Di antara isu-isu atau punca-punca yang menyumbang kepada keretakan sosial yang saya bangkitkan dalam rencana itu dan ingin diulangi di sini ialah isu-isu berkaitan kekeruhan politik, kecelaruan sistem pendidikan dan keengganan sesetengah pihak menerima bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.

Saya masih belum jemu membicarakan isu-isu itu. Terpulang kepada para pembaca sekalian sebagai rakyat yang cintakan negara ini untuk bertindak. Masa tidak lagi menyebelahi kita semua. Keretakan sosial yang saya bimbangi itu semakin jelas. Masing-masing nampaknya sudah lebih cenderung untuk ‘berkerat rotan dan berpatah arang’.

KEKERUHAN POLITIK

Sebagai pemegang-taruh paling penting dan paling berpengaruh dalam sistem politik negara, rakyat sewajibnya tahu peranan mereka dalam menangani kekeruhan politik semasa. Malangnya, ramai yang memilih untuk menjadi penganalisis politik saja.

Pergilah ke mana jua di pelosok negara ini. Bila berbicara hal politik, semua adalah pakar penganalisis. Mereka boleh menjangkakan siapa bakal Perdana Menteri kelapan, bila Tun Mahathir akan berundur dan sebagainya.

Tapi apa faedahnya semua itu? Politik terus keruh. Dulu, rakyat pernah tampil menegur pihak Istana kerana memeterai perjanjian menerima Malayan Union. Lepas itu rakyat bangkit menolak Malayan Union. Di awal tahun 1970-an, pelajar-pelajar Melayu di Universiti Malaya pernah bertindak menentang sesiapa saja yang enggan menerima penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar rasmi di universiti itu, walhal pada ketika itu tak ramai mana pun pelajar Melayu di universiti berkenan.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14, sekali lagi rakyat membuktikan mereka mampu menolak kerajaan yang pada hemat mereka telah gagal mentadbir-urus negara ini dengan seamanahnya. Putrajaya akan akur dan semua institusi politik, baik dalam kerajaan mahupun pembangkang akan akur dengan kehendak rakyat jika rakyat tahu menggunakan kuasa mereka menegur mana-mana institusi politik.

Insaflah wahai rakyat sekalian, kemajuan kita sejak beberapa tahun kebelakangan ini tercicir jauh berbanding dengan banyak negara termasuk Vietnam dan Filipina hanya kerana pemimpin politik kita hilang fokus. Justeru, pelabur asing hilang keyakinan untuk terus melabur di negara ini. Kita sebagai rakyat yang rugi kerana gagal atau enggan menegur pemimpin dan membiarkan politik terus keruh.

KECELARUAN PENDIDIKAN?

Tun Daim Zainuddin semasa menyampaikan ucaptama di salah satu forum baru-baru ini menyentuh mengenai kecelaruan ini. Saya setuju pandangan beliau. Kita teladani Jepun dan negara-negara Nordics. Di Jepun misalnya mereka mencorakkan agenda pembangunan negaranya menerusi Reformasi Pendidikan (Educational Reform). Sehebat-hebat negara seperti Jepun, mereka hanya baru melakukan tiga kali saja Reformasi Pendidikan sepanjang sejarah pembangunan negara itu.

Agenda Pendidikan nasional diletakkan di atas tiga batu asas ini, iaitu pembinaan jati diri, pembinaan ilmu dan pengetahuan serta pembinaan sahsiah dan keperibadian. Nampaknya ketiga-tiga batu asas pendidikan itu kian bercelaru. Negara ini yang punyai begitu banyak dasar dan pelan induk pendidikan, namun, keretakan sosial berpunca dari kecelaruan perlaksanaan dasar dan pelan induk ini semakin parah.

SENTIMEN PERKAUMAN MEMBARAH?

Vektor atau pembawa wabak kanser perkauman paling utama adalah pertubuhan-pertubuhan yang cauvinis bersama institusi politik sekutu rapat mereka. Saban hari semakin berani mereka ini menyebarkan dakyah menyebabkan kanser ini kian hampir ke tahap parah dan sukar dirawat.

Bagi mengekang vektor penyebab kanser sosial ini dalam kalangan orang politik, saya berpendapat institusi politik, baik dalam kerajaan mahupun sebagai pembangkang, hendaknya tidak semudah itu untuk terjerat ke dalam perangkap puak-puak cauvinis ini. Anggaplah mereka itu sedang menghadapi penyakit mental dan sosial yang amat serius, maka hati dan minda mereka sudah rosak. Jika institusi-institusi politik berwibawa ini memilih untuk bertembung dengan mereka itu di pentas yang sama, maka mentaliti orang politik dalam institusi-institusi ini pun sama dengan mereka itu.

Orang Melayu wajib belajar dan menghayati sajak Usman Awang bagi menjadi tabib yang bijaksana dan terbilang. Sebagai orang Islam, mereka wajib menggunakan pendekatan Islamik menjadi tabib pengubat barah sosial itu menurut ajaran Islam. Vektor kanser sosial itu adalah dalam kalangan pihak tertentu yang tidak akan mengalah atau dapat ditewaskan dengan kekuatan pertembungan secara terbuka. Mereka adalah pakar dalam muslihat dan tipu helah.

Perlu juga kita semua terima hakikat ini. Ramai kalangan bukan Melayu yang rasional yang akan memahami pendekatan sebegini. Janganlah hendaknya secara rawak mereka ini dihukum, hanya kerana dosa segelintir mereka yang dimaksudkan itu. Pastikan mereka dalam kategori ini bersama kita menolak fahaman ekstremis puak-puak pelampau itu.

Institusi-institusi kerajaan terutama Kementerian Pendidikan wajib berperanan sebagai tabib rasmi kerajaan ‘menyuntik vaksin pembina imuniti sosial’ dalam kalangan para pelajar dari dijangkiti atau diserang wabak kanser sosial ini.

Kementerian wajib dengan segera merujuk kembali kepada batu asas pendidikan berkaitan pembinaan jati diri, sama ada ia berkesan atau tidak dalam membina dan menyediakan generasi masa depan sebagai wira negara berbilang kaum ini.

Kementerian Pendidikan dan semua institusi politik yang cintakan keharmonian kaum dan kedamaian perlu berperanan sebagai tabib hebat merawat wabak kanser sosial yang sedang merebak.

DATUK DR. HASAN MAD ialah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM).