulan itulah dalam Sidang Dewan Undangan Negeri yang lepas, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mencadangkan agar kerajaan negeri menuntut pampasan daripada Kerajaan Persekutuan ekoran ‘kos melepas’ kerana pengorbanan tersebut.

“Ini kos melepas yang terpaksa kerajaan negeri tanggung demi untuk mensejahterakan rakyat (termasuk) di luar Pahang,” katanya pada sesi soal jawab, pagi Selasa, 17 April itu.

Menurut anggaran kerajaan negeri kata Wan Rosdy lagi, ‘kos melepas’ yang terpaksa ditanggung itu ialah kira-kira RM16.4 bilion yang diharapnya Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan pemberian pampasan. Pengorbanan Pahang bagaimanapun tidak terhenti di situ sahaja malah turut meliputi seperti mana dimaklumkan pada Majlis Pembangunan Fizikal Negara (MPFN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Mac lalu dalam bidang pertanian.

Selain Pahang disebut sebagai penyumbang terbesar bagi kawasan berhutan dan tadahan air, negeri itu juga dinobatkan sebagai penyedia bagi tapak Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) paling luas meliputi kira-kira 5,157 hektar.

Kewujudan TKPM sudah tentunya penting demi memastikan pengeluaran hasil makanan dapat dipertingkatkan, seterusnya dapat menyumbang sebagai food security serta menjadi alternatif kepada pengaliran keluar banyak wang negara akibat pengimportan selama ini.

Lama sebelum ini lagi, Wan Rosdy telah mendedahkan betapa Pahang sebagai penyumbang tanah terbesar bagi pewujudan Rancangan Tanah Felda telah mengorbankan tanah seluas 203,011 hektar untuk maksud itu hingga membolehkan kira-kira 43,125 peneroka mendiami dan menyara hidup.

Daripada 203,011 hektar ini, kira-kira 179,726 hektar telah pun dikeluarkan suratan hakmilik tanah kepada 38,178 peneroka yang memenuhi syarat-syarat untuk penerimaan dokumen berharga tersebut.
 Dengan nilai konservatif semasa bagi tanah pertanian antara RM80,000 dan RM100,000 bagi setiap 0.405 hektar, beliau menganggarkan nilai antara RM35.529 bilion dan RM44.411 bilion yang telah kerajaan negeri korbankan untuknya.

“Bermakna, saya nak beritahu di sini, ‘kos melepas’ kerajaan negeri kalau kita kira, nilainya antara RM35.529 bilion dan RM44.411 bilion,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Penyampaian Suratan Hakmilik Tanah kepada 501 peneroka Rancangan Tanah Tersang 2 dan 3, pagi Isnin, 25 Jun lalu.

Dalam soal pengorbanan dan pampasan ini, rupa-rupanya ia bukanlah sesuatu yang ganjil dengan bersandarkan pengalaman di luar negara termasuk China, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) serta Vietnam. Di China, pampasan ini diberikan dalam bentuk apa yang dikenali sebagai Program Pampasan Ekologi Hutan (FECP).

Menurut beberapa artikel yang ditemui, FECP merujuk kepada program oleh kerajaan Pusat negara-negara berkenaan dalam menyediakan bantuan kewangan kepada pihak yang menguruskan hutan ekologi. Usaha untuk mewujudkan FECP dikatakan bermula lewat 1980-an dan 20 tahun kemudian terbentuklah satu dana khusus mengenainya yang dibiayai oleh kerajaan Pusat negara-negara tersebut.

Pada prinsipnya, FECP ialah program pemberian pampasan kepada mana-mana pihak yang menguruskan hutan sama ada perkhidmatan alam sekitar yang pihak pengurus tersebut sediakan atau atas pengorbanan tidak meneroka atau menggembleng hutan yang diuruskan itu.

Di negara-negara seperti AS, UK dan Vietnam malah di negara-negara Amerika Latin, Costa Rica dan juga Mexico, mereka menggunakan satu lagi pendekatan dikenali sebagai Bayaran bagi Perkhidmatan Ekosistem (PES). Sepertimana FECP, PES ditakrifkan sebagai pembayaran atau pampasan kepada pemilik tanah yang dapat memberi perkhidmatan ekosistem di kawasan-kawasan tertentu sehingga dapat dimanfaat oleh masyarakat.

Oleh itulah diharapkan, Kerajaan Persekutuan kita dapat turut bergerak ke arah pewujudan sama ada FECP atau PES agar Pahang terutamanya dapat berasa berbaloi dengan pengorbanan besar yang telah dilakukannya selama ini.