Laman sosial seharusnya menjadi medan untuk berkongsi menyampaikan maklumat pada perkara yang baik. Jauhi dan hentikan perkara-perkara yang tidak baik seperti fitnah, mengadu domba, membuka akaun palsu untuk mengaib dan menjatuhkan maruah orang lain, menghantar ayat-ayat berbaur lucah, hingga membawa kepada perselisihan dan persengketaan. Perbuatan yang buruk ini merupakan dosa yang wajib dihindari. Begitu juga pesanan khatib supaya pengguna media sosial memastikan kesahihan sesuatu maklumat sebelum menyebarkannya kepada orang lain. Walaupun apa yang disebarkan bukan tulisan sendiri tetapi menyebarkan sesuatu yang tidak benar itu juga berdosa.

Khatib juga mengingatkan tentang batas-batas pergaulan melalui media sosial. Pengguna media sosial diingatkan bahawa dalam keghairahan 'bertemu’ kawan-kawan lama, berkenalan dengan rakan baharu, ada batas yang perlu dijaga. Ikhtilat atau perbualan serta komunikasi dengan bukan muhrim secara melampau perlu dielakkan supaya tidak timbul fitnah sehingga merosakkan hubungan dalam rumah tangga. Dan satu perkata penting yang turut diperingatkan ialah supaya menjaga keaiban. Ada segelintir pengguna media sosial terikut-ikut dengan trend masa kini yang sama ada sedar atau tidak, suka membuka aib orang lain apabila menulis atau berkongsi maklumat atau tulisan. Begitulah peringatan kepada pengguna media sosial.

Sebenarnya khutbah seumpama ini atau peringatan sedemikian bukanlah satu perkara baharu. Bagaimanapun ia terpaksa diulang berkali-kali ketika melihat trend yang semakin membimbangkan. Amat sukar untuk membimbing segelintir pengguna media sosial ini supaya menjadi ejen penyebar kebaikan kepada semua golongan masyarakat.

Mendedahkan keaiban orang mungkin dapat dielakkan atau tidak berlaku sepantas sekarang tanpa media sosial. Hari ini tingkah laku manusia sentiasa berada 'dalam tangan’ orang awam. Penggunaan telefon bimbit memudahkan rakaman kata-kata atau perbuatan sama ada baik dan buruk. Jika sesuatu yang baik, tidak ada masalah tetapi apabila berlaku sesuatu yang buruk dan mengaibkan, kesannya amat besar. Contohnya apa yang berlaku terhadap Exco kerajaan negeri Melaka, Norhizam Hassan Baktee baru-baru ini. Video mengenai tingkah laku dan tutur katanya tular dalam masa yang singkat. Entah berapa banyak yang dikongsi sehingga beliau menerima kecaman bertalu-talu. Akhirnya beliau dan juga kerajaan negeri terpaksa memohon maaf.

Penularan video itu secara tidak langsung mendedahkan sikap tidak baik seseorang walau apa pun alasan yang diberikan. Orang ramai dapat melihat sejauh mana watak tidak baik seorang wakil rakyat yang sepatutnya mendampingi rakyat dengan cara yang lebih baik. Ingatlah siapa pun kita terutama orang Melayu, perlulah menjaga adab sopan ketika berurusan sesama manusia. Orang Melayu sejak kecil diajar supaya lebih beradab terutama ketika berhadapan dengan orang tua. Selak pernah menulis isu berkaitan adab ini. Pada 2011, Selak menulis di bawah tajuk Biar siapa pun kita...hidup biarlah beradab. Berikutnya pada September 2016 di bawah tajuk Siapa pun kita, hidup biar beradab bukan biadab. Seperti disebut, dalam era teknologi maklumat serta kehadiran kepelbagaian media sosial, tingkah laku kita sentiasa berada dalam genggaman orang iaitu melalui rakaman telefon. Justeru berhati-hatilah ketika berbicara terutama apabila ada musuh yang sentiasa mencari kesilapan. Fahami adab dan hindari biadab.

Adab membawa maksud sopan. Beradab juga membawa maksud baik budi bahasa, bertertib, baik perangai dan kelakuan; bertamadun, berkebudayaan dan telah maju tingkat kehidupan. Lawan adab pula ialah biadab. Maknanya mereka yang tidak beradab ini ialah orang yang biadab. Orang yang tidak beradab ini juga boleh dikatakan tidak bertamadun. Tetapi hari ini, ramai yang tidak peduli soal adab sama ada adab ketika berkata-kata, berkelakuan atau berpakaian. Mereka bukannya tidak tahu soal adab ini tetapi ada sesetengahnya sengaja melanggar adab semata-mata mahu menunjukkan keegoan. Apa yang penting, mereka berjaya menunjukkan sikap tidak beradab di hadapan khalayak. Mungkin mereka ini mahu disanjung rakan-rakan kerana berani melanggar adab. Kata orang matlamat menghalalkan cara. Bagi mereka, pedulikan soal adab kerana yang penting, sikap mereka itu mampu menunjukkan kepada khalayak bahawa mereka berani melanggar adab kerana adab bukan satu peraturan atau undang-undang yang wajib dipatuhi. Dan tentunya bagi mereka yang berpendirian seperti ini akan berasa lebih bertamadun.

Apa yang diharapkan, peristiwa ketelanjuran exco Melaka itu dapat dijadikan pengajaran. Jangan diulangi lagi. Sama ada orang Melayu, Cina atau India, bertindaklah secara bijak. Kadang-kadang tindak tanduk yang menjurus kepada menyakiti hati orang atau dalam erti kata lain biadab akan menyebabkan timbul isu-isu yang lebih sensitif. Hari ini, cara `mengajar’ orang yang biadab adalah dengan menyebarkan tingkah laku mereka melalui media sosial. Tidak timbul isu aib orang atau tidak kerana apa yang difikirkan ialah berani buat berani tanggung. Justeru berhati-hatilah.

Memang mudah memohon maaf apabila didesak berbuat demi­kian sama ada oleh orang ramai atau pihak berkuasa. Cuba selak kembali berapa banyak kenyataan yang sudah diucapkan yang menimbulkan kemarahan tetapi akhirnya mereka tampil memohon maaf. Sudah menjadi seperti satu budaya masyarakat di negara ini termasuk dalam kalangan pemimpin parti politik yang mengeluarkan pelbagai kenyataan sensitif, menyinggung perasaan dan melukakan tanpa memikirkan kesan buruk­nya. Terlalu mudah mereka tampil di khalayak untuk memohon maaf sedangkan hakikatnya banyak yang sudah terluka. Lebih parah, sikap mereka termasuk di Dewan Rakyat menjadi tontonan ramai termasuk dalam kalangan anak-anak yang masih bersekolah. Apakah yang diharapkan hasil tingkah laku tidak baik itu?