“Hah? Apa tu?” tanya saya tak faham. Balasnya, itu singkatan selamat hari raya. Saya menepuk dahi. Ingatkan bahasa Jerman tadi.

Satu lagi mesej masuk selepas itu -“Gee! SHRMZB,” Mesej itu adalah daripada seorang kawan dalam kalangan media. Apa tu? Pelik-pelik pulalah mesej pagi-pagi raya ni.

Rupanya itu singkatan kepada Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin. Katanya, bahasa golongan `hipster’. “Hipsterlah sikit oii raya-raya ni,” balasnya. Lagi sekali saya menepuk dahi. Hispter apakah ini? Gaya macam malas nak taip mesej saja ni, main singkatan pula. Jangan pandai-pandai nak singkatkan dan akronim semua benda.

Dah kenapa ni? Ada pula trend ucapan dan bahasa baharu pada Aidilfitri kali ni? Siapa yang mulakan? Tahun depan jadi apa pula? Tahun selepas itu? Macam-macam bahasalah yang akan keluar nanti agaknya.

Tetapi itulah, cepat betul pengaruh dan penyebaran bahasa slanga sebegini. Buka saja media sosial, ucapan ‘mat ri ye’ dan ‘SHRMZB’ sudah bertebaran dalam Facebook, Instagram, Twitter dan lain-lain. Bukan sahaja orang muda, yang tua-tua pun sama naik juga. Mat ri ye sana, mat ri ye sini.

Kita memang sudah biasa melihat anak-anak muda menggunakan bahasa slanga yang entah apa-apa ini dalam media sosial. Sudah terlalu biasa. Tetapi kini ia menjadi ikut-ikutan orang tua pula. Budak-budak sekarang sebut bahasa ‘dak-dak WeChat’. Betulkah? Saya tak tahu. Saya pun mencedok ayat ini dalam media sosial juga.

Sebelum ini, saya ada bertanya kepada anak saya apa makna `pishang’ selepas melihat ramai betul menggunakan perkataan itu. Pishang itu maknanya bosan - jawab anak saya. Jauh berkilo-kilometer larinya perkataan bosan dengan pishang. Siapalah juga yang pandai-pandai mulakan perkataan ini?

Yang tua-tua pula dalam media sosial pun apa kurangnya. Contohnya, suka sangat guna perkataan payung. Ini bukan sediakan payung sebelum hujan tetapi payung ini bermakna belanja. “Dah dapat gaji itu, tolong ‘payung’lah.” Bila sudah belanja pula - ‘Jangan cakap abam tak payung’. Abang dah tukar kepada abam.

Untuk bersembang secara santai kita pun tak suka terlalu rigid atau formal. Tak apalah. Siapalah yang tahan bersembang gunakan bahasa baku sepenuhnya. Dalam hidup ini kenapa hendak serius sangatkan? Guna bahasa apa pun asalkan masing-masing faham. Tetapi apabila penggunaannya secara berleluasa sehingga terbabas ketika menjawab soalan peperiksaan, ini adalah masalah yang serius. Ini diceritakan sendiri oleh kawan saya yang ramai juga menjadi guru selepas tamat pengajian di ITM.

Tak pasal-pasal markah kena potong. Akibat terlalu biasa menggunakan bahasa slanga ini, mereka merasa begitu kekok pula menggunakan bahasa Melayu yang betul. Ada yang bukan sahaja janggal tetapi merasa kelakar bila menggunakan bahasa baku, sedangkan dengan penambahan dan penyingkiran perkataan tertentu seperti kucing jadi `kucin’, comel jadi comei, bahasa slanga itu lagi kelakar rasanya.

Bahasa slang, bahasa hipster, dak-dak WeChat atau bahasa rempit, hanya akan memburukkan lagi usaha ke arah memartabatkan bahasa Melayu. Kita sudah biasa dengan bahasa cacamarba sejak dulu. Dan sekarang ini dengan bahasa-bahasa slanga dalam media sosial. Akan terhakiskah bahasa baku? Siapa yang boleh mengawalnya? Kalau yang tua pun mengikut trend bahasa orang muda, kita mahu harapkan siapa?