Amerika Syarikat (AS) umpamanya mempunyai satu sistem penyampaian maklumat yang dipanggil Nasihat Perjalanan, yang bermatlamat membantu rakyatnya membuat keputusan sebelum melawat ke negara asing.

Malaysia juga mempunyai sistem yang serupa dengan AS tetapi nasihat hanya dikeluarkan mengikut keperluan semasa dan tidak dilakukan secara berterusan.

Sistem Nasihat Perjalanan AS ketika ini mempunyai empat tahap bermula dari Tahap 1 yang menggambarkan keadaan selamat sehinggalah ke Tahap 4 di mana rakyat AS ditegah melawat negara dalam kategori ini.

Di antara negara ahli ASEAN yang berada di Tahap 1 ialah Malaysia, Brunei, Singapura dan Thailand sementara Indonesia dan Filipina dikenakan Tahap 2 iaitu perlu berwaspada kerana ujud ancaman keselamatan.

Tahap 4 pula tidak memeranjatkan apabila negara bergolak seperti Afghanistan, Iraq dan Syria dilonggokkan dalam kategori ini.

Tidak menjadi isu bagi negara yang berada di Tahap 1 atau 2 kerana negara dalam kategori ini adalah selamat untuk dilawati dan jarang sekali timbul bantahan dari negara kategori ini.

Mengapa ditekankan perkara ini adalah walaupun Nasihat Perjalanan ini dikeluarkan untuk kegunaan rakyat AS.

Tetapi hakikatnya ia digunakan juga oleh rakyat dari negara lain untuk membantu membuat keputusan terhadap negara yang ingin dilawati.

Tidak dapat dinafikan implikasi Nasihat Perjalanan AS ini adalah begitu besar kerana ia dapat mempengaruhi jumlah pelawat bukan sahaja dari AS tetapi negara lain.

Sebab itu kadangkala ujud tohmahan bahawa Nasihat Perjalanan ini digunakan sebagai senjata diplomasi antarabangsa terutama sekali terhadap negara yang terlalu mengharapkan kedatangan pelancong sebagai sumber pendapatan.

Dua minggu lepas timbul kontroversi Nasihat Perjalanan apabila AS mengeluarkan senarai tambahan sistem tersebut yang dikenali sebagai senarai ‘K’ untuk kata singkat culik (kidnapped).

Senarai ini yang membawa label risiko kemungkinan menjadi mangsa culik penjenayah atau tebusan pengganas.

Terdapat 35 negara berada dalam senarai ‘K’ ini dan dua negara ASEAN iaitu Malaysia dan Filipina tersenarai dalam kategori ini.

Walaupun dalam Nasihat Perjalanan AS terdapat kategori lain antaranya seperti ‘C’ untuk jenayah, ‘T’ berkait dengan pengganas dan ungkapan ‘N’ untuk malapetaka semulajadi tetapi ungkapan ‘K’ membawa makna yang lebih berat lagi.

Ini kerana pengenalan ungkapan terbaharu ini ada kena mengena dengan kejadian penculikan rakyat AS, Kim Sue Endicott yang berlaku ketika beliau melawat Taman Negara Queen Elizabeth, Uganda awal bulan ini.

Beliau dibebaskan setelah sejumlah wang tebusan dibayar kepada penculik.

Tidak keterlaluan jika dihujahkan mengapa Filipina berada dalam kategori ‘K’ ialah kerana ancaman pengganas seperti Abu Sayaff terutama sekali di Kepulauan Mindanao di mana risiko penculikan adalah nyata.

Fakta seperti ini ada dinyatakan dalam Nasihat Perjalanan untuk Filipina yang membawa maksud bukan keseluruhan Filipina terkait dengan kategori ‘K’.

Sama jua dengan Malaysia kerana dalil yang digunakan untuk longgokan negara ini dengan 34 negara lain dalam kategori ‘K’ ialah kerana suasana keselamatan perairan timur Sabah yang berkait rapat dengan tahap keselamatan di Mindanao.

Apabila duta AS ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdir dipanggil oleh Wisma Putra pada minggu lepas mengenai hal ini, Kamala Shirin memperjelaskan kategori ‘K’ itu hanya terpakai untuk perairan timur Sabah sahaja.

Hujah Malaysia pula seperti yang terkandung dalam nota bantahan diplomatik ialah keadaan keselamatan di perairan ini adalah terkawal dan hakikatnya tiada penculikan berlaku pada 2018.

Apabila Malaysia dilonggokkan dalam senarai ‘K’ bersama-sama dengan Afgahnistan, Syria, Iraq, Lebanon, Libya dan Sudan antaranya maka sudah pasti persepsi rakyat AS dan juga mereka yang menggunakan maklumat Nasihat Perjalanan AS bahawa Malaysia amat berbahaya untuk dikunjungi.

Sebagai analoginya wilayah Chihuahua, Mexico diletakan dalam Tahap 3 dan dinasihati rakyat Amerika tidak pergi ke wilayah tersebut.

Ini kerana masalah jenayah (kategori ‘C’) tetapi bandar El Paso, Texas tidak pula dikaitkan dengan bahaya ‘C’ ini.

Ini kerana kawalan keselamatan El Paso adalah terkawal seperti mana yang berlaku di timur Sabah.

Harapannya, pejabat kedutaan AS di Kuala Lumpur memahami hakikat sebenarnya dan menyalurkannya kepada Jabatan Negara, AS secepat mungkin.