Sektor swasta mungkin mengharapkan pengurangan cukai per­­niagaan, golongan B40 mahukan kenaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan sudah pasti anggota perkhidmatan awam menantikan pembayaran bonus tahunan.

Menteri-menteri pun sudah pasti telah memberi persembahan yang terbaik kepada Menteri Kewangan apabila dipanggil bagi menyatakan senarai harapan atau wishlist mereka. Tidak terkecuali saya juga telah meminta beberapa penambahbaikan kepada bajet untuk belia dan sukan khususnya bagi meneruskan momentum cemerlang temasya Kuala Lumpur 2017.

Namun apa yang ingin saya fokuskan di sini merentasi mana-mana kementerian. Bajet yang dibentangkan untuk beberapa tahun sebelum ini banyak memberi tumpuan kepada isu ekonomi dan sara hidup. Saya percaya penekanan tersebut tepat pada waktunya. Sejak beberapa tahun lepas, kita berada dalam persekitaran ekonomi global yang mencabar. Memang wajar kerajaan memberikan fokus kepada usaha untuk menjana pertumbuhan ekonomi di samping menjaga kesejahteraan rakyat melalui bantuan tunai, program kebajikan, perumahan, kesihatan dan pe­ngangkutan awam.

Tetapi di saat ini, saya ingin mengusulkan satu lagi agenda yang perlu diberi penekanan khusus dan diangkat sebagai satu usaha besar merentasi kementerian. Harapan saya adalah agar Bajet 2018 dapat mengangkat satu agenda sosial untuk membangunkan modal insan kelas pertama.

Dalam siri wacana Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang diterajui Kementerian Belia dan Sukan (KBS), antara aspirasi dan kebimbangan utama yang disuarakan oleh generasi muda adalah agenda sosial dan pembangunan modal insan yang menyeluruh. Modal insan yang dimaksudkan bukanlah hanya terhad kepada aspek pendidikan dan latihan sahaja tetapi pembentukan akhlak, nilai sahsiah dan keperibadian. Kekhuatiran yang disuarakan itu juga bukan datang tanpa sebab.

Mutakhir ini, kita melihat kes penyalahgunaan dadah semakin kritikal dengan peningkatan lebih dua kali ganda dalam hanya lima tahun kepada 30,844 kes pada tahun 2016. Lebih merisaukan, 23,000 daripada kes itu melibatkan penagih dadah baharu yang telah dikenal pasti pada tahun lepas sahaja. Selain itu, lebih 30% anak muda mempunyai akses kepada pornografi dengan lebih satu pertiga daripada mereka berumur di bawah 17 tahun. Jumlah kelahiran luar nikah pula melebihi separuh juta sepanjang 11 tahun sehingga Jun 2017.

Walaupun pesalah juvana menurun kepada 4,569 pada tahun 2015 berbanding tahun sebelumnya, hampir 10% adalah pesalah berulang. Ini termasuk kes-kes jenayah melibatkan harta benda, dadah, trafik, senjata api dan sebagainya. Di sekolah pula, kes ponteng sekolah dan buli tetap menjadi kerisauan walaupun dalam pola menurun, de­ngan 14,496 dan 3,011 kes direkodkan masing-masing untuk tahun 2016.

Dari segi kekeluargaan, hampir 5,000 kes penderaan kanak-kanak telah dikenalpasti sepanjang tahun 2015 dan 2016 sahaja, terutamanya penderaan fizikal, seksual dan emosi. Kes-kes sebegini juga dikaitkan dengan kadar penceraian yang tinggi terutamanya di antara pasangan beragama Islam di mana secara puratanya lebih 184 pasangan bercerai setiap hari. Jumlah ibu tunggal yang berdaftar pula melebih 80,000 orang, dengan lebih 150,000 lagi telah dikenal pasti. Kesemua ini bukan angka semata-mata - ia menunjukkan keperluan agenda sosial baharu yang mencakupi segenap lapisan masyarakat.

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah. Suspek yang ditahan dalam kejadian tersebut adalah remaja. Mereka ini dikatakan belia bermasalah yang ponteng sekolah, menghisap dadah dan datang dari keluarga yang berantakan (broken families). Selepas kemarahan masyarakat terhadap para remaja ini reda, timbul suara-suara rasional yang mengatakan bukan anak-anak ini yang gagal dalam hidup, tetapi kita sebagai masyarakat yang telah menggagalkan mereka dan tidak cukup berusaha untuk menyelamatkan mereka.

Sekiranya sesuatu tidak dibuat dengan segera, lebih ramai lagi akan menyertai generasi yang tersasar atau hilang dari arus perdana ini - a lost generation. Kita akan melangkah ke tahun 2050 dengan hanya sebahagian sahaja daripada anak muda kita, sementara sebahagian lagi ter­tinggal di belakang. Mereka yang bernasib baik untuk melanjutkan pelajaran ke menara ga­ding berkemungkinan besar akan selamat daripada segala gangguan (disruption) yang akan melanda. Mereka ini akan memenuhi pekerjaan masa hadapan dengan kemahiran teknologi dan kecerdasan kognitif yang tinggi. Masa depan mereka jauh berbeza de­ngan destini anak-anak muda yang hidupnya disedut ke dalam kegelapan kemungkaran. Sekali mereka terjerumus ke lubang yang gelap itu, semakin dalam mereka tenggelam dan tiada cara untuk mereka menggali keluar sendiri.

Sebab itulah intervensi mesti dibuat dari sekarang. Di persimpangan ini, mungkin ada suara-suara yang berbunyi, apa yang kerajaan buat selama ini? Sudah pasti memang wujud pelbagai program sosial tetapi kenapa kita tidak berani mengakui bahawa apa yang dibuat selama ini tidak mencukupi. Bukankah tugas kerajaan untuk sentiasa memperbaiki dasar dan pelaksanaan ter­utamanya bila berdepan dengan perubahan zaman?

Sekarang ini agenda sosial mesti berdepan dengan ledakan maklumat yang membanjiri mata dan jari-jemari orang muda, yang boleh menjadi gerbang pintu masuk ke jalan kemusnahan. Urbanisasi telah memberi tekanan kepada institusi keluarga nuklear dengan kedua-dua ibu bapa terpaksa bekerja keras demi me­nyara keluarga.

Persekitaran kampung yang lazimnya memberi sokongan kemasyarakatan juga hilang dengan penghijrahan rakyat ke rumah pangsa yang bertingkat-tingkat di pinggiran bandar.

Di zaman ibu bapa jarang dapat memberikan masa berkualiti, rumah semakin sempit, kemudahan rekreasi juga tidak mencukupi - pilihan yang ada pada mereka adalah merempit di jalan raya, ‘berkhayal’ untuk melepaskan diri daripada tekanan dan seterusnya memilih jenayah kerana tiada langsung kemahiran untuk dijadikan asas kepada kerjaya.

Walaupun agenda sosial ini merupakan satu bom jangka yang besar, perbincangan serius adalah bermusim dan semakin berkura­ngan. Bila berlaku isu besar se­perti pembakaran pusat tahfiz baru-baru ini, barulah masyarakat berbincang, pakar ditemubual, media sosial tular. Beberapa hari kemudian rakyat sudah pindah ke topik dan hashtag yang baharu. Malah, di perhimpunan agung parti saya juga, usul sosial sekarang ini tenggelam-hanya dima­sukkan dalam usul pendidikan dan agama. Saya rasa ini berlaku sebab banyak cadangan klise yang kita selalu dengar untuk mengatasi masalah sosial ini dihubungkaitkan dengan sistem pendidikan dan institusi keagamaan.

Saya bukan tidak setuju dengan pendekatan tersebut. Sistem pendidikan dan pendedahan kepada agama penting dalam pembentukan modal insan khayra ummah. Tetapi adakah ia mencukupi? Bayangkan, anak-anak kita berada di sekolah hanya beberapa jam dalam satu hari. Walaupun minda mereka dapat dibentuk di bilik darjah, lebih banyak masa mereka diluangkan di luar pagar sekolah. Kalau pengaruh negatif di luar tidak dibendung, sia-sia sahaja apa yang ditanam dan di­didik oleh para guru.

Sama juga dengan pendekatan agama. Tidak salah untuk kita mendidik anak kecil dengan ajaran agama atau menghantar mereka ke tahfiz, tetapi itu sahaja tidak mencukupi dalam membina generasi muda bersahsiah tinggi. Dalam dunia moden yang berubah pantas ini, nilai sosial yang jitu bermakna anak muda dapat menyesuaikan diri bukan hanya dengan budaya rakan sebangsa dan seagama tetapi dengan norma baharu masyarakat majmuk. Jika tidak, mereka akan terkejut dengan realiti sebenar kehidupan moden majmuk sekali gus mendorong anak bangsa kita ke arah ekstremisme dan pengasingan sosial.

Agenda sosial baharu ini memerlukan koordinasi di peringkat tertinggi. Ini bukan kerja satu kementerian. Saya sangat sedar perkara ini. Sering kali masalah gejala sosial orang muda dirujuk kepada KBS. Apa yang ramai tidak ketahui ialah punca kuasa dan tanggungjawab ke atas isu-isu ini diagih-agihkan kepada pelbagai pihak. Masalah dadah di bawah AADK dan PDRM, rempit pula di bawah PDRM dan JPJ misalnya. Ini tidak termasuk PBT.

Beberapa tahun yang lepas, KBS cuba memulakan satu program intervensi untuk para remaja yang berisiko tinggi terlibat dalam gejala sosial yang diberikan nama Projek Angkat dan Upaya atau Padu. Melalui program ini, anak-anak muda berisiko diberikan seorang mentor bagi membimbing pengisian masa lapang mereka dengan kemahiran hidup seperti pengaturacaraan dan vokasional. Program ini tidak dapat diteruskan kerana tidak diberikan peruntukan. Mungkin kerana ada birokrat di Perbendaharaan yang berpendapat ini bukan kerja KBS tetapi lebih kepada kaunseling di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Ke­luarga dan Masyarakat.

Apa yang saya impikan pada Bajet 2018 adalah beberapa intervensi untuk mewujudkan ‘Agenda Sosial’ yang berkesan. Walaupun saya sedar semua pihak mengejar peruntukan yang terhad, agenda sosial ini terlalu penting untuk hanya diberi peruntukan kecil atau token bagi melepaskan batok di tangga.

Sememangnya, agenda sosial ini menuntut penyelesaian yang pel­bagai daripada semua pe­megang taruh. Namun antara perkara yang perlu dilihat adalah pemerkasaan program pemulihan penagih di bawah AADK yang sudah menunjukkan kejayaan tetapi tidak cukup sumber. Selain itu, pembinaan pusat-pusat asuhan kanak-kanak yang selamat, bersih dan dikawal selia kakita­ngan yang bertauliah juga penting untuk membantu ibu bapa yang kedua-duanya bekerja. Tidak cukup untuk kita sekadar memberikan insentif pelepasan cukai kepada syarikat-syarikat untuk membuka pusat sedemikian. Kerajaan turut berperanan untuk menyediakan kemudahan tersebut terutamanya di kawasan bandar. Seperti mana dahulu tadika Kemas dibangunkan di kawasan luar dan pinggiran bandar, sekarang pusat-pusat asuhan yang dibiayai kerajaan diperlukan di kawasan bandar untuk membantu para ibu bapa muda.

Kerajaan juga perlu melabur untuk melatih lebih ramai lagi pakar kaunseling. Agenda sosial ini hanya dapat dijayakan sekiranya kita mempunyai intervensi dalam bentuk pakar yang dapat memberi nasihat dan memantau belia yang berisiko tinggi. Ini harus juga menjadi keutamaan pada zaman di mana masalah kesihatan mental menjadi satu kebimbangan besar dan stigma dalam membincangkan isu ini juga semakin berkurang.

Lebih daripada itu, masyarakat juga perlu diberi pendedahan kepada tanggungjawab keibubapaan yang lebih menyeluruh. Walaupun tidak dinafikan anak itu rezeki, kita juga harus melihat keadaan hidup kita dahulu sebelum mengambil keputusan untuk menambah bilangan ahli keluarga kita. Akhirnya, walaupun anak itu rezeki, anak itu juga seorang lagi insan yang mesti dijaga, diberi makan, dididik dan sebagainya. Kalau sudah susah menjaga anak yang sedia ada, fikirlah dahulu sebelum menambah lagi.

Saya tidak berniat untuk KBS mengambil alih semua kerja ini. Saya sendiri akui perkara ini terlalu besar untuk KBS atau mana-mana kementerian. Cuma, saya minta supaya ada agenda sosial yang khusus dan jelas dalam Bajet 2018. Mungkin ada yang menasihati Menteri Kewangan agar tidak menyentuh dulu isu ini sebab ia bukan sesuatu yang memberikan feel good menjelang pilihanraya. Tetapi saya benar-benar yakin dan percaya bahawa kita tidak boleh menangguhkan lagi usaha untuk menyelamatkan generasi muda.

KHAIRY JAMALUDDIN ialah Menteri Belia dan Sukan.