Bukti penjajahan tersebut dapat dilihat melalui artifak-artifak dan harta yang ditinggalkan oleh mereka sama ada dokumen, ataupun bangunan.

Oleh itu, kita dapat melihat garis masa negara ini yang pernah melalui beberapa era penjajahan sejak kedatangan Portugis pada 1511 hinggalah British bersetuju mengisytiharkan Tanah Melayu sebagai sebuah negara merdeka.

Semua itu kita boleh lihat melalui bangunan-bangunan yang mereka bina seperti A’Famosa dan Stadhuys di Melaka, Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur dan Stesen Kereta Api di Ipoh.

Namun terdapat sebuah banglo eksklusif dan mewah di puncak bukit menandakan pemiliknya adalah orang yang berkuasa. Ini kerana pemandangan dari rumah tersebut menunjukkan setiap pelusuk Kuala Lumpur.

Carcosa adalah nama rumah tersebut yang terletak di bukit dekat Taman Tasik Perdana. Ia dibina sekitar 120 tahun yang lalu.

Banglo itu masih tersergam indah, meskipun sudah berusia lebih seratus tahun, kata arkitek dari Hajeedar and Associates, Datuk Ar. Hajeedar Abdul Majid, Carcosa mempunyai pengaruh yang begitu besar dan tapaknya pula sering diintai ramai pihak.

“Carcosa dibina pada 1896 oleh seorang arkitek yang hebat iaitu A. C. Norman dan dibantu oleh seorang arkitek berpengaruh, Arthur Benison Hubback.

“Apabila siap dibina, Carcosa mula diduduki dan penghuni pertamanya ialah Sir Frank Athelstane Swettenham (Frank Swettenham) iaitu Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang pertama.

“Melihat siapa penghuninya, maka jelaslah Carcosa disebut sebagai tempat paling berpengaruh dan dimiliki oleh orang yang berkuasa.

“Rumah tersebut dibina dengan kos kira-kira Dolar State $25,000. Kalau itulah nilainya sekarang, tentu ramai boleh beli atau bina,” katanya ketika ditemubual S2.

Menyingkap awal pembinaan banglo tersebut, katanya, seni bina Neo Gothic dan Tudor menjadi pilihan Pesuruhjaya Tinggi itu untuk kediaman dua tingkatnya.

“Konsep ini adalah seni bina Britain. Ia mudah dikenali kerana warnanya adalah hitam dan putih.

“Selain Carcosa, konsep Tudor boleh dilihat pada bangunan-bangunan lama di Cameron Highlands dan Bukit Fraser, Pahang, selain bangunan Kelab Selangor di Dataran Merdeka yang kini dikenali Kelab Diraja Selangor.

“Cuma satu yang semua orang kena tahu, Carcosa dan Seri Negara adalah dua bangunan berbeza. Namun, ia juga dibina oleh Sir Frank Swettenham sebagai tempat penginapan tetamu kenamaan.

“Dahulu nama Seri Negara adalah King’s House. Ia menyediakan penginapan kepada tetamu kenamaan, selain menjadi tempat perlindungan kepada Gabenor Negeri- Negeri Selat,” jelasnya.

Menurut Hajeedar lagi, sebagai kediaman mewah, Carcosa turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gelanggang tenis dan sebagainya.

“Ciri-ciri Carcosa jelas melambangkan kemewahan kerana kedudukannya di atas bukit berkeluasan 7.2 hektar.

“Ia turut dilengkapi dengan tujuh bilik tidur dan sembilan bilik air.

“Menariknya, bilik tidur utamanya berhubung dengan balkoni yang terletak di anjung letak kereta, betul-betul menghadap taman bunga di hadapan banglo tersebut.

“Sementara pemandangannya pula memperlihatkan seluruh ruang udara Kuala Lumpur. Cuma dahulu, belum ada bangunan pencakar langit,” ujarnya yang pernah diberi tangunggjawab untuk mengubahsuai Carcosa pada tahun 1989.