Tetapi perancangan-Nya tidak siapa yang tahu. BN menang. Menyifatkan PRK Cameron Highlands pembakar semangat, Naib Presiden UMNO, DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB menaruh keyakinan momentum kemenangan BN itu mampu diteruskan dalam PRK DUN Semenyih, 2 Mac nanti.

Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Ismail Sabri memberitahu wartawan

DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB
DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB 

Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL di ibu negara semalam tiada yang mustahil dalam politik 'Malaysia Baharu’ asalkan BN berusaha lebih rajin mendekati serta memperjuangkan nasib rakyat.

Ikuti apa yang dikongsikan Ismail Sabri yang juga Pengarah Jentera PRK BN di Semenyih dalam pertemuan setengah jam itu:
 

UTUSAN: Dikatakan kerjasama UMNO-Pas lebih ketara kali ini dalam PRK Cameron Highlands.

ISMAIL SABRI: Kehadiran Pas bukan setakat berjaya membantu memenangkan BN, tetapi membawa pengundi mereka ke pusat pengundian. Di Sungai Kandis agak awal melihat keakraban ini hingga tak berani duduk sepentas. Tapi di PRK Seri Setia, kami (UMNO) sudah sepentas dengan para pemimpin Pas.

Wanita UMNO pula sudah mula membantu muslimah Pas meraih sokongan dari rumah ke rumah. Pada waktu itu tidak ada struktur jentera.

Namun di Cameron Highlands bukan sahaja semasa program, tetapi jentera Pas sanggup bawa pengundi Pas ke tempat pengundian, buka barung serta pastikan mereka mengundi BN.

Jalinan kerjasama dua parti Melayu ini sudah ke tahap mana?

Ada jawatankuasa bersama UMNO-Pas. Saya sendiri menjadi Pengerusi Jawatankuasa Bersama. UMNO-Pas telah melalui tiga PRK (Sungai Kandis, Seri Setia dan Cameron Highlands tidak termasuk Balakong yang ditandingi MCA), maka selepas ini di Semenyih jalannya lebih mudah.

Menerusi Jawatankuasa Bersama UMNO-Pas di Selangor, kami keluarkan kenyataan bersama (joint statement) dan melancarkan jentera pilihan raya bersama Pas. Maknanya kedua-dua sudah bergerak ke depan. Setapak demi setapak.

Apa antara yang akan dibawa BN-Pas di Semenyih nanti?

 

Isu-isu asas hari ini dari segi kos sara hidup yang tinggi berbanding pendapatan yang kian berkurangan. Harga komoditi yang semakin jatuh.

Isunya sama iaitu kegagalan PH tunaikan janji-janji manifesto PRU-14 mereka, selain isu nasional berkisar pentadbiran kerajaan sehingga hal-hal ekonomi negara kita yang semakin teruk.

Di Semenyih, kedudukan status sosial dan ekonomi penduduk di sana bagaimana?

Kawasan ini terbahagi kepada tiga segmen pengundi yang mendiami bandar, pinggir bandar dan luar bandar. Ada yang menetap di rumah kos sederhana, mahal dan gathered house. Ramai pelajar di sana.

Dahulu, kata orang bandar tidak sokong (kerajaan) BN. Maka di Semenyih nanti ia satu ujian untuk BN. Di Cameron Highlands, kakitangan kerajaan mengundi BN melalui pengundian awal dan pos.

Tapi bukankah majoriti yang diraih PH tempoh hari di Semenyih agak tinggi kira-kira 9,000 undi?

Ya, semasa PRU-14, majoriti mereka besar. Namun kalau dicampurkan jumlah undi UMNO dan Pas (14,464 + 6,966 = 21,430 ) selain 1,293 (dicampur jumlah ketiga-tiga calon = 22,723) dari Parti Sosialis Malaysia (PSM), nampaknya tidak jauh bezanya dengan 23,428 yang diperoleh PH (melalui calon Bersatu).

Dengan jumlah undi yang hampir sama ini, BN-Pas bertekad terus membongkar pembohongan demi pembohongan yang dilakukan oleh PH menerusi janji-janji manifesto PRU-14 mereka. Walaupun di Cameron Highlands PH turun dengan menabur janji-janji baharu, pengundi sudah tidak percaya lagi.

Malah, pengundi tak terbuka hati langsung meskipun Menteri Kewangan (Lim Guan Eng), Menteri Hal Ehwal Ekonomi (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali), Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail), Presiden PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang akhirnya disusuli Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) turun (menjanjikan itu ini) di sana.

Bagi pengundi dan masyarakat di Cameron Highlands, yang keluar dari mulut mereka ini hanyalah bohong. Sudahlah isu-isu setempat tidak diselesaikan, ini tabur janji-janji baharu pula.

Strategi BN meletakkan calon Orang Asli nampaknya menjadi. Suatu yang tidak terjangka, bukankah begitu?

Ya, berfikir di luar kotak sedangkan PH begitu percaya kita akan letakkan calon MIC atau UMNO. Tapi ini tidak berlaku dan mereka buat kesilapan umumkan calon lebih awal. Terperangkap.

Keputusan PRK ini yang memberi kemenangan kepada BN adalah satu isyarat jelas kepada PH bahawa rakyat menolak mereka. Ugutan dan penghinaan terhadap masyarakat Orang Asli turut menyumbang kepada keputusan ini.

Bayangkan kalau tidak ada PRK Cameron Highlands ini yang sudah tentu tidak ada platform untuk rakyat memberi signal yang terang kepada PH. Di pihak BN, andai kata kita kalah, pasti imej BN teruk terjejas. Perancangan Allah kita tidak tahu. Ini satu tamparan besar kepada PH.

Komitmen MCA dan MIC sepanjang kempen PRK ini bagaimana?

Presiden dua parti ini (Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Tan Sri S A Vigneswaran) serta jentera mereka telah bersama-sama membantu UMNO. Di Cameron Highlands PH masih bawa isu-isu 1MDB yang orang tidak lagi ambil kisah.

Padahal isu utamanya adalah ‘susah perut nak makan’, harga sawit dan getah semakin turun. Pengundi nak dengar apa kerajaan nak buat untuk bantu mereka. MCA dan MIC pula bawa isu tanah dan pembangunan di sana.

Mampukah kejayaan BN di Cameron Highlands diulangi di Semenyih?

Kami harap semangat kemenangan Cameron Highlands ini dibawa ke PRK Semenyih. Di Cameron Highlands, saluran orang muda pun BN menang. Maka tidak mustahil PH boleh ditumbangkan. Mungkin dahulu pengundi atas pagar tidak sokong kami.

Kali ini kami yakin mereka akan berbuat demikian. Demikian juga pengundi muda yang kini tidak lagi mempercayai PH berikutan janji-janji kosong mahu menangguhkan pembayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan mewujudkan sejuta peluang pekerjaan dan lain-lain.

Malangnya ini semua tidak berlaku. Ada kemungkinan mereka akan datangkan semula janji-janji seumpama ini di Semenyih. Justeru, jangan terperdaya.