Sementara di ruang menunggu untuk pulang, saya melihat pesawat Lion Air turun naik dari bandar udara itu.

Lion Air ialah syarikat penerbangan tambang murah no. 1 di Indonesia. Kebanyakan pesawatnya ialah pesawat Boeing 737-800 dan 900. Dan pesawat malang yang terhempas itu adalah model terkini B737-Max, beroperasi Ogos lalu. Seramai 189 penumpang termasuk anak kapal terbunuh setelah ia terjunam di Laut Jawa.

Saya berada di lapangan terbang itu selama lapan jam. Pesawat saya yang sepatutnya terbang ke KL jam 2.10 petang ditunda ke jam 3 petang; dan seterusnya dibatalkan ke jam 6 pagi Isnin, kira-kira sewaktu JT610 terhempas.

Semasa jadual pesawat saya diumumkan batal, ramai penumpang yang mengamuk. Ada yang bersuara kuat, memarahi pegawai di kaunter dan sebagainya.

Seorang penumpang berwajah India memegang pasport Britain bercerita secara tegang di kaunter itu: “Saya akan transit di KL dan akan ke Abu Dhabi dan ke Manchester. Semua itu berhubungan dan jika saya tidur sehingga esok — saya kena beli tiket baharu semua sektor.” Para petugas cuba menenangkan beliau. Saya yang ditemani dengan tiga lagi teman juga mengalami masalah yang sama.

Ketiga-tiga mereka pula akan terbang ke Australia jam 6 pagi keesokannya melalui KLIA? Namun kumpulan saya tidaklah terlalu bising. Kami bertenang. Saya berusaha mendapatkan tiket penerbangan lain ke KL malam itu juga.

Alhamdulillah, masih ada lima kerusi berbaki. Kami ambil empat dan selamat terbang ke KL. Kami tiba jam 12 tengah malam.

Terima kasih juga kerana kami dapat membuat pampasan tiket penerbangan yang terbatal dan tiket baharu yang kami beli.

Mengapa pesawat kami dibatalkan hari itu, saya tahu puncanya. Namun tidak perlu saya detail kan di sini. Yang pasti ia bukan soal teknikal.

Tetapi langkah yang dilakukan oleh juruterbang pesawat itu yang enggan menerbangkan kami pulang ke KL petang itu amat dipuji.

Itulah yang sepatutnya berlaku. Saya pernah diberitahu oleh seorang kapten ahli keluarga saya dulu “jika saya nampak waima tayar pesawat itu botak, saya tak akan terbangkan pesawat itu.”

“Saya adalah juruterbangnya, saya tidak mahu membahayakan penumpang saya, anak kapal saya dan diri saya sendiri.”

Itulah etika yang sepatutnya ada dalam diri juruterbang komersial sekarang ini.

Kita tahu tekanan oleh pengurusan syarikat penerbangan tambang murah sekarang cukup tinggi. Mereka mahukan pulangan mereka dalam masa terdekat. Pelaburan mereka cukup tinggi.

Kita faham itu. Di Malaysia, badan pengawas penerbangan kita cukup tegas. Had masa penerbangan oleh seseorang juruterbang tidak boleh lebih daripada yang ditetapkan. Mereka perlu mempunyai masa rehat yang cukup.

Begitu juga dengan keperluan MRO atau penyenggaraan dan penyelenggaraan pesawat harus terbaik dan berjadual.

Difahamkan pesawat malang JT610 itu mengalami kerosakan di sektor Denpasar, Bali sehari sebelum ini.

Jika juruterbangnya merasakan ia tidak betah untuk terbang, semuanya “di atas tangan beliau”.

Penemuan kotak hitam nanti akan memberi jawapan sebenar mengapa pesawat baharu canggih itu boleh menjunam dan berkecai di paras yang tidak terlalu tinggi. Berdasarkan data aplikasi flightradar24 pesawat itu mengalami kesukaran di paras antara 3,000 dan 5,000 kaki.

Seorang juruterbang pesawat Boeing yang saya kenali memberitahu “mereka juga bingung” terhadap apa yang berlaku ke atas pesawat itu. Ia tidak akan jatuh begitu sahaja?

Perlu disebut, rekod penerbangan di Indonesia pernah tercalar. Dari 2007 hingga 2016 syarikat penerbangan republik itu dilarang terbang ke ruang udara Kesatuan Eropah (EU). Syarikat penerbangan negara itu juga dilarang terbang dalam ruang udara Amerika Syarikat selama sembilan tahun sehingga 2016.

Larangan itu dibuat oleh badan pengawas penerbangan EU dan Amerika berdasarkan penilaian buruk terhadap piawaian kebangsaan keselamatan penerbangan Indonesia. Bagaimanapun kedua-dua badan itu telah membebaskan larangan itu.

Lion Air menjulang nama pada 2011 apabila ia menempah sebanyak 230 buah pesawat Boeing bernilai AS$22 bilion. Salah satu urusniaga terbesar oleh Boeing ketika itu.

Apabila pemilik bersamanya, Rusdi Kirana ditanya adakah beliau akan mendapatkan pinjaman bank untuk membelinya, dia menjawab kepada pemberita: “Saya adalah banknya.”

Lion Air ditubuhkan oleh adik beradik Rusdi dan Kusnan pada 1999. Syarikat penerbangan bajet itu memulakan operasi pada 2000 sebagai syarikat penerbangan tambang rendah pertama Indonesia, menggunakan pesawat sewa Boeing 737-200 antara Jakarta dan Denpasar, Bali. Kini ia sudah menjadi syarikat penerbangan tambang murah kedua terbesar di Asia Tenggara selepas AirAsia.

Kita berharap, satu lagi pengajaran boleh dipelajari oleh industri penerbangan selepas ini. Jika bukan faktor teknikal, ia mungkin faktor manusia – termasuklah soal pengurusan masa dan sebagainya.

Moral ceritanya ialah: syarikat penerbangan low cost ini wajib ingat congakan atau equation antara keuntungan dan nyawa penumpang mereka. Itu adalah segala-galanya.