Ironinya, saat kanak-kanak yang berjubah dan berserban hijau serta pe­rempuan yang berhijab bermandi peluh, kaki di­selaputi selut dan debu, tetapi pada masa yang sama pemimpin mereka Syeikhul Arqam yang dikasihi dan diagung-agungkan itu duduk dengan begitu selesa di dalam bas berhawa dingin dilengkapi makanan, minuman dan dilayan seperti raja.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Tan Sri Zainuddin Maidin menerusi buku Hari Itu Telah Berlalu (2011) menyatakan, beliau begitu kecewa apabila melihat kanak-kanak yang sepatutnya masih bersekolah kelihatan berkeliaran di pasar-pasar, stesen-stesen bas dan di tempat-tempat awam dengan berpakaian jubah dan serban hijau menjual pelbagai bahan bacaan agama dan produk makanan yang di­usahakan oleh pertubuhan itu.

BUKU Manisnya Madu (2008) oleh Khadijah Aam, isteri Ashaari Muhammad menceritakan keindahan poligami
BUKU Manisnya Madu (2008) oleh Khadijah Aam, isteri Ashaari Muhammad menceritakan keindahan poligami sebagai ‘payung emas wanita’ untuk ke syurga.

“Mereka (kanak-kanak) itu sebenarnya telah diperhambakan untuk mencari wang bagi tabung pembiayaan Al-Arqam,” tulis Zainuddin.

Menurut Zainuddin, sejak akhir 1980-an dan awal 1990-an pejabat Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur sering didatangi oleh ibu bapa, pensyarah, dekan fakulti, malah Naib Canselor Universiti yang membuat pelbagai pengaduan mengenai gangguan Al-Arqam.

“Timbalan Naib Canselor Universiti Pertanian Malaysia Profesor Datuk Dr. Kamarudin Kacar datang menemui saya di Ibu Pejabat Utusan Melayu untuk memberitahu bahawa beberapa orang siswinya yang pintar dan cantik telah dilarikan oleh Al-Arqam, malah anak perempuan seorang Jeneral Angkatan Tentera Malaysia juga telah jatuh ke tangan mereka.

“Anak perempuan saya sendiri yang sedang belajar Undang-Undang di Universiti of Wales Aberystwyth, United Kingdom juga hampir terma­suk ke dalam perangkap mereka tetapi nasib baik ketika itu saya tinggal di London (sebagai Wakil Utusan) dan dapat menyelamatkannya” (Zainuddin Maidin 2011: 236).

Profesor Kamaruddin memberitahu Zainuddin antara 1986 hingga 1987, enam mahasiwi jurusan sains telah lari meninggalkan pengajian mereka di UPM dan berkahwin dengan lelaki Al-Arqam.

Ketika menjadi Ketua Pengarah Biro Tatanegara pada awal 1989, Profesor Dr. Kamaruddin terpaksa berkejar ke New Zealand untuk menyelamatkan pelajar-pelajar perubatan yang mahu me­ninggalkan pengajian mereka kerana terpengaruh dengan Al-Arqam.

“Sehingga kini, Dr. Kamaruddin masih mengenangkan Al-Arqam sebagai ‘peng­khianat anak-anak bangsa’ yang diharapkan akan berguna kepada negara” (Zainuddin Maidin 2011: 236).

Menurut Zabidi Mohamed dalam bukunya Tersungkur Di Pintu Syurga (1998) Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad buat pertama kalinya telah ‘membuka mulut’ berhubung isu Al-Arqam apabila Utusan Malaysia menyiarkan berita bertajuk “PM: Wanita Al-Arqam Hamba Seks” pada 19 Ogos 1994.

Ulasan Dr. Mahathir itu menyebabkan pengikut Al-Arqam berang dan susulan itu muslimah Al-Arqam telah membuat laporan di Balai Polis Tun Dr. Ismail atas kenyataan Perdana Menteri yang dianggap sebagai memfitnah.

Kisah wanita dijadikan objek seks menjadi bualan masyarakat apabila perkahwinan secara rahsia tanpa surat nikah seorang penyanyi seksi terkenal, Sahara Yaacob dengan seorang doktor Al-Arqam, Nordin Ahmad pada 12 Februari 1984 menggemparkan negara.

Sahara mendedahkan bahawa walaupun Nordin telah menceraikannya tetapi bekas suaminya itu tetap datang menidurinya tanpa kerelaan.

Menurut Zainuddin lagi, dua orang pelukis Utusan, Nik Nordin dan Abu Hassan Jusuh juga telah terpengaruh dengan Al-Arqam. Nik Nordin tiba-tiba berserban besar dan menganggap kerja melukis yang menjadi kerjayanya adalah haram.

“Apabila beliau (Nik Nordin) jatuh sakit demam panas, pihak Al-Arqam tidak membenarkan dia dibawa ke hospital kerana kata mereka sakit itu adalah pemberian Allah. Pada masa itu ramai orang Utusan telah mengetahui bahawa mahaguru (Syeikhul Arqam) mereka telah tertarik dengan isteri Nik Nordin. Beberapa bulan selepas Nik Nordin meninggal dunia, Ashaari telah berkahwin dengan isterinya.

“Yang lebih menyedihkan ialah penulis cerpen terkenal Utusan Melayu, Nora atau Ali Haji Ahmad hilang sebuah rumahnya di Ampang Jaya kerana berkorban untuk Al-Arqam (Zainuddin Maidin 2011: 237).

Walaupun hajat Ashaari untuk menubuhkan Daulah Islamiah di Malaysia tidak kesampaian tetapi pengikut-pengikutnya yang fanatik masih percaya dan patuh kepada beliau sehinggalah pengasas Al-Arqam itu meninggal dunia pada 13 Mei 2010 di sebuah hospital pakar di Ipoh, Perak akibat jangkitan paru-paru.