Meneliti apa yang diperbincangkan oleh masyarakat dunia dalam laman-laman sosial berikutan tindakan ganas, kejam dan biadab tersebut, keseluruhan mereka bersetuju, sudah tiba masanya bagi semua pihak di mana jua untuk menghentikan tindakan yang boleh mencetuskan perasaan benci kepada sesuatu kaum, kelompok mahupun agama.

Dalam kes pembunuhan yang dilakukan oleh Brenton Tarrant, jelas sekali ucapan pemimpin politik seperti Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menjadi salah satu inspirasi kepadanya untuk melancarkan serangan tidak berperikemanusiaan tersebut.

Dan ketika kemarahan di seluruh dunia meningkat berikutan tragedi Christchurch, seorang lagi ahli politik iaitu Senator Australia, Fraser Anning membuat kenyataan mengaitkan peristiwa itu dengan tindakan Imigresen membenarkan pendatang agama Islam memasuki New Zealand.

Di Malaysiapun, ada juga ahli politik membuat kenyataan dangkal yang boleh mencetuskan kemarahan umat Islam.

Hakikatnya, politikus seumpama ini tidak layak untuk disokong kerana jika keceluparan ini berterusan ia boleh membawa petaka kepada masyarakat dunia di mana jua.

Adalah lebih baik jika ahli-ahli politik lebih bijak membuat kenyataan atau ucapan politik. Tidak salah untuk meraih sokongan mana-mana kelompok tetapi jangan sampai meniup kebencian kepada kaum lain.

Sementara kita amat bersimpati dengan apa yang berlaku di New Zealand, kita berdoa politik kebencian tidak disemarak di negara ini yang mempunyai pelbagai kaum.

Menyokong mana-mana parti adalah hak demokrasi, untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya adalah hak parti yang bertanding tetapi janganlah menggunakan modal yang boleh meruntuhkan negara.

Kita tahu ada ahli politik di negara ini yang mahu dilihat wira memperjuangkan kaum mereka, tetapi janganlah membangkitkan kemarahan kaum lain sehingga ia akhirnya mencetuskan permusuhan

Sebab itulah kita terganggu dengan kenyataan-kenyataan tidak masuk akal sesetengah ahli politik yang melihat kerjasama UMNO dan Pas dari sudut perkauman.

Malah tanpa mereka sedari menggunakan istilah ‘taliban’ atau ekstremis ketika mengulas kerjasama tersebut sebenarnya secara tidak langsung mengaitkan ia dengan Islam.

Itulah yang berlaku di seluruh dunia, apabila terbentuknya anti Islam akibat kenyataan tidak berhati-hati oleh ahli-ahli politik.

Atas sebab itulah, kalau membaca ulasan dan reaksi masyarakat tanpa mengira kaum dan agama berikutan tragedi Jumaat berdarah di Christchurch, mereka menggesa supaya sentimen kebencian terhadap Islam dihentikan.

Tidak dapat dinafikan dalam kalangan orang Islam ada yang bertindak pengganas tetapi mereka tidak mewakili 1.6 bilion umat Islam di seluruh negara.

Golongan yang menggunakan kekerasan dan keganasan atas nama Islam, bukan penganut Islam sejati, sebaliknya mereka adalah syaitan bertopengkan manusia.

Jumlah mereka pula amat kecil dan tidak signifikan dengan jumlah umat Islam secara keseluruhan. Tindakan mereka tidak mendapat restu umat Islam kerana bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Firman Allah SWT dalam surah An Nahl ayat 125 bermaksud; “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Sebagai seorang Islam, kita berasa sedih dan kecewa kerana masih ada dalam kalangan ahli politik seolah-olah cuba menakutkan penganut lain terhadap agama suci ini.

Mungkin mereka tidak bermaksud sedemikian tetapi itulah persepsi yang wujud sehingga ia membangkit kemarahan umat Islam.

Jadi matanglah dalam berpolitik. Jangan ingat apa yang berlaku di Christchurch tidak boleh berlaku di negara ini jika kita tidak berhati-hati dalam tingkah laku dan tutur kata yang boleh menyemarakkan kebencian sesama kaum dan agama.

Apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW seperti mana diriwayatkan dalam sebuah hadis sahih menjadi bukti umat Islam diajar untuk menghormati kaum atau penganut agama lain.

Hadis itu memaparkan bagaimana baginda berdiri memberi penghormatan kepada rombongan membawa mayat seorang Yahudi. Salah seorang sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, bukankah dia orang Yahudi? Rasulullah SAW menjawab, “Bukankah dia juga manusia.’’.

Kesimpulannya jadikanlah apa yang berlaku di Christchurch sebagai peringatan terbaharu kepada kita semua termasuk ahli politik, janganlah menjadikan soal agama dan kaum sebagai modal meraih sokongan apatah lagi populariti.

Tidak salah berpolitik, tidak salah untuk mencari kuasa politik tetapi ia harus dilakukan berhati-hati. Jangan bertindak yang lambat laun akan menjemput malapetaka di negara ini akibat bersemaraknya semangat kebencian. Tragedi berdarah di Christchurch sudah menjadi bukti!