Kucing yang tidak berakal itu tahu mengenang jasa. Maka, jika seorang manusia yang dianugerahkan akal pastinya mereka lebih baik daripada haiwan itu dalam bab menghargai orang yang menjaga kebajikannya selama ini.

Namun, sedar atau tidak memang terdapat kelompok manusia di negara ini yang ditatang seperti minyak yang penuh oleh kerajaan tetapi pada masa sama sanggup ‘menggigit’ tangan yang menyuap mereka - langsung tanpa rasa bersalah. Siapa yang lebih baik, Kiko atau mereka?

Apa gelaran selayaknya bagi mereka? Diberikan amanah untuk menjaga kedaulatan negara tetapi mengkhianatinya. Penulis tertarik dengan pendedahan Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Datuk Yaacob Md. Sam dalam wawancara beliau dengan akhbar Mingguan Malaysia baru-baru ini mengenai pelbagai kelemahan dikesan di kawasan sempadan negara.

Antaranya, kumpulan penyeludup menyeludup dari Malaysia ke Thailand secara terang-terangan dan semasa berlaku terdapat anggota penguat kuasa yang beruniform, tetapi mereka memejamkan sebelah mata!

Perlu diingatkan bahawa tugas menjaga kedaulatan negara tidak wajar dikompromikan. Jika negara ini tergadai yang bakal menerima akibatnya bukan sahaja pengkhianat itu tetapi kesemuanya termasuk anak cucu mereka sendiri.

Kepada tali barut, jangan ingat apabila sudah mendapat ‘upah’, kerja anda sudah tamat. Sebenarnya perbuatan jahat ini adalah perintis kepada tergadainya kedaulatan negara. Tidak insafkah mereka ini terhadap apa yang berlaku di Lahad Datu dan Semporna, Sabah pada 2013. Insiden berdarah itu jelas bukannya sandiwara. Seramai 10 wira negara terkorban dalam tragedi berdarah itu, lapan anggota polis dan dua tentera.

Berbalik kepada cerita sempadan negara di utara itu, pihak berkuasa juga amat perlu memandang serius dakwaan pihak tertentu tentang amalan meminta ‘duit kopi’ di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di pintu sempadan Malaysia dan Thailand.

Perkara itu seolah-olah menjadi kebiasaan kepada penguat kuasa yang bertugas di kawasan tersebut dan masalah berkenaan didedahkan sendiri oleh agensi pelancongan yang kerap menggunakan laluan berkenaan.

Difahamkan, amalan itu melibatkan pelbagai agensi di ICQS. Ia boleh mengancam keselamatan negara kerana selepas menerima wang, pemeriksaan akan ‘dilonggarkan’, selain ‘diketatkan’ kepada yang keberatan menyumbang!.

Itu cerita mengenai pintu masuk ‘rasmi’ bagaimana pula dengan ratusan pangkalan haram yang dibina sepanjang sempadan Sungai Golok, ia dibina di celah-celah premis yang terlalu hampir dengan tebing, sekali lagi ia berkait rapat dengan kurangnya penguatkuasaan terhadap undang-undang tentang rizab tanah sungai.

Kebanyakan di setiap pangkalan haram ini akan turut dilengkapi dengan palung panjang yang ‘terjuntai’ sehingga ke tengah sungai, palung ini yang diisi dengan barangan seludup seperti gula dan minyak masak akan terus disambut oleh perahu atau bot yang sedia menanti di dalam sungai yang juga adalah ‘perairan antarabangsa.’

Ukuran sempadan antarabangsa antara Thailand dan Malaysia di Sungai Golok berdasarkan kepada kedalaman sungai itu, iaitu tempat yang paling dalam akan menjadi ukuran sempadan. Pendekatan asas yang digunakan menentukan sempadan sungai ialah mengikut ‘thalweg’ ataupun bahagian terdalam alur sungai.

Rasanya sudah tiba masanya untuk kerajaan ‘mengosongkan’ kawasan rizab sungai dan jadikan ia sebagai kawasan larangan, sekali gus melancarkan urusan mengawal sempadan negara. Memang rakyat perlu diutamakan tetapi kedaulatan negara lebih afdal dan wajib untuk didahulukan. Ini bukan lagi setakat harus hukumnya tetapi adalah wajib mutlak!