Apabila berlaku poligami semua pengorbanan dan susah payah isteri menjaga kebajikan suami dan mengekalkan hubungan kasih sayang dengan pasangannya dirasakan tidak dihargai kerana mereka mendapati suami beralih kasih kepada wanita lain. Allah hendak hamba-Nya mengenali-Nya dengan pelbagai cara. Ada orang yang Allah hendak dia mengenali-Nya dengan diturunkan ujian dalam hidupnya, agar hamba-Nya itu mengetahui dan mengakui kekuasaan-Nya.

Ada orang diberikan kebahagiaan dengan kejayaan dalam hidup supaya dia mengenali Allah sebagai Maha Pemurah dan Pemberi Rahmat dan hamba-Nya perlu bersyukur. Malah perlu sedar juga bahawa kejayaan yang diperoleh itu bukan atas sebab kehebatannya, tetapi semuanya atas perancangan Allah yang membuka pintu-pintu rezeki dan kejayaan.

Ada orang mendapat segala yang dicita-citakan dan diusahakannya seperti pekerjaan yang baik dan berjawatan tinggi.

Malah dalam konteks keluarga pula, jika yang lelaki beristeri cantik dan kalau yang wanita bersuami segak, mempunyai anak dan menjadi ibu bapa yang bahagia. Ingatlah, semua yang dikecapi itu adalah dengan sifat Allah Maha Pemberi Rahmat dan Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani.

Jangan tertipu jika anda merasakan apa yang diperoleh hari ini adalah dengan usaha dan kerajinan sendiri. Apabila semuanya bergantung atas usaha kita, maka kadang-kadang Allah hendak menegur. Menegur bahawa apa yang diperoleh itu bukan atas usaha dan kehebatan seseorang, tetapi atas Rahmat-Nya. Apabila lupa akan Rahmat-Nya, Allah akan berikan ujian bertujuan menegur dan menyedarkan kita daripada kesilapan.

Contoh, tiba-tiba suami yang disayangi berkahwin dengan orang lain. Maka perlu direnung kembali iaitu siapa yang menggenggam hati suami kita, kalau bukan Allah. Jadi yang menggerakkan hati suami melakukan sesuatu yang tidak disukai itu siapa, kalau bukan Allah? Yang mengizinkan orang 
lain mencintai suami kita, juga Allah.

Justeru, sekiranya wanita itu ditakdirkan Allah berpoligami, usahlah berterusan bermurung dan menyesali nasib yang menimpa diri. Mengapakah perlu perangkap diri ini dalam belenggu emosi negatif?

Sebagai manusia biasa sememangnya kita akan marah, geram, benci, kecewa, sedih, dendam dan tidak dapat memaafkan apabila orang yang dikasihi sanggup mengkhianati kesetiaan dan kasih sayang diberikan selama ini.

Namun begitu, usahlah membiarkan emosi negatif itu menguasai keseluruhan kehidupan dan dibiarkan berpanjangan hingga tidak lagi menjadi diri sendiri. Kita telah berubah ke arah negatif iaitu daripada ceria menjadi murung, daripada sihat menjadi lemah dan sakit, daripada berduit menjadi sempit, malah mula berasakan kehidupan telah berakhir dan dunia menjadi gelap gelita.

Sayangilah dan kasihanilah diri sendiri. Janganlah menyeksa diri dengan tidak makan, tidak terurus diri dan terganggu fikiran kerana perkara tersebut boleh menjejas kesihatan, pekerjaan malah seluruh kehidupan.

Usahlah mengutuk, menyalahkan diri sendiri dan menyenaraikan segala kelemahan serta kekurangan sehingga terjadinya perkara tersebut. Atau sebaliknya mempersoalkan apakah kekurangan kita sehingga suami beralih kasih kepada orang lain.

Tetapi, yang sepatutnya dilakukan, lihat semula diri dan bermuhasabahlah dengan mendekatkan diri kepada Allah. Mengadulah kepada Allah bukan kepada manusia.

Tingkatkan keimanan dan ketakwaan bagi menutup kekurangan diri di mata Allah, bukan di mata manusia. Berdoa kepada Allah, mohon Allah kuatkan hati bagi menempuh ujian-Nya ini.

Apabila ditimpa pelbagai masalah kita haruslah segera bermuhasabah dengan bertanya kepada diri sendiri;“Mengapakah perkara ini berlaku? Apakah petunjuk yang Allah hendak berikan?” Jika benar-benar yakin kita sudah melaksanakan segala tanggungjawab dengan baik sebagai isteri dan hamba kepada Allah namun tetap juga berlaku perkara yang tidak diingini itu, janganlah kita berkeras melawan takdir.

Yakinlah, Allah menguji sedemikian kerana Allah rindu hendak mendengar suara rintihan kita dalam memohon ihsan-Nya.

Sayangi diri dengan menjaga kesihatan, makan makanan yang sihat dan sedap dan sentiasalah ingat bahawa kita perlu terus sihat. Hal ini penting kerana dengan kesihatan yang baik kita boleh berdikari dan tidak berharap sepenuhnya kepada simpati suami, yang semakin kurang tumpuan dan masanya untuk kita setelah berpoligami. Semua yang dicintai di dunia ini akan ditinggalkan. Yang kita bawa hanyalah sama ada bekalan pahala atau dosa.

Tidak ada gunanya berebut 
akan cinta manusia hingga diri terjebak dengan dosa. Adalah lebih baik kita memburu cinta Allah, 
cinta yang paling kekal abadi, Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak.”