Pernah guru mengaji abang hensem berkongsi sifat makhluk halus ini. “Badannya besar, tinggi lebih kurang lapan kaki dan tubuh hantu raya ini berbulu-bulu,” kata guru ngaji abang hensem yang senang dipanggil Pak Ajiz.

Sama ada Pak Ajiz nak takut-takutkan kami dalam 12 orang yang mengaji tiga kali seminggu di rumahnya dengan cerita hantu raya itu, abang hensem layan aje lah.

“Antara tanda-tanda orang bela hantu raya ini boleh kita kenal antaranya dia takut bertentangan mata apabila bercakap. Hati pembela makhluk halus ini juga sentiasa tidak tenang dan badan sentiasa berpeluh apabila berada dalam majlis ilmu,” katanya.

Meskipun tiga dekad berlalu, kisah hantu raya masih melekat bak gam cap gajah di kepala abang hensem.

Dan bila salah seorang anak remaja abang hensem bergurau mengatakan dia jumpa banyak ‘hantu raya’ dekat jejambat bertentangan kilang percetakan New Straits Times di Taman Perindustrian Bukit Jelutong, Shah Alam setiap pagi sekitar jam 7 hingga 9, abang hensem tergelak besar

“Betul ke Kak Min, jangan gurau dengan abah,” tanya abang hensem.

Balas Yasmin, anak nombor empat abang hensem ini: “Betul, takkanlah abah sendiri tak terserempak setiap pagi lalu situ, bukan ke ‘hantu-hantu raya’ yang guna lorong kecemasan atas jejambat tu.”

Abang hensem terkesima. Betul lah tu Kak Min sebab abang hensem memang nampak ‘hantu-hantu raya’ itu termalu alah bila abang hensem bunyikan hon berdentam-dentum dari laluan sebelah, seraya merenung tajam pada mereka.

Apa lagi abang-abang polis Shah Alam, inilah masanya keluarkan saman tanpa belas ihsan pada ‘hantu-hantu raya’ ini.

Opps! cuma pastikan abang-abang polis tunggu di bahagian laluan menurun ke Giant, untuk pastikan ‘pemandu hantu-hantu raya’ ini tak boleh mengelak dah, dek terkejut badak lihat kelibat abang polis.