Dalam naratif sebuah parti yang dikatakan ‘Islam’, presiden dan anak buahnya pernah menyebut tiga perkara pokok. Pertama, mereka pernah menyebut hanya ukhuwah Islam yang penting dan kewarganegaraan adalah sesuatu tidak sepenting. Kedua, presidennya pernah menyebut, melantik orang bukan Islam adalah bukan sifat Islam kerana mereka tidak layak menjawat apa-apa pun kepimpinan baik sebagai wakil rakyat, pengetua sekolah, menteri dan sebagainya. Yang ketiga, anak buah presiden pernah menyebut, sesiapa yang menentang Zakir Naik adalah musuh-musuh Islam.

Saya akan membentangkan bagi pembaca tulisan dan ucapan Siddiq tentang ketiga-tiga perkara ini. Umat Melayu perlu membuat penilaian sendiri naratif yang mana mereka nak ikut. Di akhirat nanti setiap orang Islam akan dipertanggungjawabkan sendiri terhadap keputusan mereka. Umat Melayu tidak boleh menuding jari mencari alasan di akhirat sebab ustaz-ustaz dan pemimpin-pemimpin mereka tidak akan mengakui peranan mereka.

KEPELBAGAIAN ITU INDAH

Bagi kenyataan pertama, naratif sebuah parti yang dikatakan ‘Islam’ bahawa hanya ukhuwah Islam yang penting, saya bentangkan kenyataan Siddiq tentang perkara berkaitan kewarganegaraan dan perpaduan dalam kepelbagaian. Pertama, Siddiq menyebutkan bahawa umat Islam dan umat lain perlu menghormati sesama sendiri sebagai saudara senegara dan saudara semanusia.

Sementara itu nilai persaudaraan perlu difahami dan diamalkan dalam erti yang luas, tidak terbatas hanya dalam lingkaran persaudaraan seagama (ukhuwah dinniyah), tetapi meliputi persaudaraan setanah air (ukhuwah wataniyyah) dan seterusnya persaudaraan kemanusiaan (ukhuwah insaniyyah).

Bagi mengharumkan persaudaraan ini, Siddiq menyokong kenyataannya dengan aspek menghormati kepelbagaian budaya dan pandangan seperti berikut:

“Budaya hidup bersama harus berpangkal daripada sikap positif terhadap kepelbagaian. Seperti yang dinyatakan oleh sl-Shakyh Abdu ‘Llah bin Bayyah bahawa untuk menangani masalah kepelbagaian dan pluraliti, perlu ada sikap menghormati dan menyenangkan kepelbagaian. Justeru kepelbagaian adalah kekayaan dan keindahan.”

Tambah beliau lagi,

“Membina kerukunan hidup dalam kepelbagaian tidak hanya dengan ‘nilai-nilai moral asas’ yang dikongsi bersama tetapi perlu didukung oleh nilai-nilai kewarganegaraan seperti nilai mengakui dan menghormati perbezaan, persamaan hak dan tanggungjawab, persamaan di hadapan undang-undang dan lain-lainnya. Nilai-nilai kewarganegaraan ini mengatasi kaum dan golongan tetapi tidak meleburnya. Setiap kaum dan golongan dijamin haknya untuk kekal dengan jati diri masing-masing.”

KAFIR HARBI

Bagi naratif sebuah parti yang dikatakan ‘Islam’ yang ingin bermusuhan dengan semua orang yang mempunyai pandangan berbeza seperti pandangan terhadap kaedah Zakir menghina agama dan kaum mereka, Siddiq memberi pandangan berikut tentang perbezaan dan dialog,

“Perbezaan tidak bererti permusuhan tetapi kekuatan dan kekayaan budaya. Kata kunci dalam memahami tujuan penciptaan kepelbagaian (bangsa dan kaum) ialah lafaz lita’arafu dalam surah al-Hujurat: 13 yang biasanya diterjemahkan sebagai ‘untuk saling mengenal’, tetapi tentu sahaja tidak sebatas saling mengenal. Ta’aruf (saling mengenal) pasti ada kelanjutannya iaitu saling bekerjasama, saling memanfaatkan, saling memperkaya, saling memperkasa dan seterusnya.

Dialog yang sihat dan produktif hanya mungkin terlaksana jika didasari kesediaan menerima orang lain, dan bukan hanya orang lain, tetapi orang lain yang berbeza. Menerima orang lain yang berbeza tidak seharusnya menjadi masalah kerana premisnya adalah menghormati perbezaan dan menyenanginya sebagaimana yang telah disebutkan di atas.

Bagi umat Islam yang suka menghina kaum dan budaya lain dan menganggap mereka ini musuh Islam, Siddiq mengingatkan kita semua tentang kemuliaan semua manusia.

Kemuliaan insan adalah kurnia Tuhan yang bererti Tuhan sendiri yang memuliakan manusia dan kerana itu tidak siapa pun yang berhak menghina manusia dengan cara apa pun.

Bagi umat Melayu yang suka menggunakan perkataan kafir dan kafir harbi, ia ditegah keras oleh Siddiq dalam tesis kewarganegaraannya seperti berikut,

“Merajut damai dalam kepelbagaian memang memerlukan tahap toleransi yang tinggi. Untuk itu istilah-istilah tertentu dalam sejarah politik silam yang kini sudah tidak relevan dan tidak dapat diterima, seperti istilah kafir harbi dan kafir dhimmiy seharusnya digantikan dengan istilah lain yang dapat diterima dan lebih menepati realiti hari ini. Sesuai dengan semangat kebersamaan istilah yang realistik ialah al-muwatnun atau warganegara, istilah yang inklusif dan meliputi semua - Muslim dan bukan Muslim.’

PM DISANDANG KATOLIK?

Akhir sekali, tentang pandangan sebuah parti yang dikatakan ‘Islam’ bahawa umat bukan Islam tidak layak dilantik ke jawatan kepimpinan, Siddiq mengemukakan pandangan sedemikian daripada sejarah Islam.

Dalam sejarah pemikiran politik Islam, perkongsian kuasa Muslim-bukan Muslim telah diwacanakan dan dilaksanakan. Al-Mawardiy misalnya, membolehkan orang dhimmiy menjadi Wazir al-Tunfidh (Menteri Pelaksana). Dari segi praktiknya pula, Dr. Hamid ‘Abdu ‘Llah Rabi’ dalam ulasannya terhadap manuskrip Suluk al-Malik fi Tadbir al-Mamalik oleh Shahab al-Din Ahmad ibn Muhammad ibn Abi al-Rabi’ yang ditulis untuk Khalifah al-M’tasim bi ‘Llah al-’Abbasiy, menyebut bahawa zaman pemerintahan al-Ma’mun dicirikan oleh tahap toleransi yang luar biasa sehingga jawatan Perdana Menterinya disandang oleh seorang Katolik iaitu Fadl Ibn Marwan (Rabi’ Hamid ‘Abdu ‘Llah, 1983:240-241)’

Daripada dua naratif Islam tersebut, saya mengajak pembaca Melayu menilai masa depan kita sebagai sebuah negara dan nasib anak-anak kita. Kalau kita memilih naratif bermusuhan dan menghina kaum lain, maka kita merosakkan peluang pekerjaan dan pendidikan bagi anak-anak kita di dalam dan luar negara.

Pada suatu ketika nanti syarikat-syarikat akan membuat kajian sosial media sebelum memilih pekerja dan mana-mana calon yang didapati rasis atau bermusuhan dengan bukan Islam maka tidak akan terpilih. Kini, individu seperti Zakir dan warganegara beberapa buah negara Islam tidak lagi dibenarkan bekerja, belajar dan bermastautin di mana-mana negara maju di Barat dan di Asia seperti Jepun dan Korea. Negara kita akan menjadi negara corot jika tiada langsung negara lain yang ingin berniaga dan berkongsi pengalaman jika kita memilih naratif permusuhan. Pilihlah baik-baik antara dua naratif ini.

Rujukan: Syarahan Profesor Datuk Dr. Siddiq Fadzil yang bertajuk Hidup Bersama dalam Kepelbagaian: Islam dan Budaya Damai yang diadakan di UKM, Bangi 2018.

PROFESOR DR. MOHD. TAJUDDIN MOHD. RASDI ialah pensyarah seni bina.