Perkara 13 Perisytiharan PBB mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP) menyatakan: “Orang Asal mempunyai hak untuk menggiatkan semula, menggunakan, membangunkan dan mewariskan kepada generasi akan datang sejarah, bahasa, tradisi lisan, falsafah, sistem penulisan dan kesusasteraan dan untuk menamakan dan mengekalkan nama sendiri untuk komuniti, tempat dan orang perseorangan.”

Daripada 137 bahasa yang ditutur di Malaysia sekarang, lebih 100 adalah bahasa Orang Asal dan Orang Asli. Pemeliharaan bahasa-bahasa ini bergantung kepada penggunaan dan penyampaian berterusan dari satu generasi ke generasi lain.

Walaupun bahasa Orang Asal di Sabah dan Sarawak masih terus berkembang, ada sebahagian daripadanya terutama di kawasan terpencil di kedua-dua negeri itu termasuk bahasa-bahasa lain yang ditutur oleh sebahagian daripada 100,000 Orang Asli di Semenanjung semakin diancam kepupusan.

Dalam pada itu, di Semenanjung, cabaran yang sering dialami kanak-kanak Orang Asli adalah rintangan bahasa. Ini kerana mereka membesar dengan bahasa berbeza daripada yang diajar di sekolah. Perkara ini memberi kesan kepada penyertaan mereka dalam sistem pendidikan dan kecemerlangan dalam pelajaran. Ini mengehadkan keupayaan Orang Asli untuk terus memajukan kehidupan mereka.

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menggalakkan pendekatan pendidikan dwibahasa atau pelbagai bahasa yang berasaskan bahasa ibunda. Kajian menunjukkan ia mempunyai kesan positif terhadap pembelajaran dan hasil pembelajaran.

Sejak dua dekad lalu, terdapat beberapa usaha untuk mengiktiraf pelbagai bahasa Orang Asal dan Orang Asli secara formal dan melalui sistem pendidikan seperti pengiktirafan bahasa Iban sebagai subjek sekolah di Sarawak pada awal 1990-an dan pengenalan semula bahasa Kadazandusun di sekolah pada 1997.

Suhakam akan terus memberi sokongan kepada segala usaha kerajaan agar Orang Asal dan Orang Asli di Malaysia mendapat akses pendidikan secara sama rata dan berkualiti.

SUHAKAM

Kuala Lumpur