Amat membimbangkan lagi statistik pendaftaran Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia (KSM) difahamkan menunjukkan jumlah penurunan ke tahap perlu ditangani segera.

Statistik 2017-2019 menunjukkan pengurangan mencecah hampir 50 peratus, seolah-olah populariti SKM tidak sehebat dulu. Dalam tempoh tiga tahun sejak 2017, jumlah pensijilan SKM berkurangan daripada 80,000 kepada 59,000 orang tahun lalu dan dijangka tahun ini hanya mampu memperoleh sekitar 40,000 hingga 50,000 orang. Ini merangkumi pensijilan daripada tahap 1 hingga 5.

Penulis pernah meramal, bersuara dan mengesyorkan pelan tindakan sejak 2015 apabila melihat kelemahan, kecamukan, kaedah pelaksanaan bersifat syok sendiri dan idea retorik sama ada di peringkat pegawai pelaksana mahupun pemimpin politik yang kononnya pejuang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Ketika itu, suara penulis melalui pelbagai platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dipandang sebelah mata oleh pemimpin politik dan rasa kurang senang oleh pegawai-pegawai pelaksana di peringkat tinggi. Kesannya, penulis terpaksa berhadapan dengan pelbagai risiko yang dianggap menentang arus.

Tetapi hari ini, apa diperingatkan oleh penulis menjadi kenyataan. Angka SKM akan memberi kesan kepada justifikasi pelabur, majikan dan standard pendidikan antarabangsa seperti Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) terhadap persediaan kita menyediakan tenaga kerja mahir yang menjadi asas utama pembangunan ekonomi negara.

Dunia mengakui pendidikan adalah kunci kejayaan pembangunan negara dan TVET (termasuk SKM) adalah kunci utama. Selain angka pendaftaran SKM yang diramalkan semakin berkurangan, pembayaran tuntutan pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), KSM kepada pusat bertauliah awam dan swasta dikatakan sekitar 40 peratus sahaja (hingga Ogos tahun ini) disebabkan kebanyakan PB mengadu kesukaran memenuhi kuota pinjaman yang diagihkan kerana ketiadaan pelajar.

Persoalannya, ke manakah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mencecah hampir 500,000 orang setiap tahun? Apakah TVET terutama sijil kemahiran sudah tidak lagi menjadi ‘nilai tambah’ kepada syarat pekerjaan, keusahawanan dan syarat pekerja berpendapatan tinggi?

Statistik tahun lalu menunjukkan lepasan SPM (480,000 orang) yang mengikuti keseluruhan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta institut latihan kemahiran adalah seramai 250,000 orang sahaja. Ini bermakna, setiap tahun hampir 250,000 lagi lepasan SPM (termasuk tercicir awal) memasuki sektor pekerjaan tanpa sebarang kelulusan.

Dalam kes SKM, faktor pendorong yang menyumbang kepada trend penurunan ialah pertama, krisis keyakinan masyarakat terhadap pelaksanaan TVET, sistem pembiayaan tidak konsisten serta kaedah pensijilan kelam kabut. Pelatih dan pelajar menjadi mangsa. Ibu bapa terutamanya semakin kurang keyakinan terhadap SKM.

Kedua, sikap, persepsi dan sasaran golongan generasi Z mempunyai persepsi dan kehendak kemahiran TVET yang berbeza. Mereka percaya kepada pendekatan latihan pendek, mempunyai penjimatan kos serta tiada beban pinjaman pembiayaan serta jaminan kerja. Jika ditambah suasana ekonomi dan kebolehpekerjaan yang agak mencabar ketika ini, pendekatan SKM sedia ada akan beransur menjadi tidak relevan.

Ketiga, penguatkuasaan gaji minimum RM1,100 turut mempengaruhi generasi muda untuk tidak memerlukan latihan selepas sekolah. Tanpa sebarang bukti latihan pun, mereka boleh bekerja dengan pendapatan antara RM1,100 hingga RM1,500. Kebanyakan golongan ini kumpulan B40.

Keempat, majikan sudah lebih fleksibel dalam menilai kelulusan calon pekerja terutama pekerja tempatan. Selagi mereka mahu bekerja dengan baik, majikan menerima mereka walaupun tanpa kelulusan dan menawarkan gaji minimum. Mempunyai sijil kemahiran hanyalah satu kelebihan, bukan wajib.

Kelima, kegagalan menerapkan TVET dan menyampaikan maklumat di peringkat sekolah juga menjadi faktor kepada pengurangan minat belia terhadap SKM.

Sudah tiba masanya, pembentukan ekosistem SKM dan TVET dibentuk secara bersepadu dan serius melibatkan pemain latihan, industri, majikan dan kerajaan negeri agar konsep latihan, bimbingan dan pemantauan diterima pakai sebagai model wajib untuk memastikan minat dan keberhasilan SKM berkesan.

PENULIS ialah Pengerusi Gabungan Institut Latihan Ke-mahiran Swasta Bumiputera.