Contohnya: ”Saya ini teruk”, “Saya ini memang tidak okey, saya tak berguna!”, “Saya menyusahkan orang”, “Nasib saya memang malang”, “Saya tak cantik”, “Saya bodoh, memang saya teruk!” Kalau hal tersebut  menjadi tabiat anda, hentikanlah serta-merta kerana inilah cakap-cakap kepada diri yang menjadi racun kepada hidup anda yang mematikan hati dan membunuh semangat anda. 

Jangan mengutuk diri sendiri. Termasuk juga jika sibuk bertanya orang lain mengenai diri anda:“Saya okey ke, saya okey ke.” Sebenarnya itu tanda anda seorang yang tidak ada keyakinan diri dan sentiasa mengharapkan perhatian dan pujian orang. Usah terjerumus dalam perangkap negatif sebegini. Yang patut anda lakukan, setiap kali menyikat rambut di hadapan cermin, tolonglah bercakap yang positif tentang diri sendiri:“Bersyukur, saya ada segala-galanya yang Allah anugerahkan kepada saya. Sejak dilahirkan saya sempurna sifat. Saya yakin setiap daripada kita mempunyai kelebihan yang tersendiri, walaupun pada zahirnya nampak kekurangan atau persamaan. Tetapi hakikatnya semua orang berbeza, tidak ada yang sama.”

Percayalah, keyakinan kepada kehebatan yang ada pada diri anda amat penting bagi memberikan semangat positif untuk meneruskan kehidupan, biarpun anda berada dan dibesarkan dalam keluarga yang kurang berada atau keluarga yang serba kekurangan. Yang penting adalah kekuatan dalaman diri anda.

Keperibadian setiap individu itu sangat bergantung kepada cara didikan yang diterima kerana kanak-kanak yang dilahirkan ibarat kain putih. Ibu bapa atau penjaganyalah yang mewarnakan kehidupan mereka. Sehinggakan anak kembar seiras, yang sama daripada segi fizikal pun, jika diserahkan kepada ibu bapa yang berbeza, suasana kediaman yang berbeza, cara didikan yang berbeza, akhlak dan perangai anak kembar itu juga akan menjadi berbeza. Meskipun ada faktor genetik yang akan menyamakan keperibadian anda. Realitinya, suasana sekeliling banyak mempengaruhi, perangai dan tabiat anda.

Lakukan `senaman cermin’ untuk mempositifkan minda dan hati dengan bercakap di hadapan cermin. Contoh dialog:“Saya bersyukur, Allah berikan segala-galanya untuk saya, udara, matahari dan bulan. Terpulang kepada saya untuk tentukan apa yang hendak saya lakukan dan apa yang boleh saya buat. Saya boleh gunakan akal dan hati saya untuk memilih kehidupan yang membuatkan saya mendapat pahala atau dosa.” Ingatlah, bagaimana anda boleh mengimpikan untuk ke syurga, sedangkan anda tidak beramal sebagai penghuni syurga.

Seterusnya untuk berasa diri begitu bermakna dan berharga, anda perlu menyayangi diri sendiri, menghargai diri sendiri dan memaafkan diri sendiri. Cara pertama, berdiri di hadapan cermin dan lihat wajah anda dan renung ke dalam mata dengan penuh kasih sayang. Panggil nama anda, contohnya nama anda Muhammad:“Muhammad, saya sayang awak. Saya sangat sayangkan awak.”

Ulang kata-kata positif ini berkali-kali dari lubuk hati dengan jujur. Selalunya inilah masalah yang sering dihadapi iaitu anda tidak menyayangi diri sendiri. Sebab itulah anda suka mengutuk di samping melakukan perkara yang merosakkan diri anda sendiri.

Cuba fikirkan, jika anda sukar untuk bercakap sayang kepada diri anda, adakah mudah anda hendak mengucap sayang kepada orang lain? Ingatlah, orang yang tidak sayangi dirinya tidak akan menyayangi orang lain. Begitu juga jika anda seorang yang sentiasa tidak berpuas hati dengan diri sendiri dan tidak pernah nampak elok diri anda. Itu bermakna anda akan menjadi seorang yang sentiasa mencari kelemahan orang lain dan sukar berpuas hati. Ada sahaja yang tidak kena di mata anda.

Cara kedua, panggil nama anda ketika merenung wajah sendiri dengan `mata hati’ di cermin. Mohon maaflah kepada diri anda. Katakanlah nama anda Suraya. Sebut nama anda:“Suraya, saya banyak melakukan kesilapan kepada awak. Saya merosakkan masa hadapan saya sendiri. Saya mohon maaf banyak-banyak. Suraya, saya janji saya akan betulkan segala kesilapan saya. Saya akan jadi orang yang berguna, ada cita-cita dan masa hadapan yang positif untuk awak. Suraya, saya berterima kasih kepada awak kerana awak sentiasa ada walaupun dalam keadaan saya buruk atau baik. Saya sayangkan awak. Saya akan meninggalkan segala perangai negatif saya dan saya mahu menjadi seorang yang positif, bermanfaat untuk diri saya dan orang di sekeliling saya.”

Kebanyakan daripada kita sebenarnya tidak ada kesempatan terutama dari segi masa untuk bersendirian, merenung diri dengan `mata hati’. Manusia ini sebenarnya sering berada dalam emosi yang paling rendah, iaitu rasa bersalah dan rasa benci kepada diri sendiri dan inilah yang membuatkan anda sukar untuk berjaya, dek kerana sering ditekan oleh rasa rendah diri. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.