Kenyataan sebegitu mungkin lawak bunyinya, tetapi sedar tak sedar memang ada kebenarannya apatah lagi jika orang Islam berterusan leka soal halal dan haram.

Saya agak kecewa apabila sebelum ini dikatakan kedai mamak yang sekian lama menjadi pilihan rakyat Malaysia menjamu selera turut diselubungi isu halal apabila terdapat pemilik restoran tidak endah isu makanan halal.

Malah mereka ini berani pula berselindung di sebalik mempamerkan ayat-ayat suci al-Quran di dalam kedai untuk mengaburi orang Islam yang majoritinya Melayu.

Dalam hal ini kekecewaan saya ini bukan hanya dikongsi sendirian tetapi ramai umat Islam di luar sana yang marah kerana kurangnya kepekaan orang lain tentang keperluan memenuhi tuntutan halal.

Namun sama ada sedar atau tidak, kita diselubungi kemusykilan, apatah lagi isu ini sebenarnya bukan sahaja dihadapi oleh rakyat negara ini tetapi juga lebih 1.3 bilion umat Islam di seluruh dunia.

Ini terutamanya berkaitan kehendak industri halal melibatkan gelatin, satu bahan yang sering digunakan oleh industri terutama makanan, minuman dan farmaseutikal.

Apatah lagi tanpa sedar boleh dikatakan setiap hari orang Islam menelan bahan tidak halal hanya kerana ia sebahagian daripada sistem yang mengakibatkan kita terperangkap antara realiti keperluan industri dan kehendak kapitalis.

Dalam satu pertemuan dengan seorang pengusaha gelatin halal di negara ini, Dr. Mohd Fauzy Hyffny, Pengarah Urusan Leverage Business Sdn. Bhd., beliau menjelaskan industri gelatin halal dunia hanya sekitar 3 % sahaja dan selebihnya adalah tidak halal.

Kejahilan

“Kapasiti pengeluaran dunia bagi produk gelatin adalah lebih 500,000 tan dan terlalu sedikit daripada jumlah itu halal. Gelatin ini dikeluar mengikut gred iaitu gred makanan untuk industri makanan dan gred farmaseutikal untuk perubatan.

“Bayangkan makanan yang sedap kita kunyah termasuk anak-anak kita setiap hari seperti aiskrim dan coklat rupa-rupanya mengandungi gelatin babi yang ditelan tanpa rasa bersalah kerana kejahilan sendiri. Namun siapa hendak dipersalahkan kerana umat Islam itu sendiri tidak serius mahu menangani masalah mendapatkan gelatin halal ini,” kata Dr. Mohd. Fauzy.

Hakikatnya negara-negara Barat seperti Perancis, Jerman dan Belgium yang menguasai industri pembuatan gelatin yang sudah semestinya tidak halal. Negara-negara Eropah sahaja menguasai lebih 60 % pembuatan industri gelatin manakala Amerika Utara pula 20% dan Amerika Latin 17 %.

Negara-negara lain termasuk negara Islam yang mengeluarkan gelatin seperti Pakistan dan Bangladesh hanya sekitar 2 %. Pembuatan gelatin ini bergantung kepada dua asas iaitu tulang dan kulit lembu dan babi. Sebanyak 43% kulit haiwan untuk pembuatan gelatin ini adalah daripada kulit babi dan hanya 23 % diperbuat daripada kulit lembu.

Manakala penggunaan tulang dari babi dan lembu pula menguasai 16 % pengeluaran gelatin dan sumber-sumber lain pula sekitar 16 % pasaran dunia.

Itulah hakikat betapa rapuhnya penyediaan gelatin halal dunia untuk umat Islam walhal mereka ini mempunyai jumlah penganut lebih satu bilion di seluruh dunia.

Namun kita juga perlu memahami masalah utama kenapa industri gelatin halal sukar dipenuhi. Antara punca utama adalah kekurangan bahan utama seperti kulit dan tulang di negara-negara Islam.

“Masalah harga juga antara punca utama kerana di Malaysia penternak lebih gemar menjual bahagian tulang kepada peniaga kedai makan kerana sebagai contoh sup tulang lebih mahal harganya berbanding dijual kepada pengeluar gelatin kerana harga terlalu murah”.

Bergelumang

“Selain untuk industri makanan, kapsul ubat yang kita makan ketika mengambil ubat 100% mengandungi gelatin tidak halal. Malah kertas yang kita gunakan setiap hari juga mempunyai gelatin tidak halal. Bayangkan kita sebenarnya bergelumang dengan bahan tidak halal setiap hari tanpa sedar,” kata Dr. Mohd. Fauzy lagi.

Mendengar kenyataan beliau ini membuatkan saya menjadi terkedu dan sedih betapa tidak seriusnya kita tentang keperluan memenuhi kehendak dan keperluan halal.

Sedangkan kalau kita bersungguh bekerjasama sesama Islam masalah ini sebenarnya menjadi peluang terbuka untuk kita memenuhi tuntutan agama selain membuat keuntungan memandangkan ia keperluan umat bagi memenuhi keperluan halal. Apatah lagi, memenuhi tuntutan halal ini turut menjadi fardu kifayah.

Dalam hal ini, industri hab halal di negara ini sudah lama didendangkan, malangnya hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Entah di mana silapnya ia hanya menjadi projek gajah putih. Kita masih ingat lagi bagaimana National Feedlot Corporation (NFC) pernah mencetuskan kegemparan akibat beberapa kontroversi sebelum ini.

Kita mempunyai dasar yang bagus malangnya ia gagal dari segi pelaksanaan kerana salah urus tadbir selain campur tangan pihak tertentu yang menjurus kepada korupsi yang merosakkan segalanya.

Kini usaha untuk mewujudkan industri halal kembali berkumandang dan diharapkan di bawah kerajaan baharu, usaha seperti ini perlu dilakukan sebaik mungkin hingga berjaya. Kita tidak mahu drama dan skrip lama kegagalan berulang kembali.

Umat Islam di negara ini meletakkan kepercayaan tinggi terhadap usaha menjadikan hab halal di negara ini berjaya dan kerajaan Malaysia Baharu ‘wajib’ laksanakan tuntutan ini demi membuktikan mereka serius mahu membawa perubahan.

Adakalanya tidak perlu melaungkan siapa lebih Islam atau siapa tidak. Yang lebih penting buat kerja, laksanakan amanah dan tunjukkan hasilnya kepada rakyat supaya mereka boleh menilai yang mana kaca dan yang mana permata.