Syarikat Utusan Melayu Press Limited lahir lebih awal lagi, kurang setahun sebelum itu iaitu pada 18 Jun 1938. Hampir setahun pengasasnya, Yusof Ishak mengambil masa sebelum Utusan Melayu boleh menerbitkan akhbar pertamanya.

Bercerita tentang penubuhan Utusan akan menerbitkan banyak melankoli berkait bangsa Melayu. Utusan layak dihakimi atas segala kesalahannya sepanjang 80 tahun terbit, namun jasa besar akhbar ini kepada bangsa Melayu terutama pada awal penubuhannya, tidak akan dapat dinafikan.

Selain muka hadapannya yang meletakkan iklan, ada satu lagi perkara yang menarik dalam akhbar Utusan Melayu keluaran pertama. Pada muka surat 3, dipaparkan artikel ringkas daripada Utusan Melayu kepada pembacanya. Ia bertajuk Bagaimana Tuan-Tuan Semua Boleh Menolong Memaju dan Menjayakan Utusan Melayu?

Berikut merupakan kandungan artikel tersebut:

“Banyak surat telah tiba ke pejabat kita tetapi 50 peratus daripadanya ialah berkenaan meminta kerja dengan Utusan Melayu – ada yang meminta jadi kerani, jadi penyusun huruf, jadi penulis khas dan bukan sedikit menawarkan dirinya menjadi pengarang-pengarang Utusan Melayu. Jalan yang baik sekali bagi tuan-tuan yang berhajat bersungguh-sungguh hendak menolong memaju dan menjayakan akhbar kebangsaan tuan ialah pertamanya fikirkan baik-baik lebih dahulu apa yang terdaya upaya tuan. Jikalau tuan seorang hartawan, bolehlah tuan menolong dengan jalan membeli syer-syer syarikat Utusan Melayu atau berlanggan dengan akhbar Utusan Melayu dua tiga naskhah pada tiap-tiap kali keluar supaya tuan khairatkan atau hadiahkan kepada masjid-masjid atau surau-surau di kampung tuan. Jikalau tuan fikir tuan pandai dan layak mengarang, maka karangkanlah makalah-makalah yang berfaedah, syair-syair dan pantun-pantun tetapi jikalau tuan cuma tahu menulis, tolonglah tuliskan sebaris dua berkenaan dengan kejadian atau hal ehwal kampung, mukim, jajahan atau negeri tuan. Jikalau tuan tahu membaca sahaja, boleh juga tuan menolong iaitu bacakan akhbar-akhbar Utusan Melayu kepada saudara-mara tuan yang tiada tahu membaca. Pendeknya kalau ada perasaan yang baik, tulus dan ikhlas kepada bangsa sendiri maka ada beratus-ratus jalan yang tuan semua boleh menolong.”

SEMANGAT MASIH SAMA

Sangat ajaib, seruan pertama Utusan kepada pembacanya terus relevan sehingga ke hari ini, selepas 80 tahun terbit. Artikel ini juga dibacakan oleh Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah ketika sambutan ulang tahun penerbitan ke-80 tahun Utusan di ibu pejabat syarikat itu, Mei lalu.

Utusan sudah lama dibelenggu masalah kewangan. Bertahun-tahun ia mencatat kerugian. Kemuncak episod malang Utusan adalah apabila Barisan Nasional tumbang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei tahun lalu. Utusan hilang tempat berpaut apabila pemiliknya, UMNO jatuh daripada kerusi kerajaan, lalu dibekukan akaunnya.

Jika mengambil kira semangat media sebagai The Fourth Estate, pastilah kebergantungan Utusan kepada parti politik seperti UMNO adalah kesalahan yang nyata. Namun itulah realitinya. Hari ini, Utusan memerlukan bantuan orang ramai untuk meneruskan hayatnya.

Maka teruslah relevan seruan pertama Utusan Melayu buat pembacanya. Bantulah kami dengan apa sahaja cara yang termampu. Ikhtiarkanlah pertolongan agar akhbar ini terus bernyawa dan kakitangannya terus ada tempat untuk berpaut. Kandungannya pasti sudah berbeza, namun semangatnya masih sama.

Mulai hari ini, harga Utusan Malaysia dan Kosmo! akan dinaikkan masing-masing sebanyak 50 sen. Ada yang sinis, katanya ini strategi gila. Sudahlah tidak laku, dinaikkan pula harga.

MASIH JAGUH

Ia sebenarnya salah faham. Utusan Malaysia dan Kosmo! laku. Rekod daripada firma Audit Bureau Circulation (ABC) menunjukkan bagi tempoh Julai hingga Disember tahun lalu, Kosmo! kekal di tempat pertama akhbar harian berbahasa Melayu paling tinggi edarannya, iaitu 155,996 naskhah manakala Utusan Malaysia di tempat ketiga dengan 112,050 naskhah. Bagi kategori mingguan pula, Mingguan Malaysia di tempat pertama dengan edaran 245,911 naskhah manakala Kosmo! Ahad di tempat kedua dengan 166,774 naskhah.

Akhbar milik syarikat Utusan Melayu (M) Berhad masih jaguh dalam kalangan akhbar berbahasa Melayu. Namun syarikat ini memerlukan pulangan yang lebih untuk mengatasi kerugian dialami setiap bulan. Ikhtiar ini diusahakan dengan cara meningkatkan harga jualan.

Strategi ini hanya mampu berhasil melalui solidariti. Beribu orang melaungkan sokongan kepada Utusan sepanjang kisah derita kakitangannya dipaparkan dalam media. Solidariti mereka inilah yang diperlukan untuk memanjangkan hayat Utusan. Semangat solidariti ini juga sesuai dengan sejarah Utusan yang lahir dari rahim semangat kebangsaan Melayu.

Terlalu banyak yang perlu dilakukan oleh warga Utusan untuk memastikan syarikat ini terus berdiri. Ini adalah permulaannya. Meningkatkan harga akhbar bermakna kualiti akhbar juga perlu meningkat seiring.

Buat para pembaca, bantulah kami mengikut kemampuan tuan-tuan sendiri. Jika berharta, tajalah langganan akhbar kami kepada sekolah-sekolah, pusat khidmat rakyat, balai raya atau perpustakaan desa. Mana-mana sahaja asalkan artikel-artikel yang ditulis terus dibaca. Jika tidak mampu, cukuplah dengan membeli akhbar kami setiap hari. Andai tidak selesa dengan bahan fizikal, langganlah akhbar digital kami dengan harga serendah RM50 setahun. Kalau tidak mampu juga, kongsi artikel kami dalam media sosial anda. Sebarkan hasil kerja kami kepada saudara-mara dan rakan-rakan.

Paling kami harapkan, selitkan kami dalam doa tuan-tuan. Semoga panjang umur Utusan!

AKHBAR Utusan Malaysia atau dahulunya dikenali sebagai Utusan Melayu lahir pada 29 Mei 1939. Pada muka hadapannya, tertulis tajuk Nasihat Yang Baik Mahal Harganya. Ia bukan berita. Ia iklan insurans.

Syarikat Utusan Melayu Press Limited lahir lebih awal lagi, kurang setahun sebelum itu iaitu pada 18 Jun 1938. Hampir setahun pengasasnya, Yusof Ishak mengambil masa sebelum Utusan Melayu boleh menerbitkan akhbar pertamanya.

Bercerita tentang penubuhan Utusan akan menerbitkan banyak melankoli berkait bangsa Melayu. Utusan layak dihakimi atas segala kesalahannya sepanjang 80 tahun terbit, namun jasa besar akhbar ini kepada bangsa Melayu terutama pada awal penubuhannya, tidak akan dapat dinafikan.

Selain muka hadapannya yang meletakkan iklan, ada satu lagi perkara yang menarik dalam akhbar Utusan Melayu keluaran pertama. Pada muka surat 3, dipaparkan artikel ringkas daripada Utusan Melayu kepada pembacanya. Ia bertajuk Bagaimana Tuan-Tuan Semua Boleh Menolong Memaju dan Menjayakan Utusan Melayu?

Berikut merupakan kandungan artikel tersebut:

“Banyak surat telah tiba ke pejabat kita tetapi 50 peratus daripadanya ialah berkenaan meminta kerja dengan Utusan Melayu – ada yang meminta jadi kerani, jadi penyusun huruf, jadi penulis khas dan bukan sedikit menawarkan dirinya menjadi pengarang-pengarang Utusan Melayu. Jalan yang baik sekali bagi tuan-tuan yang berhajat bersungguh-sungguh hendak menolong memaju dan menjayakan akhbar kebangsaan tuan ialah pertamanya fikirkan baik-baik lebih dahulu apa yang terdaya upaya tuan. Jikalau tuan seorang hartawan, bolehlah tuan menolong dengan jalan membeli syer-syer syarikat Utusan Melayu atau berlanggan dengan akhbar Utusan Melayu dua tiga naskhah pada tiap-tiap kali keluar supaya tuan khairatkan atau hadiahkan kepada masjid-masjid atau surau-surau di kampung tuan. Jikalau tuan fikir tuan pandai dan layak mengarang, maka karangkanlah makalah-makalah yang berfaedah, syair-syair dan pantun-pantun tetapi jikalau tuan cuma tahu menulis, tolonglah tuliskan sebaris dua berkenaan dengan kejadian atau hal ehwal kampung, mukim, jajahan atau negeri tuan. Jikalau tuan tahu membaca sahaja, boleh juga tuan menolong iaitu bacakan akhbar-akhbar Utusan Melayu kepada saudara-mara tuan yang tiada tahu membaca. Pendeknya kalau ada perasaan yang baik, tulus dan ikhlas kepada bangsa sendiri maka ada beratus-ratus jalan yang tuan semua boleh menolong.”

Sangat ajaib, seruan pertama Utusan kepada pembacanya terus relevan sehingga ke hari ini, selepas 80 tahun terbit. Artikel ini juga dibacakan oleh Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah ketika sambutan ulang tahun penerbitan ke-80 tahun Utusan di ibu pejabat syarikat itu, Mei lalu.

SEMANGAT MASIH SAMA

Utusan sudah lama dibelenggu masalah kewangan. Bertahun-tahun ia mencatat kerugian. Kemuncak episod malang Utusan adalah apabila Barisan Nasional tumbang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei tahun lalu. Utusan hilang tempat berpaut apabila pemiliknya, UMNO jatuh daripada kerusi kerajaan, lalu dibekukan akaunnya.

Jika mengambil kira semangat media sebagai The Fourth Estate, pastilah kebergantungan Utusan kepada parti politik seperti UMNO adalah kesalahan yang nyata. Namun, itulah realitinya. Hari ini, Utusan memerlukan bantuan orang ramai untuk meneruskan hayatnya.

Maka teruslah relevan seruan pertama Utusan Melayu buat pembacanya. Bantulah kami dengan apa saja cara yang termampu. Ikhtiarkanlah pertolongan agar akhbar ini terus bernyawa dan kakitangannya terus ada tempat untuk berpaut. Kandungannya pasti sudah berbeza, namun semangatnya masih sama.

Mulai esok (Jumaat 23 Ogos 2019), harga Utusan Malaysia dan Kosmo! akan dinaikkan masing-masing sebanyak 50 sen. Ada yang sinis, katanya ini strategi gila. Sudahlah tidak laku, dinaikkan pula harga.

Ia sebenarnya salah faham. Utusan Malaysia dan Kosmo! laku. Rekod daripada firma Audit Bureau Circulation (ABC) menunjukkan bagi tempoh Julai hingga Disember tahun lalu, Kosmo! kekal di tempat pertama akhbar harian berbahasa Melayu paling tinggi edarannya, iaitu 155,996 naskhah manakala Utusan Malaysia di tempat ketiga dengan 112,050 naskhah. Bagi kategori mingguan pula, Mingguan Malaysia di tempat pertama dengan edaran 245,911 naskhah manakala Kosmo Ahad di tempat kedua dengan 166,774 naskhah.

MASIH JAGUH

Akhbar milik syarikat Utusan Melayu (M) Berhad masih jaguh dalam kalangan akhbar berbahasa Melayu. Namun, syarikat ini memerlukan pulangan yang lebih untuk mengatasi kerugian yang dialami setiap bulan. Ikhtiar ini diusahakan dengan cara meningkatkan harga jualan.

Strategi ini hanya mampu berhasil melalui solidariti. Beribu orang melaungkan sokongan kepada Utusan sepanjang kisah derita kakitangannya dipaparkan dalam media. Solidariti mereka inilah yang diperlukan untuk memanjangkan hayat Utusan. Semangat solidariti ini juga sesuai dengan sejarah Utusan yang lahir dari rahim semangat kebangsaan Melayu.

Terlalu banyak yang perlu dilakukan oleh warga Utusan untuk memastikan syarikat ini terus berdiri. Ini adalah permulaannya. Meningkatkan harga akhbar bermakna kualiti akhbar juga perlu meningkat seiring.

Buat para pembaca, bantulah kami mengikut kemampuan tuan-tuan sendiri. Jika berharta, tajalah langganan akhbar kami kepada sekolah-sekolah, pusat khidmat rakyat, balai raya atau perpustakaan desa. Mana-mana sahaja asalkan artikel-artikel yang ditulis terus dibaca. Jika tidak mampu, cukuplah dengan membeli akhbar kami setiap hari. Andai tidak selesa dengan bahan fizikal, langganlah akhbar digital kami dengan harga serendah RM50 setahun. Kalau tak mampu juga, kongsi artikel kami dalam media sosial anda. Sebarkan hasil kerja kami kepada saudara-mara dan rakan-rakan.