Walaupun hari yang dimaksudkan, yang bermula pada malamnya hingga berakhir hari tersebut, suasana dan kehendak perayaan akibat perubahan sosial dalam masyarakat Islam menuntut perayaan berlangsung selama sebulan.

Dalam musim Aidilfitri setiap tahun, dapat diperhatikan banyak perubahan yang melanda masyarakat, hingga muncul budaya baharu yang mencorak sambutan Hari Raya.

Pada masa yang sama, realiti sosial yang parah juga muncul menunjukkan dirinya kepada umum, daripada sikap buruk membuang sampah merata-rata hingga kepada penggunaan media sosial yang mengundang mudarat.

Boleh dikatakan, berlaku normalisasi kemungkaran dalam kalangan masyarakat Islam, bermula dengan eksploitasi, komodifikasi hari raya melalui penjualan pelbagai produk, pembaziran seperti belanja berlebihan hingga kepada pelanggaran batas yang berlaku di media sosial.

Normalisasi amalan yang merosakkan ini biasa bermula pada bulan Ramadan lagi, apabila berbelanja mengikut nafsu berlaku dengan pembelian makanan dan kehendak-kehendak yang tidak sepatutnya.

Pada masa yang sama, eksploitasi dilakukan oleh sebilangan peniaga yang berharap untuk mengaut keuntungan besar daripada aktiviti jual beli yang meningkat pada musim perayaan ini.

Di gerai setiap petang Ramadan, saban tahun kedengaran rungutan bahan makanan yang tidak mencapai standard minimum makanan yang boleh diterima, termasuk amalan paling biasa mengurangkan bahan hingga mengorban kuantiti dan rasa.

Keghairahan untuk mengaut keuntungan segera mendorong sesetengah peniaga mengetepikan etika.

Apatah lagi soal dosa dan pahala demi mendapat keuntungan yang kemudian akan digunakan untuk perayaan suci Aidilfitri.

Pelbagai produk seperti “baju raya” yang semata-mata mengambil kesempatan daripada kehendak membuat persiapan raya juga muncul, menonjolkan komodifikasi perayaan agama ini oleh peniaga.

Kemudian, dalam perjalanan ke kampung halaman dan berziarah, tertonjol pula normalisasi sikap buruk ramai pemandu, yang mengukuhkan tanggapan bahawa sikap buruk sememangnya satu ciri sebahagian besar pemandu Malaysia.

Tekanan semasa memandu, atau sebenarnya memang sikap buruk yang mahu dipertahankan, menyerlahkan pelbagai tindakan buruk yang mengganggu, menyusahkan, dan membahayakan pengguna jalan raya.

Jangkaan dan kehendak

Apa yang berlaku di jalan-jalan seluruh Malaysia ini boleh disimpulkan sebagai satu sifat negatif yang telah sebati, meliputi sikap mengabaikan peraturan dan norma yang baik, dan juga manifestasi penegasan status sosial masing-masing, walaupun realiti ini amat sukar diakui.

Bermula Syawal, masing-masing memasuki perayaan ini dengan pelbagai jangkaan dan kehendak yang mahu dipenuhi, selain keperluan dan amalan yang positif melibatkan hubungan baik dengan ahli keluarga dan sanak saudara.

Normalisasi paparan berlebihan sambutan di media sosial, mengharap dan mengejar “duit raya,” dan perlumbaan menunjuk-nunjuk dalam pelbagai bentuk kini menjadi satu bahagian besar fenomena yang dapat diperhatikan.

Hal duit raya ini sentiasa mudah memerangkap semua yang terlibat. Pihak yang mengharap pemberian ini mudah terjerumus bersikap materialistik dan melihat pemberian ini sebagai sesuatu yang wajib.

Di pihak yang memberi, mereka berpotensi diperangkap oleh perasaan berkait dengan status sosioekonomi, hingga terpaksa memastikan sumbangan mereka mencapai jumlah tertentu agar tidak dipandang rendah.

Malang bagi umat Islam, perayaan ini semakin terhakis ciri agamanya, dan semakin tertonjol sisi perayaan dan sambutan untuk bergembira dan bersaing, termasuk dalam menunjukkan status sosioekonomi.

Kehendak atau nafsu menegaskan status sosial dan ekonomi ini mendorong paparan berlebihan kepada umum.

Ini sama sekali bertentangan dengan Aidilfitri sebagai hari yang disambut selepas sebulan beribadat dan berjuang melawan nafsu.

Malah, amalan mengadakan rumah terbuka - yang ada kalanya berlanjutan hingga melepasi Syawal - juga turut dipengaruhi elemen sensitiviti terhadap status ini.

Majlis seperti ini amat mudah tergelincir menjadi satu medan menegaskan status. Hubungan sesama manusia juga sesuatu yang semakin jelas menjadi “medan periuk api sosial” (social minefield) dalam kehidupan bermasyarakat di negara ini.

Adab dan etika berkunjung dan bermesra sesama anggota masyarakat terkorban akibat sikap tidak peka, termasuk dalam kalangan ibu bapa sendiri.

Ibu bapa gagal mengawal anak-anak - yang normal dan bukan yang menghadapi masalah tertentu.

Saban tahun muncul sebagai berita panas dalam media sosial mendedahkan satu perkembangan menakutkan dalam masyarakat.

Hal ini menunjukkan satu perubahan sosial ketara, yang dapat diperhatikan di pelbagai medan - seperti grup WhatsApp sekolah - di mana ibu bapa mengambil sikap berlebihan menyebelahi anak mereka tanpa menghiraukan segala norma dan peraturan.

Perubahan-perubahan sosial ini dengan konsisten menghakis nilai-nilai baik dalam masyarakat, tetapi sukar ditangani kerana normalisasi yang telah menjadikannya sebati dengan banyak anggota masyarakat.

Hal ini wajar dijadikan satu agenda untuk dihadapi dan dirawat secara bersama, oleh anggota masyarakat yang mempunyai kesedaran.

Tetapi pada masa sama disokong oleh langkah yang sama dari pihak kerajaan dan pelbagai entiti dalam negara, meliputi pemimpin agama, NGO dan suara-suara yang berpengaruh.

PENULIS ialah penganalisis politik tanah air dan global serta bekas editor kanan Harakah.