Saban hari ketika itu, berita-berita mengenai pelajar dan kakitangan yang terlibat dimuatkan untuk makluman serta diolah dalam keadaan yang begitu sensasi.

Demikian juga lontaran-lontaran idea ilmiah atau pandangan cendekiawan, memberi saranan berkaitan sebagai penambahbaikan dalam mengatasi isu tersebut dalam kadar segera.

Sudah pasti, isu melibatkan komuniti dan kesihatan umum menarik minat setiap individu dalam masyarakat terutama mereka yang terlibat dalam urusan pentadbiran, penyelidikan-penyelidikan mahupun mereka yang berada di barisan hadapan dalam perkhidmatan jagaan kesihatan.

Dalam menganalisis berita semasa dan juga makluman-makluman pihak berkuasa, dari segi corak epidemiologi (atau disebut taburan penyakit yang berkaitan pencemaran toksik industri) terdapat penemuan pola taburan kes yang pada pandangan saya tidak munasabah.

Kes-kes yang menunjukkan gejala klinikal hanya dilaporkan berlaku dalam kalangan komuniti yang berada di sekolah. Namun dalam komuniti di luar sekolah, ia tidak pula dilaporkan. Ia mungkin ada namun kita percaya sekiranya sumber isu kesihatan tersebut berpunca dari udara, ia sudah pasti memberi implikasi pada masyarakat yang bukan sahaja berada di kawasan sekolah tetapi juga mereka yang berkongsi udara yang sama di luar sekolah.

Sebagai individu yang pernah terlibat di balik tabir dalam agensi kerajaan untuk kawalan penyakit, saya sedia maklum bahawa agensi-agensi berkenaan sudah pasti bertindak menurut SOP masing-masing untuk mengekang perebakan.

Dalam isu melibatkan masyarakat sedemikian, sudah pasti bilik gerakan akan segera beroperasi dalam tempoh 24 jam serta saluran bertindak mereka yang terlibat dikerah dalam memastikan tiada kesan tidak diingini berlaku.

Namun seperti biasa tindakan patriotik agensi-agensi terlibat tidak dihebahkan secara ‘tular’, cukup dengan hebahan kepada umum bahawa tindakan yang sewajarnya telah dan sedang diambil pada ketika itu.

Golongan doktor profesional dalam kesihatan awam terutamanya memahami bahawa menangani isu yang melibatkan masyarakat perlu ditangani dengan bijak serta mengutamakan saluran maklumat disampaikan dengan tepat dan benar tanpa campur aduk unsur sensasi serta mencari ruang menyalahkan pihak-pihak tertentu. Susulan tindakan tersebut, agensi-agensi kerajaan terlibat berkali-kali memaklumkan bahawa isu di Pasir Gudang tiada kena mengena dengan bahan toksik industri seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Meskipun terdapat makluman kedudukan industri di Pasir Gudang yang memerlukan penambahbaikan, pengesanan indeks pencemar udara tidak menemukan sebarang hasil yang positif.

Namun kebolehcapaian platform media di mana semua individu termasuk yang bukan pakar bidang berpeluang menyampaikan pandangan, menyebabkan tularnya berita yang mengaitkan kejadian kes myokimia ke atas seorang kanak-kanak serta kematian seorang wanita yang berlaku ketika itu dihebohkan akibat pencemaran toksik industri di situ.

Sehinggalah tulisan pandangan Prof. Dr Hamidon Basri, Pakar Neurologi UPM menjelaskan bahawa myokimia merupakan gejala tidak spesifik. Ia berlaku akibat tekanan (stres) dan pulih jika keadaan tersebut dirawat. Demikian juga penafian pihak keluarga yang kematian akibat anggota keluarga, berita tular sedemikian reda.

Kita semua akhirnya dimaklumkan dengan jelas oleh pakar-pakar psikiatri bahawa apa yang berlaku di Pasir Gudang adalah manifestasi psikologi akibat kebimbangan kemungkinan berulangnya episod. Tekanan mendapatkan maklumat terkini oleh media, kegopohan sebahagian ahli akademik melontarkan pandangan yang masih belum terbukti benar, ‘trend’ sebahagian masyarakat menularkan isu yang dikaitkan dengan pencemaran toksik meskipun ianya tiada bukti saintifik menyebabkan isu yang sepatutnya boleh diselesaikan dalam tempoh yang lebih singkat, berpanjangan dengan kegelisahan yang tidak menentu.

Apa pun, kembalikanlah peranan pakar di tempatnya. Jangan pula kita terus memandai membuat telahan dan berkongsi untuk menularkan isu yang tidak benar.

PROF. MADYA DR. MALINA OSMAN ialah Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM).