Agak menakjubkan juga bagi sebuah negara yang dianggap mempunyai proses demokrasi paling subur, ahli politik yang berada dalam Kongres AS gagal mencapai kata sepakat untuk meluluskan bajet yang dianggap sebagai salah satu asas penting tadbir urus sesebuah negara. Walaupun kata sepakat dicapai pada Isnin lalu untuk membolehkan operasi diteruskan tetapi ia ha­nya bersifat sementara sehingga 8 Februari sahaja.

Walaupun senario politik Ko­ngres AS yang terdiri dari dua kumpulan parti yang utama iaitu Republikan dan Demokrat dianggap sentiasa bercakaran di antara satu sama lain tetapi hakikatnya tindak tanduk ahli politik tersebut tidak dibiarkan berterusan sehingga boleh melumpuhkan pertumbuhan ekonomi AS.

Jika hendak dianalogikan, ahli politik dari parti Demokrat dianggap sebagai pembangkang kerana mempunyai jumlah kerusi yang kurang dari parti Republikan di Kongres dan juga Presiden Do­nald Trump adalah juga dari parti Republikan.

Tetapi hakikatnya adalah ­ke­dua-dua parti yang berseteru ini tidak akan melakukan sesuatu yang menjurus kepada perkara yang mampu merencat pertumbu­han ekonomi negara mereka. Jauh sekali dari membuat tuduhan liar yang boleh menggugat keyakinan pelabur asing dan agensi penarafan kredit.

Pada undian bajet yang dibuat pada Isnin lepas di Dewan Senat yang mempunyai 100 kerusi yang dikuasai oleh Republikan dengan 51 kerusi, keputusan undi 81 menyokong dan 18 menentang telah diperoleh. Menariknya, dari 81 ahli senat yang menyokong bajet tersebut, ia termasuk 33 ahli politik dari parti pembangkang iaitu Demokrat.

Jika sebelum ini ketika undian yang dibuat pada Jumaat, 33 ahli politik Demokrat tersebut mengambil sikap tidak menyokong tetapi berubah hati pada undian. Perubahan sikap tersebut tidak lebih daripada manifestasi ahli politik AS yang tidak mahu merosakkan ekonomi negara mereka. Ini kerana dianggarkan bagi setiap satu minggu operasi kerajaan persekutuan gagal berfungsi, KDNK AS akan menurun sebanyak 0.1 peratus.

Sebab itu diperhatikan walaupun nampak kecelaruan dalam politik AS seperti yang disaksikan apa yang sedang melanda Kongres AS, apabila berhadapan de­ngan perkara yang bukan sahaja melibatkan ekonomi, tetapi juga isu lain seperti keselamatan dan pendatang asing, tidak kira sama ada ahli Kongres itu dari Republikan atau Demokrat setiap keputusan yang bakal diambil adalah berteraskan kepentingan negara dan rakyat mereka.

Menarik juga jika dikaitkan dengan senario pengundian Bajet 2018 peringkat dasar di negara ini yang berlangsung di Dewan Rakyat pada 13 November lepas. Pecahan undi adalah 107 ahli parlimen menyokong, 59 menentang sementara 11 lagi tidak mengambil bahagian.

Berbeza dengan pola pengundian di Dewan Senat AS yang melangkaui kepentingan parti, begitu ketara sekali pola pengundian di Dewan Rakyat mengikut kehendak dan agenda parti politik masing-masing. 107 undi yang menyokong adalah dari BN sementara yang menentang Bajet 2018 terdiri dari ahli politik parti pembangkang sementara ahli politik dari Pas tidak me­ngundi.

Sebab itu, ditekankan tidak kira sama ada parti Republikan atau Demokrat yang menguasai Kongres atau dari parti mana Presiden AS itu berasal, tadbir urus negara tersebut tidak akan banyak berubah kerana kedua-dua parti tersebut mempunyai matlamat yang selari tidak kira perkara berkaitan ekonomi, kese­lamatan, pertaha­nan dan juga dasar luar.

Tetapi senario ini sukar untuk diguna pakai di Malaysia jika diambil contoh mudah pola pe­ngundian bajet di Dewan Rakyat yang berlaku setiap tahun. Tidak dinafikan pelaksanaan cadangan bajet adalah untuk kepentingan negara dan rakyat bukan sahaja untuk tahun fiskal berkenaan tetapi juga untuk jangka masa panjang, saban tahun pola pe­ngundian bajet adalah begitu partisan iaitu mengikut agenda parti masing-masing.

Malah bukan sahaja pengundian bajet yang mempamerkan sikap partisan ahli politik Malaysia, apa sahaja Rang Undang-Undang (RUU) yang dibahaskan dan di lakukan undian, sudah agak pasti keputusan yang diperoleh adalah seperti yang dijangkakan.

Walaupun Parlimen Malaysia yang terdiri dari Dewan Rakyat dan Dewan Negara dianggap sudah begitu matang kerana berada dalam siri ke-13, tetapi hakikatnya banyak perkara yang boleh dipelajari dari kekalutan senario politik AS terutama sekali apa yang sedang melanda Kongres mereka.