Tindakan itu bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah sebenar malah ia ibarat ‘marahkan nyamuk kelambu dibakar’. Kejadian meliwat oleh orang yang mempunyai latar belakang agama memang mengejutkan tetapi ia bukan mustahil. Sebabnya, sebagai manusia kita bukan maksum sebagaimana Rasulullah SAW. Bukankah kita selalu mendengar jika orang itu berstatus ulama maka syaitan yang menggodanya juga ­kategori ‘jeneral’.

Namun, untuk menutup pusat tahfiz terlibat adalah ‘penyelesaian’ yang kurang bijak. Allah SWT turut menjelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan (ketahuilah), seseorang itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain...(Fathir: 18)

Ia bukan sahaja tidak adil, lebih daripada itu kita bimbang tindakan berkenaan persis mahu ‘menghapuskan’ institusi tahfiz di negara ini. Mengikut statistik setakat 31 Januari 2018, ada 612 pusat tahfiz yang berdaftar dan tidak kurang 721 lagi yang tidak berdaftar di Malaysia.

Mendidik insan menjadi ha­malatul Quran (al-Quran bergerak) adalah tugas mulia dan juga tuntutan fardu kifayah terhadap masyarakat Islam. Ini termasuk di Malaysia yang agama bagi negara adalah Islam. Saban tahun institusi tahfiz baik yang mendaftar atau tidak, melahirkan ribuan generasi huffaz. Pastinya, ge­nerasi ini lebih baik akhlak dan peribadinya berbanding generasi yang hanya mendapat pendidikan formal di sekolah-sekolah aliran kebangsaan.

Malangnya, apabila berlaku kesilapan oleh orang agama, cepat benar timbul suara-suara yang mahu mengambil tindakan termasuk ke tahap menutup pusat tahfiz. Jika dikaji nisbah pengetua atau guru atau ustaz pusat tahfiz yang melakukan jenayah dengan mereka yang berjaya mendidik ribuan huffaz pastinya jumlah ustaz baik jauh lebih ramai.

Kita tidak nafikan kelemahan yang ada di pusat-pusat tahfiz dan ia perlu diatasi. Tetapi janganlah ambil penyelesaian terlalu mudah ibarat ‘cakap orang tidak ada pelajaran’. Ada masalah sahaja, tutup pusat tahfiz. Yang hairannya, bila kesalahan atau perlakuan jenayah berlaku dalam organisasi bukan agama atau dalam masyarakat, golongan ini membisu sahaja.

Contohnya, pada 18 September lalu, Kementerian Kesihatan menggantung tugas ketua jabatan sebuah hospital awam di Lembah Klang yang didakwa melakukan gangguan seksual ke atas sekurang-kurangnya 38 individu termasuk doktor pelatih. Me­ngapa dalam hal ini, tidak adapun suara-suara yang mahu menutup hospital tersebut. Gangguan seksual juga adalah jenayah.

Sudah tiba masa mempertimbangkan beberapa cadangan bagi memperkemas urus tadbir institusi pendidikan tahfiz negara. Antaranya, Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (Pinta) hendaklah terus diperkasa dan pemantauan berkala urus tadbir dan kebajikan pelajar Ma’ahad Tahfiz di setiap kawasan dijalankan oleh Ahli Parlimen kawasan. Selain itu, cadangan mendaftarkan semua pusat tahfiz wajar diberi perhatian serius.

Berlaku adillah kepada institusi tahfiz di negara ini.