KELAS KETIGA

Industri ini sering dilabelkan sebagai kotor, susah dan berbahaya selain penggunaan pekerja asing. Pada era 80-an, jabatan seperti housekeeping rata-rata dikendalikan oleh orang tempatan tetapi hari ini kerjaya tersebut diisi oleh warga asing seperti warga Nepal, Bangladesh, India, Myanmar dan Pakistan.

Dengan keadaan sedemikian, anak-anak muda kita tidak berminat untuk bekerja kerana berasa telah dipinggirkan dari segi gaji dan moral. Ramai pengamal sumber manusia (HR) lebih gemar mengambil pekerja asing atas alasan orang tempatan suka ambil cuti sakit (MC) dan cuti kecemasan (EL).

Masalah sebenar tidak selesai sebaliknya cara mengambil jalan pintas iaitu menggaji pekerja asing dengan kadar yang tinggi. Jika pekerja tempatan diberi peluang, ramai sebenarnya yang berminat untuk bekerja di sektor industri perhotelan.

BERSIH TANDAS

DHS pernah melakukan ujian ke atas 20 orang belia Malaysia yang menjalani latihan housekeeping di Singapura. Dalam temuduga berkenaan kami mendapati mereka lebih berminat untuk bertanya berapa jumlah tandas dan bilik perlu dibersihkan dalam sehari. Bersih tandas dan bilik adalah ‘sekali pandang’ sahaja dalam industri ini.

Situasinya adalah seperti seseorang mendaftarkan diri ke sekolah perubatan dan mereka ditanya sama ada anda boleh melihat mayat dan darah. Sepatutnya dalam temuduga, ahli panel hanya perlu berkongsi mengenai penekanan peri penting menjaga aset dan operasi hotel dalam industri ini.

MUDAH DIMANIPULASI

Tidak sahaja DHS, dipercayai ada kolej atau universiti juga telah terkena. Dari pengalaman DHS sendiri, ada individu mempergunakan nama DHS dan mengutip yuran serta mempromosikan program yang tidak ditawarkan oleh DHS. Lebih memeranjatkan, syarikat tersebut menggunakan konsep DHS serta sebuah universiti tempatan terkemuka untuk mempromosikan program-program tersebut.

Rakan kongsi asing juga merupakan suatu cabaran dalam bidang ini. DHS pernah melantik rakan kongsi untuk membantu menempatkan pelajar dalam program Hospitality Work Attachment. Setelah disiasat, didapati pihak berkenaan tiada dokumen atau kelulusan untuk melakukan penempatan pelajar daripada pihak berkuasa negara asal. DHS akhirnya terpaksa menarik diri daripada perkongsian tersebut. Mengikut prosedur, syarikat yang menaja program ini akan membayar yuran secara terus ke universiti terlibat. 

KEBOLEHPASARAN

DHS mengkhususkan diri pada pembelajaran asas kerja. Pembelajaran berasaskan kerja atau Work-Based Learning (WBL) merupakan suatu strategi pendidikan yang akan menyediakan pelajar dengan pengalaman kerja sebenar di mana mereka boleh menggunakan kemahiran akademik dan teknikal serta membangunkan kebolehpasaran mereka.

Kebanyakan program WBL adalah kursus universiti yang terakreditasi bertujuan untuk mencapai situasi menang-menang di mana kedua-dua keperluan pelajar dan industri seperti pekerja mahir dan berbakat akan dipenuhi.

Antara program ditawarkan DHS adalah seperti Career Work Base Learning (Youth Hospitality Career Placement Program). Program ini dibangunkan untuk pelajar yang berumur 16 tahun dan sedang belajar di sekolah.

Disusun menjadi tiga segmen iaitu enam bulan latihan kemahiran, enam bulan program kesedaran hospitaliti dan enam bulan program kemahiran kerjaya yang terdiri daripada sijil dalam Pengurusan Operasi Hotel, Sijil Penyelesaian dalam Operasi Makanan & Minuman dan Sijil Penyelesaian Operasi Runcit.

Kedua, program Career Work Skills, satu modul yang dibangunkan untuk lima orang pelajar yang berminat menceburi bidang industri perhotelan. Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengikuti Sijil Penyelesaian dalam Operasi Makanan Segera, Sijil Penyelesaian dalam Operasi Makanan & Minuman atau Sijil Penyelesaian dalam Pengurusan Operasi Hotel.

Selepas selesai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar tersebut akan dibantu dengan menempatkan mereka dalam sektor industri hospitaliti di negara ini.

Seterusnya, seramai 890 pelajar berjaya mendaftar dan menjalani Singapore Work Attacthment Program di Malaysia dan Singapura. Uniknya program ini adalah kerana ia memberi pendedahan kepada pelajar sektor industri perhotelan di Singapura dan kemudiannya kembali ke Malaysia untuk menceburi kerjaya berkenaan.

Demikian juga program Hospitality Work Integrated Learning yang akan dilancarkan pada Oktober 2019, terbuka kepada pelajar SPM yang memperoleh sekurang-kurangnya mempunyai keputusan sebanyak tiga kredit. 

MAJIKAN TERBESAR DUNIA

Untuk menggalakkan lebih ramai penyertaan dalam industri hospitaliti, kita harus ‘memerdekakan’ persepsi negatif terhadapnya. Malaysia dengan kepelbagaian budaya harus didorong untuk menjadi sebahagian daripada industri perhotelan yang merupakan majikan terbesar di dunia.

DHS berharap lebih ramai anak muda Malaysia memilih untuk berkecimpung dalam industri hospitaliti ini. Banyak perkara boleh dipelajari sebenarnya dalam industri hospitaliti dan hampir setiap hari kita akan mempelajari sesuatu yang baharu setiap hari. DHS yang boleh dihubungi menerusi talian 03-2770 2860 menandakan industri perhotelan sebagai 3D, Discipline, Demand dan Distinguish.