Tapi kata ahli parlimen yang baru beralih angin itu - “belum tiba masanya lagi”.

Selepas beliau minta diri, terserempak saya dengan Ahli Parlimen Pontian, DATUK SERI AHMAD MASLAN di lobi Parlimen. Ahmad, 52, menurut rakan-rakan media tidak lagi seperti dulu yang sentiasa dijadikan ‘bahan’ oleh saingan politiknya.

Berbual seketika, Ahmad akur waktu sekarang agak sukar liputan mengenai UMNO mendapat tempat dalam kebanyakan akhbar yang dicap akhbar arus perdana.

“Ya lah, daripada handphone saya ini bila layari berita-berita online...akhbar kamu sahaja yang agak mengisi lebih berita-berita UMNO,” kata Ahmad.

Lantas kami kemudian duduk sambil menghirup teh tarik di kafeteria di situ dengan rasa ingin tahu saya tentang perkembangan Ahli Parlimen Pontian itu hari ini

Antara isi perbualan berkisar tentang penampilan Ahmad yang dikatakan rajin dan agresif mengambil bahagian dalam perbahasan sidang Dewan Rakyat.Beliau turut menjelaskan sebab mengapa dirinya dijadikan sasaran pelbagai pihak sebelum PRU-14 - daripada pembangkang hingga netizen yang menyindirnya dengan pelbagai parodi.


UTUSAN: Khabarnya Datuk Seri sekarang agak agresif dalam sidang Dewan Rakyat?

Dahulu ada protokol, prosedurnya kerana saya timbalan menteri. Menterinya ada. Tapi sekarang tak ada protokol yang perlu diikut. Dari satu sudut sebagai pembangkang lebih bebas.

Oleh kerana saya pernah berada di tiga kementerian - Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Kementerian An­ta­rabangsa dan Industri, jadi kami tahu banyak perkara. Dengan itu kami ada kelebihan dari sudut maklumat dan hal sebenar khusus tentang perkara ekonomi dan kewangan. Dan selalu saya pantau mereka tentang janji-janji palsu. Daripada 10 janji (dalam) 100 hari, tidak ada satupun janji yang ditunaikan 100 peratus. Kemudian dalam buku harapan itu belum ada satupun yang ditunaikan yang bukan dalam tempoh 100 hari. Ini kelemahan terbesar PH sekarang.

Barangkali apa yang Datuk Seri sebutkan ini tak dilayan oleh mereka kerana banyak kenyataan Datuk Seri sebelum PRU-14 dahulu dijadikan ‘bahan’ termasuklah video parodi?

Ada dua saja kenyataan saya yang diulang-ulang (sehingga dijadikan parodi). Pertama, saya kata GST boleh turunkan harga barang dan kedua, saya kata kita boleh buat dua kerja (untuk menampung kos sara hidup) dan kerja kedua itu ialah bisnes online.

Dua perkara itu yang kontroversi terhadap diri saya. Walaubagaimanapun empat fakta yang saya buktikan dalam Dewan Rakyat apa yang saya sebut GST boleh turunkan harga barang itu berlaku walaupun saya tak kata GST turunkan semua harga barang. Tadi pun (waktu dalam Dewan) pun saya ulas balik yang ditimbulkan wakil dari Sungai Petani.

Dulu GST 10 peratus turun kepada enam peratus. Dari segi logik­nya ada barang yang patut turun tapi sekarang ini daripada 6 turun kepada 0, 0 naik ke 5, naik 6 dan naik 10 peratus. Dahulu daripada 10, 6, 5 turun pada 6, iaitu SST 10 peratus dan 5 peratus untuk barang tertentu. Enam peratus cukai perkhidmatan kita turun kepada 6 peratus GST - satu sahaja cukai. Sekarang ini 6 peratus itu mereka turunkan daripada 0 untuk tiga bulan. Kemudian, diadakan 5, 6, 10 peratus. Jadi, dari segi logiknya daripada 0 naik ke 5, naik kepada 6, naik ke 10 barang-barang yang terlibat itu takkan turun. Cukai perkhidmatan juga takkan turun.

Apa yang saya timbulkan itu menjadi tular. Tapi akhirnya apabila mereka tukar ke SST, rakyat lebih memahami perbezaan cukai ini (antara GST dan SST). Saya menyebut jika dalam nafas yang sama, mereka berkempen menyatakan mereka akan mansuhkan GST dan pada nafas sama mereka terus sebut GST yang dihapuskan jadi 0 peratus itu akan digantikan kepada 5, 6 dan 10 peratus SST saya yakin mereka tidak akan menang dalam PRU-14. Tapi mereka (PH) membisu dalam bab ini ganti pada SST ini dalam siri ceramah dan media sosial. Ini perdaya rakyat.

Kemudian mengenai ke­nya­taan kedua saya, minta orang muda kerja lebih masa itu saya kira sekarang ini sudah tak jadi isu lagi. Ada profesional bawa Grab, Uber. Ada ramai yang buat kerja lebih satu kerja pada hujung minggu. Ramai berniaga online. Itu bab saya kena spin dalam dua perkara. Dan bila saya muncul sekarang, pe­nerimaan masyarakat terhadap saya berbeza, lebih menyokong saya. Tapi ‘nasi sudah jadi bubur.’

Tapi Ahmad Maslan masih lagi menang (di Parlimen Pontian)?

Saya menang walaupun ada dua peti undi putih kawasan saya dikeluarkan dan dua peti undi hitam dimasukkan. Kira-kira 5,000 pengundi Cina di bandar Pontian dimasukkan ke kawasan manakala 2,000 pengundi Melayu dikeluarkan. Namun saya masih menang kerana saya menjaga kawasan. Tiap-tiap minggu saya balik kawasan.

Mengenai survival UMNO hari ini, kita dapati semakin kuat pula cakap-cakap usaha pihak tertentu mahu ‘meman­cing’ ahli-ahli Parlimen UMNO sehingga mahu UMNO dibubarkan. Bolehkah ini terjadi?

UMNO hanya boleh terbubar dengan arahan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan kerajaan. Tapi apa salah UMNO sehingga hendak dibubarkan? Sejumlah 48 ahli parlimen UMNO masih ada. Kalau ada sesiapa yang ingin memancing kami, syarat pertama yang perlu disebut kepada 48 orang ini, “saya kena keluar UMNO atau tidak? Kalau “saya kena keluar UMNO, minta maaflah, saya tak nak dengar.”

Kalau apa-apa nak berlaku, biarlah keseluruhan kita 48 + 4 yang buat demikian dalam satu kumpulan besar ini dengan wujudkan satu gagasan baharu, itu lain. Namun keluar “sorang- sorang, runcit-runcit” tinggalkan UMNO takkan berlaku pada saya.

Masihkah lagi UMNO pe­juang Melayu, Islam dan Raja-ra­ja Melayu?

Presiden UMNO pergi ke tujuh negeri. Saya ikut enam dari tujuh negeri kecuali Terengganu. Saya lihat pimpinan dan akar umbi yang hadir dari ketua-ketua cawangan Puteri, Wanita, Pemuda, ahli jawatankuasa bahagian empat peringkat masih kukuh di bawah sana.

Mereka kadang-kadang keliru dengan kenyataan Datuk A. Kadir Jasin dan mereka ingin penjelasan. Dan kita jelaskan. Di Melaka dan Negeri Sembilan, begitu ramai hadir. Ia berikan semangat kepada saya secara peribadi bahawa UMNO ini ber­akar umbi di seluruh pelosok negara walaupun kita dalam keadaan sukar sekarang. UMNO di bawah masih wujud. Ia umpama ‘api dalam sekam’. Bila-bila boleh menyala dan membara. Ia semangat yang perlu diteruskan.

Dan kalau lihat suatu ketika, PKR cuma ada satu kerusi pada 2004 iaitu Permatang Pauh. Sekarang PKR ada 50 kerusi campur wakil Bebas. Mereka boleh buktikan dengan tambah 50 kerusi dari 2004 ke 2018. Perjuangan politik ini maraton. Cuma kita UMNO per­lu daya tahan yang tinggi, lebih-lebih lagi sebagai pembangkang.

Contoh satu lagi Pas. Dia cukup konsisten dalam perjuangan walaupun dipecah oleh ahli-ahli yang membentuk Parti Amanah. Namun oleh kerana konsisten itu maka mereka memperoleh 18 ahli Parlimen dan dua negeri (Kelantan dan Te­rengganu), serupa macam UMNO di Pahang dan Perlis. Maka kita sebagai pembangkang, kita tak kalah semua. Kita akan terus berusaha memenangi hati rakyat.

Maknanya masih ada harapan untuk UMNO kembali di mata rakyat?

Politik masa depan, saya kira tak perlu tunggu 61 tahun lagi untuk jatuhkan satu-satu kerajaan. Politik masa depan ini politik ke arah negara maju. Apa yang saya pelajari dan lihat perkara-perkara politik negara-negara maju, rakyatnya tidak menjadi runsing untuk tukar kerajaan. Pendek kata, dalam negara kita sudah sampai satu peringkat kematangan politik yang rakyatnya sudah tak peduli untuk tukar kerajaan yang mereka tidak suka.

Jadi, inilah yang akan berlaku pada PRU-15. Saya amat berharap bahawa sifat rakyat yang inginkan kerajaan yang lebih baik akan berlaku. Saya lihat dua hikmah kita kalah. Hikmah pertama, rakyat untuk kali pertama dalam sejarah boleh buat perbandingan dalam Kerajaan Pusat.

Sebelum ini (dalam tempoh 61 tahun) cakap Barisan Nasional (BN) ini baik, bagus sebagai kerajaan. Tapi nak bandingkan dengan kerajaan pusat yang mana?

Maka sekarang ini, BN dan PH dalam masa enam bulan ini kalau tanya rakyat secara rawak dan guna kaedah statistik yang betul, saya yakin ramai yang rindukan kerajaan BN. Itu hikmah pertama yang besar.

Hikmah kedua ialah ma­sya­rakat Melayu dan Islam boleh ber­padu. Sebelum ini kita selama 61 tahun melihat UMNO dan Pas bergaduh sesama Melayu Islam. Tapi pada Sabtu 17 November ini misalnya satu perhimpunan yang dikenali Perhimpunan Perpaduan Ummah akan diadakan di Pasir Salak, Perak. Pre­siden UMNO dan Presiden Pas akan berucap dalam satu pentas. Ahli-ahli Parlimen UMNO dan Pas akan bergabung sebagai satu pakatan pembangkang, bukan hanya di peringkat pusat tapi negeri-negeri.