Mereka selalu berpesan-pesan dalam ceramah supaya pendengar berlapang dada, sabar, menghormati perbezaan pendapat, jaga aib orang lain dan pelbagai elemen positif lain, tetapi hakikatnya perkara sebalik yang berlaku. Caci-maki, carut-marut, label-melabel, tuduhan demi tuduhan menjadi zikir yang bermain di bibir para asatizah yang disokong pula oleh penyokong taksub dalam laman-laman sosial.

Natijahnya amat besar. Mereka yang baru nak berjinak-jinak dengan agama, bukan semakin mendekati tetapi mungkin memilih untuk menjauhi terus. Keadaan sama juga tidak mustahil berlaku terhadap kumpulan yang masih belum mendapat hidayah Allah SWT tetapi jauh di sudut hati tertarik dengan keindahan Islam.

Akhirnya kesimpulan yang dibuat oleh mereka, agama ini yang sepatutnya menjadi rahmat kepada seluruh umat manusia seolah-olah tidak menjadi seperti yang dimaksudkan. Ini kerana para asatizah yang bergaduh sesama sendiri langsung tiada sebarang tamakninah, label-melabel dengan perkataan tidak sepatut keluar daripada mulut seseorang yang arif mengenai agama.

Umat Islam khususnya di Malaysia terlalu sibuk de­ngan perkara ranting yang tidak pernah selesai, sedangkan ia telah dibahaskan secara panjang lebar oleh ulama silam.

Tidak tahukah para asatizah berkenaan bahawa misi musuh Islam untuk memecahbelahkan negara-negara dan umat Islam semakin berjaya? Umat Islam setiap hari disembelih di serata dunia! Apa yang menyedihkan, ia bukan dilakukan oleh musuh tetapi daripada ‘hasil air tangan’ dalam kalangan umat Islam sendiri.

Sekadar menyebut sebahagian, para asatizah lebih tertumpu kepada: bolehkah berzikir beramai-ramai selepas solat jemaah? Bolehkah membaca talkin di kubur?

Boleh­kah baca surah yasin beramai-ramai malam Jumaat? Sembahyang tarawih lapan atau 20 rakaat, ­bolehkah baca selawat antara solat berkenaan?

Jika majoriti umat Islam mudah terpengaruh dengan elemen negatif jangan pula terlalu mudah menuding jari menyalahkan mereka 100 peratus.

Jika rumah sendiri tidak dijaga, pintu dan jendela dibiarkan terbuka luas, dinding juga dipecahkan, tiang seri ditebang. Adakah wajar jika memarahi orang luar yang memasuki rumah kita?

Itu cerita para asatizah, sama juga dengan segelintir para pemimpin atau lebih tepat, wakil rakyat yang semestinya dipilih oleh rakyat, jika tidak pasti mereka tidak layak memegang status ‘wakil’, - ramai yang ­cakap juga tidak serupa bikin.

Ahli politik kerjanya mewakili rakyat, maka kenalah bersama dengan rakyat. Jangan hanya muncul dan ‘mesra rakyat’ semasa pilihan raya sahaja. Rakyat merintih tetapi dipekakkan telinga. Jika pada situasi lain luar dari musim mengundi, kelibat mereka hanya boleh dilihat pada kain-kain rentang sahaja. Sebut sahaja majlis utama atau perayaan apa, pasti ada ucapan dan wajah mereka pada kain rentang - seperti bukan wakil rakyat tetapi wakil kain rentang.

Tugas pemimpin adalah sebagai pelayan masyarakat, bukan meminta-minta untuk dilayan. Jangan jadikan jawatan yang dipegang sebagai batu loncatan untuk membolot kekayaan, mencabul khazanah, menerima dan memberi rasuah.

Semua perlu ingat bahawa para asatizah boleh dima­sukkan ke dalam syurga atau neraka kerana ilmu mereka, begitu juga halnya dengan para pemimpin dan tidak terkecuali kepada sesiapa sahaja termasuk penulis sekiranya tidak menunaikan amanah sebagai seorang khalifah dan hamba Allah di muka bumi ini.

Sebenarnya semasa penulis mencoretkan pandangan dalam Dimensi ini, terngiang-ngiang di telinga lagu ikonik, ‘Aku Dah Bosan’ nyanyian Amy Search dalam album solonya, Magic pada 1994. Diharapkan biarlah hanya penulis sahaja yang merasa bosan, janganlah orang lain, jika tidak pasti natijahnya nanti agak parah!