Menurut Ketua Pejabat Pentadbiran Kerajaan Tempatan Lohjood, Sulkeefree Jehmamah (gambar), bantuan yang dihulurkan kepada mangsa banjir di Kelantan adalah atas dasar hubungan persaudaraan dan kekeluargaan.

“Kelantan dan Narathiwat sebenarnya hanyalah dua buah tempat yang disempadankan negara berbeza. Hakikatnya, ramai orang Narathiwat mempunyai saudara-mara yang tinggal di Kelantan begitu juga sebaliknya.

“Justeru, kita memang hulur bantuan setiap kali banjir melanda dengan memberikan bantuan seperti makanan, pakaian serta barang keperluan harian lain.

“Oleh demikian, kita sentiasa sediakan bekalan tersebut yang disimpan dalam stor dan diedarkan kepada mangsa-mangsa banjir sekiranya bencana tersebut melanda di sini (Narathiwat) dan juga Kelantan,” katanya apabila dikunjungi S2 di pejabatnya dekat Buketa, Narathiwat.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa simpati dan sedih terhadap bah kuning yang melanda bumi Kelantan pada tahun lalu sambil menyifatkan banjir di Kuala Krai adalah paling buruk.

“Saya terkejut dan tidak menyangka begitu dahsyat sekali banjir melanda Kuala Krai sehingga memusnahkan ribuan rumah penduduk dan meruntuhkan beberapa jambatan sehingga terputus hubungan darat.

“Saya juga terkejut selepas melihat sendiri banyak kayu-kayu balak memenuhi sungai-sungai di Kuala Krai termasuklah Sungai Kelantan.

“Oleh demikian, kami juga mengambil iktibar daripada peristiwa tersebut. Selain itu, penduduk juga haruslah sentiasa berwaspada ketika musim tengkujuh,” ujarnya.