Salam Jumaat pertama Ramadan juga abang hensem ucapkan. Buat geng plastik hitam, sudah-sudahlah tu, insaflah sikit.

Ramadan sebenarnya bro, satu anugerah kepada kita kerana mampu menaikkan taraf kesihatan kita. Itu yang abang hensem jumpa hasil pembacaan luas dari jurnal-jurnal. Bab agama memang banyak dah sebut hikmah kita berpuasa.

 

Dr. Yuri Nikolayev, pengarah bahagian diet di Moscow dalam bukunya Hungry for Healthy mengatakan setiap orang mesti puasa empat minggu setahun untuk memperoleh awet muda dan kesihatan yang sempurna. Dikatakan ini suatu penemuan terpenting abad ini.

Puasa diakui penyembuh terhebat dalam menangani penyakit. Di Amerika hingga ada pusat puasa Fasting Centre International Inc. yang sudah didirikan sejak 35 tahun dulu dengan pesakitnya daripada 220 buah negara. Wow! Terpana abang hensem mendengarnya.

Pusat ini khabarnya mencadangkan puasa dalam program-program turunkan berat badan, keluarkan toksin dalam tubuh. Dan yang paling penting meningkatkan kualiti hidup.

Dr. Lonny J. Brown (Ph.D) dalam kajiannya Adventures in Therapeutic Fasting pula mendapati puasa ketika sakit mampu merehatkan badan pesakit, lalu membantu buang segala kotoran serta toksin di samping menyegarkan sel-sel.

Kata Dr. Cindy Engles (Ph.D) pula dalam Wild Health: How Animals Keep Themselves Well and What We Can Learn From Them, binatang-binatang apabila sakit akan menjauhi makanan. Para pengkaji yang perhatikan fenomena ini berpendapat menjauhi makanan dengan berpuasa adalah proses yang semulajadi ke arah kesembuhan.

Ha! malam tadi kan bro, abang hensem terbaca kisah pada 1994 semasa kongres antarabangsa pertama bertemakan ‘Kesihatan dan Ramadan’ diadakan di Casablanca, Maghribi. Waktu itu, pakar-pakar perubatan dari seluruh dunia membentangkan lebih kurang 50 kertas kajian.

Rumusannya, pakar-pakar perubatan seluruh dunia sepakat memperakui puasa boleh turunkan kadar glukos darah, tekanan darah (BP), kadar kolesterol dalam darah iaitu menaikkan HDL (kolesterol baik) dan turunkan LDL (kolesterol mudarat) serta rendahkan juga berat badan.

Kesemua kajian itu mengesahkan puasa dalam bulan Ramadan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan. Malah mampu menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.

Buat perokok pula, kajian sains mendapati setelah kadar nikotin dalam darah menurun dan selepas beberapa jam, otak akan memberi arahan meminta tambah kadar nikotin. Tetapi kan, ini tidak berlaku dalam bulan Ramadan.

Ia satu perkara yang tidak dapat dijawab oleh sains. Maknanya, perokok tidak berasa gian hendak merokok semasa berpuasa.

Detail kan abang hensem paparkan dalam pertemuan kita kali ini?

Apa pun, usah bro risau. Jika puasa dilakukan dengan penuh adab dan syarat-syaratnya, kita akan mendapat segala kebaikan rohani, jasmani dan juga mental dengan izin-Nya.