Pembinaan persepakatan dalam pelbagai bentuk ini bermula sejak awal dekad 2000-an, dan meningkat selepas pertengahan dekad ekoran kebimbangan tentang peluasan pengaruh Iran yang dirasakan mengukuh di Iraq hingga meliputi satu kawasan besar dari Syam ke Teluk Parsi.

Sejurus Donald Trump menjawat Presiden AS, satu kerjasama digelar sebagai Nato Arab mula diusahakan dan kepentingan bersama AS, negara-negara Arab tertentu dengan Israel memudahkan kesepakatan ini dan salah satu manifestasi muncul dengan operasi ketenteraan di Yemen.

Sebelum itu, agenda bersama negara-negara Arab terbabit telah kelihatan dalam usaha mengubah rejim di Syria yang menyaksikan satu pertembungan sektarian di dunia Islam berlaku seiringan yang didukung oleh satu gerakan dan jaringan global.

Malaysia sepanjang tempoh itu, terutama bermula 2009 apabila Arab Saudi terlibat dalam konflik di Yemen terpaksa memilih untuk bersama Arab Saudi dan menjadi salah sebuah kerajaan utama dalam dunia Islam yang menyokong negara Arab itu. Kuala Lumpur sejak selepas merdeka sememangnya membina hubungan baik dengan Riyadh. Organisasi sedunia umat Islam terbina hasil kerjasama dan sokongan kuat Malaysia yang pada masa mengharapkan bantuan Arab Saudi.

Sepanjang tempoh Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn sebagai perdana menteri, hubungan dikukuhkan lagi dengan lawatan rasmi dan pengukuhan kerjasama dalam bidang ekonomi dan keagamaan.

Hubungan ini menyaksikan kesinambungan dan peningkatan semasa era Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri keempat yang meluaskan lagi kerjasama dengan Arab Saudi. Tetapi hubungan lebih akrab, terutama hubungan peribadi antara pemimpin kedua-dua negara bermula pada masa Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri. Akibatnya, Malaysia berada dalam situasi sukar melibatkan hubungan sesama umat Islam, kesan perang maklumat sektarian yang tiba dan menjadikan Malaysia sebagai salah satu medan persaingannya.

Putrajaya juga mengukuhkan kedudukan dalam kem Riyadh hingga bertindak menyokong agenda dasar luar Arab Saudi dan mendorong ketegangan antara mazhab di dalam negara. Hal ini tidak dapat dielak kerana menurut perkiraan persaingan kuasa di Asia Barat dan dunia Islam, berpihak kepada Arab Saudi bermakna pada masa sama mengambil sikap bertentangan dengan Iran.

Semasa tempoh pentadbiran Najib, hubungan lebih rapat dengan Arab Saudi disertai dengan beberapa tindakan terhadap pengikut Syiah di Malaysia. Sentimen anti-Syiah ini meningkat selepas bermula konflik di Syria, kesan perang maklumat yang berlangsung. Keadaan ini mengalami perubahan drastik ekoran penubuhan kerajaan baharu hasil kemenangan Pakatan Harapan (PH), apabila hubungan dengan Riyadh terjejas akibat tindakan gopoh yang kelihatan bertujuan menghantar mesej dengan segera ke Iran. Secara jelas, Malaysia menunjukkan sikap mahu menurunkan tahap hubungan baik dengan Arab Saudi, termasuk dengan menamatkan pusat antikeganasan usaha sama kerajaan Malaysia dengan Arab Saudi. Hal ini mudah berlaku disebabkan usaha kerajaan baharu menghentikan pelaksanaan dasar pentadbiran Najib dan pada masa sama kecenderungan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu kepada Iran. Keterbukaan dan pluralisme yang mendasari pendirian kerajaan PH telah memperlihatkan bukan sahaja hubungan lebih baik dengan Iran berbanding dengan Arab Saudi sebelum ini, tetapi penerimaan lebih baik atau sekurang-kurangnya ketiadaan sikap bermusuh terhadap Syiah seperti sebelum ini.

Dari satu sudut, keadaan lebih seimbang ini membantu Malaysia mengelakkan diri daripada terperangkap dengan agenda kerajaan Arab Saudi yang semakin tidak popular kebelakangan ini. Malaysia berpotensi berada dalam keadaan lebih sukar sekiranya kekal rapat dan menyokong dasar luar Arab Saudi, yang sedang berdepan masalah akibat penglibatan di Yemen dan bersama Washington mengatur satu pelan melibatkan Palestin dengan Israel.

Sekiranya berlaku konflik di Teluk Parsi atau sebarang pertembungan lain di Asia Barat dan kawasan sekitarnya yang hampir pasti akan melibatkan Arab Saudi dan Iran, dunia Islam akan terpaksa mengambil pendirian dan kebanyakannya akan didorong untuk menyokong pihak yang dominan di dunia Islam.

Malaysia lebih berpeluang bertindak lebih bebas dengan mempelbagaikan hubungan baik dengan negara-negara Islam yang bermakna memelihara hubungan baik sedia ada dengan Arab Saudi dan pada masa sama membina hubungan baik dengan Iran.

PENULIS ialah penganalisis isu politik tanah air dan global serta bekas editor kanan Harakah.