Pada tarikh yang pertama itu, sejumlah 50 ahli jemaah yang bersiap sedia menunaikan solat Jumaat di dua masjid di bandar itu mati dalam insiden tembakan yang menggemparkan seluruh dunia.

Seminggu kemudian, pada tarikh yang kedua itu, solat Jumaat yang diadakan di tanah lapang berdekatan Masjid Al Noor bukan hanya dihadiri oleh ribuan umat Islam di bandar raya Christchurch itu, malah turut dihadiri (dalam ruang yang disediakan khas untuk mereka) oleh orang bukan Islam serta wanita pertama negara itu, Perdana Menteri Jacinda Ardern.

Memulakah khutbahnya pada hari Jumaat 22 Mac itu, Imam Masjid Al Noor, Gamal Fouda berkata bahawa pada Jumaat sebelumnya (15 Mac) dia melihat “kebencian dan kemarahan pengganas yang membunuh dan menyebabkan 50 jemaah syahid, mencederakan 42 lain, sekali gus meruntun perasaan jutaan yang lain di seluruh dunia.”

Berbeza dengan apa yang dilihatnya seminggu lalu itu, pada hari ini (22 Mac) dia dapat menyaksikan “perasaan kasih dan belas ihsan” ribuan rakyat New Zealand dan penduduk dari seluruh dunia.

IDEOLOGI JAHAT

Imam Gamal menegaskan bahawa pengganas yang melakukan pembunuhan pada Jumaat lalu itu “mahu memusnah negara kita dengan ideologi jahat yang memecahbelahkan dunia.”

Tapi dia gagal berbuat demikian kerana apa yang berlaku adalah sebaliknya. New Zealand tidak dapat dipecahbelahkan dan seluruh dunia melibat pada kita satu contoh kasih sayang dan perpaduan.

Kepada ahli keluarga mangsa yang terbunuh dalam insiden tembakan itu, Imam Gamal berkata, orang tersayang mereka itu tidak mati sia-sia. Menerusi mereka, dunia akan melihat keindahan Islam dan keindahan perpaduan umat Islam.

Bagi kita umat Islam, pastinya kita faham bahawa apa yang diungkapkan oleh Imam Gamal ini adalah khusnul khatimah (kesudahan yang paling baik sekali untuk kehidupan kita ini) iaitu mati pada hari Jumaat (hari yang terbaik dalam seminggu), dalam masjid (tempat yang terbaik), dalam keadaan berwuduk, menunggu solat atau sedang bersolat (dalam keadaan yang terbaik). Tidak semua orang yakin dia akan mendapatkan khusnul khatimah di akhir hayatnya.

Antara kata-kata Imam Gamal yang membuat ahli jemaah dan orang bukan Islam yang hadir menitiskan air mata adalah ucapannya “Kepada rakyat New Zealand, terima kasih. Terima kasih atas air mata anda. Terima kasih untuk haka anda. Terima kasih atas kasih sayang dan belas ihsan.”

Menghalakan ucapannya kepada Perdana Menteri New Zealand, Imam Gamal berkata “Kepada Perdana Menteri kita – terima kasih. Terima kasih untuk kepimpinan anda, ia menjadi satu pengajaran kepada pemimpin dunia.

Terima kasih kerana kemesraan anda kepada keluarga kami dan kerana menghormati kami dengan tudung kepala anda. Terima kasih kerana kata-kata anda dan tangisan kasih sayang. Terima kasih kerana bersama kita.”

ISLAMOPHOBIA

Setelah mengucapkan terima kasih kepada negara New Zealand kerana mengajar dunia apa erti kasih sayang dan keprihatinan, Imam Gamal membaca beberapa ayat dalam Surah Al-Baqarah, antaranya ayat 156 yang bermaksud “Orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata “sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah kami kembali,”

Dalam khutbahnya yang kedua, Imam Gamal mengingatkan jemaah yang hadir pada hari itu bahawa Islamophobia membunuh. Ia telah membunuh umat Islam sebelum ini di Kanada, di Norway, UK, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain. Islamophobia betul wujud.

Ia satu kempen yang dirancang rapi untuk mempengaruhi orang supaya timbul rasa takut yang tidak rasional terhadap orang Islam.

Ia menimbulkan rasa takut kepada apa yang orang Islam pakai, apa orang Islam makan, cara orang Islam solat, dan cara orang Islam hidup.

Apa yang berlaku pada Jumaat 15 Mac lalu adalah bukti nyata kepada seluruh dunia bahawa keganasan tidak kenal warna kulit, tidak ada ras dan tidak ada agama.

Kebangkitan ketuanan kulit putih dan ekstremisme haluan kanan merupakan satu ancaman global kepada kemanusiaan dan mestilah dihentikan sekarang, katanya lagi sebelum mengakhiri khutbahnya dengan doa.

DATUK SALLEH BUANG ialah dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.