Menjelang pilihan raya minggu lalu, Netanyahu telah menunjukkan keazaman ekstrem sayap kanan yang kuat, menunjukkan sikap permusuhan yang paling kuat terhadap Palestin sambil menjanjikan peluasan wilayah Israel di Tebing Barat, selepas Baitulmaqddis diiktiraf oleh kuasa besar Amerika Syarikat sebagai ibu negara Israel.

Kemenangan Netanyahu dan blok sayap kanannya menjadi isyarat paling buruk kepada perjuangan kemerdekaan Palestin kerana rancangan perluasan wilayah Israel yang telah dilaksanakan dan yang sedang diusahakan tanpa mempedulikan langsung undang-undang antarabangsa dan hak kemanusiaan.

Bagaimanapun, perluasan wilayah Israel dan perancangannya yang menjahanamkan Palestin dan negara-negara sekitar bukan satu-satunya yang perlu dibimbangi oleh pihak Palestin, di kedua-dua wilayah Gaza dan Tebing Barat.

ERA NORMALISASI


Sejak setahun kebelakangan ini, malah sejak lebih sedekad lalu, usaha ke arah normalisasi hubungan negara-negara Arab dengan Israel telah berjalan, dari benua Afrika hingga ke Iraq.

Pergerakan ke arah pemulihan hubungan dengan Israel ini, yang didorong pelbagai faktor meliputi politik dan ekonomi, akan memberi kesan lebih buruk kepada Palestin, yang terpinggir dan mengharapkan negara-negara Islam serantau untuk sokongan dan pembelaan.

Hubungan dengan Israel akan memaksa negara-negara Arab terbabit mengambil pilihan berkompromi, dengan mengendurkan sikap keras terhadap negara Zionis itu, seperti yang melibatkan undian isu-isu berkaitan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Dalam kalangan negara berdekatan Israel, Mesir, Jordan, dan Turki mempunyai hubungan diplomatik yang rasmi dengan Israel, ekoran perjanjian damai dan dalam kes Turki, dasar luar yang berjalan semasa penubuhan Israel.

Walaupun turun naik hubungan antara negara terbabit dipengaruhi faktor-faktor semasa, secara umumnya, negara-negara ini mempunyai hubungan yang normal dengan Israel.

Sejak beberapa tahun lepas, sebahagiannya didorong sentimen ancaman Iran dan proksi-proksinya, beberapa negara serantau mula menunjukkan kecenderungan untuk memulakan hubungan diplomatik dengan Israel, yang turut dilaksanakan melalui medan hubungan sosial termasuk sukan.

Satu lawatan berprofil tinggi yang memberi isyarat paling jelas ialah lawatan Netanyahu ke Oman pada Oktober tahun lalu, bertemu dan beramah mesra dengan Sultan Qaboos Said atas jemputan Oman sendiri,  membuka ruang kepada hubungan lebih rapat dan terbuka Israel-Oman dan negara Arab lain.

Walaupun tidak menjalin hubungan diplomatik, lawatan Netanyahu itu menjadi satu petanda keterbukaan antara negara-negara Arab dengan Israel, memberi isyarat yang era normalisasi sedang bermula.

Dalam satu persidangan Asia Barat ditaja Amerika Syarikat di Warsaw, Poland pada Februari lalu, susulan pertemuan dengan Menteri Luar Oman, Yousuf Alawi, Netanyahu membuat kenyataan membayangkan beberapa negara Arab lain bersedia menerima hubungan dengan Israel.

ISYARAT

Sebelum dan selepas lawatan bersejarah Netanyahu ke Oman itu, banyak isyarat kesediaan negara-negara Arab untuk menjalin hubungan diplomatik dengan Israel telah muncul, sama ada secara berterus terang atau tersirat.

Terbaharu, pada Mac lalu, Menteri Hal Ehwal Luar Emiriah Arab Bersatu (UAE), Anwar Gargash dilapor media Abu Dhabi menyarankan negara-negara Arab lebih terbuka dalam berkomunikasi dengan Israel.

UAE ialah antara negara Arab yang paling ke hadapan dalam hubungan dengan Israel, walaupun tanpa hubungan diplomatik yang formal. Tahun lalu, Menteri Kebudayaan Israel, Miri Regev melawat Abu Dhabi, yang lokasi lawatannya termasuk masjid utama di ibu negara Arab itu.

Qatar, negara yang dilihat sebagai rakan penting kepada kumpulan Islamis serantau tidak terkecuali daripada kecenderungan normalisasi ini, malah mencatat sejarah sebagai negara pertama dalam kalangan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang mengadakan hubungan formal dengan Israel dengan menerima wakil perdagangan ke Doha pada 1996.

Malah Iraq, negara yang sepanjang sejarahnya menunjukkan sikap konsisten menentang Israel, kini dilihat turut menimbang untuk memulakan hubungan diplomatik dengan Israel, ekoran beberapa perkembangan yang diperhatikan termasuk lawatan beberapa delegasi ahli politik Iraq ke Israel tahun lalu.

Di Afrika, tekanan untuk normalisasi ini juga dapat dilihat sejak tahun lalu, apabila Sudan mengkaji untuk mengambil jalan normalisasi. Walaupun pada awalnya dinafikan, pemimpin Sudan Omar al-Bashir pada Januari lalu mengakui yang beliau dinasihatkan untuk memulakan normalisasi dengan Israel.

Chad, negara majoriti umat Islam bersempadan Sudan di timur dan Libya di utara, menjalin semula hubungan diplomatik dengan Israel yang diputuskan pada 1972 hasil lawatan Netanyahu ke sana pada Januari lalu, membalas lawatan pemimpin Chad, Presiden Idriss Deby ke Israel November tahun lepas.

Selain negara-negara merdeka, Israel turut menggerakkan kuasa diplomatiknya dengan entiti yang sedang menuntut kemerdekaan tetapi masih perlu melalui jalan yang panjang dan mencabar.

KEMARAAN ISRAEL

Di Somaliland, negara berautonomi yang telah mengisytiharkan merdeka dari Somalia, Israel berpotensi membina hubungan erat, mengambil kesempatan daripada keperluan ekonomi dan politik negara itu yang masih dipinggir negara serantau.

Somaliland menduduki lokasi strategik di Tanduk Afrika, berdekatan laluan sempit Bab al-Mandeb di antara Teluk Aden dengan Laut Merah.

Perkembangan sejak bermula kebangkitan Arab sembilan tahun lalu juga menyaksikan Israel dapat mengambil kesempatan daripada kebangkitan dan peluasan wilayah dikuasai etnik Kurdi, yang beraspirasi mewujudkan negara merdeka Kurdistan.

Hubungan panjang Israel dengan Kurdi di Kurdistan Iraq memberikan pihak Zionis satu kelebihan besar melibatkan wilayah yang kini memperoleh autonomi tetapi telah mula dianggap sebagai sebuah negara merdeka oleh banyak negara termasuk kuasa-kuasa besar.

Israel secara terbuka menyokong kemerdekaan Kurdistan Iraq, yang wilayahnya bersempadan Iran, Syria, dan Turki, selain menguasai kawasan penting di utara Iraq. 

Perkembangan terkini di seluruh rantau Arab hingga ke Afrika ini menunjukkan satu kemaraan bagi Israel, ditambah dengan dasar agresif Netanyahu yang kebelakangan ini menunjukkan keberhasilan.

Bagi menangani ancaman ini, tidak ada pilihan bagi negara-negara Islam yang bersedia menghadapinya selain meletakkan kepentingan umat sebagai prioriti, dan mengambil jalan sukar berdepan cabaran yang semakin getir ini.

Perkembangan terkini melibatkan pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel oleh kuasa besar dan perluasan yang dirancang menunjukkan pelbagai kepentingan Zionis semakin tercapai.

PENULIS ialah penganalisis isu politik tanah air dan global serta bekas editor kanan Harakah.