Banjir yang berlaku itu turut melanda Kuala Lumpur dan terburuk pernah berlaku sehingga banyak merosakkan harta benda penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Klang dan Sungai Gombak.

Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak mengisytiharkan darurat dalam reaksi kepada ramalan kaji cuaca, hujan lebat tanpa henti selama seminggu yang dijangka memburukkan lagi keada­an.

Kebanyakan penduduk di sekitar Lembah Klang yang tinggal di kawasan rendah terpaksa dipindahkan ke kawasan-kawasan lebih tinggi. Sistem perhubungan jalan raya dan kereta api terputus hubungan.

Perkhidmatan telegraf dan telefon kebanyakan kawasan tidak berfungsi sepenuhnya. Begitu juga kerosakan harta benda awam dan persendirian.

Banyak pejabat kerajaan dan rumah musnah akibat banjir yang dipenuhi lumpur dan pasir di kawasan-kawasan ter­tentu sehingga mengganggu dan menghalang kerja-kerja pembaikan dan jaringan hubungan.

Menurut buku Kuala Lumpur 100 tahun (1971) terbitan Majlis Perbandaran, pada Januari 1971 Bangunan Sultan Abdul Samad yang terletak di hadapan Dataran Merdeka turut di­naiki air lumpur dengan ketinggian paras air mencecah enam kaki.

Ketinggian paras air itu turut melanda kawasan-kawasan perkampungan dan perumahan serta dan jalan raya utama di kawasan rendah sehingga ramai kehilangan tempat tinggal dan harta benda akibat dihanyutkan banjir termasuk beratus-ratus kenderaan seperti lori, kereta dan bas tersadai ditenggelami air.

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 5 Januari 1971 memuatkan berita “Bencana Kebangsaan” melaporkan, negara berada dalam Bencana Kebangsaan dan Markas Darurat Banjir ditubuhkan di Parlimen untuk menghadapi sebarang kemungkinan banjir yang lebih buruk.

Laporan itu memetik, Tun Abdul Razak telah mengarahkan pembentukan pusat itu ketika banjir di Selangor dan negeri-negeri lain.

Jumlah kematian akibat banjir di seluruh negara meningkat kepada 20 orang dan mereka yang dipindahkan lebih daripada 95,000 orang.

Jumlah paling besar yang dipindahkan ialah di Pahang iaitu 40,000 orang, kedua Johor hampir 17,000 orang dan ketiga Selangor 14,000 orang.

Tun Razak mengumumkan pembentukan Pusat Darurat itu setelah mengadakan mesyuarat tergempar dengan Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Katanya, seluruh negara dalam banjir kecuali Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

“Kita mesti menganggap diri kita berada dalam Bencana Kebangsaan, Saya telah mengarahkan supaya Jabatan Telekom, Kerja Raya, Elektrik Negara dan kereta api untuk membolehkan perhubungan dapat berjalan lancar.

“Ini bagi membolehkan bantuan-bantuan dapat disampaikan kepada mangsa-mangsa banjir dengan segara,” jelasnya (Utusan Malaysia 5 Januari 1971).

Berikutan kejadian banjir pada 1971 itu yang mengakibatkan kerugian harta benda dianggarkan melebihi RM84.7 juta, Pejabat Tambatan Banjir Kuala Lumpur telah ditubuhkan untuk mengatasi masalah kejadian banjir di Lembah Klang.

Proses pemba­ngunan dan perbandaran yang berlaku di Kuala Lumpur antara penyebab utama berlakunya banjir besar itu.

Di Kuala Lumpur terdapat dua sungai utama yang pesat membangun di kawasan sekitarnya iaitu Sungai Klang dan Sungai Gombak.

Aktiviti manusia yang tidak mengambil berat tentang tuntutan alam sekitar memburukkan lagi keadaan.

Penebangan pokok-pokok, pembersihan hutan, parit tersumbat dan aktiviti pembuangan sampah ke dalam sungai yang tidak terkawal memburukkan lagi keadaan.

Keadaan itu mengakibatkan aliran air sungai tersekat dan menyebabkan paras air me­ningkat secara mendadak ketika hujan lebat.

Pada 1978 Jabatan pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan telah ditubuhkan untuk melaksanakan fungsi-fungsi tambahan yang diperlukan di Kuala Lumpur.