USMAN AWANG
USMAN AWANG 

Walaupun kini menjadi orang nombor satu Polis Diraja Malaysia (PDRM), beliau juga tidak terlepas menempuh pengalaman suka duka sebagai pegawai polis, bapa dan suami sepanjang perkhidmatannya.

Membilang-bilang hari persaraannya yang tidak sampai 40 hari lagi, beliau kelihatan telah bersiap sedia meninggalkan tugas yang dicintainya untuk menjalani hidup sebagai orang biasa.

Ikuti kisah kehidupan Mohamad Fuzi yang dikongsi dengan wartawan Utusan Malaysia, AZIAN AZIZ dan NURFARAHIN HUSSIN baru-baru ini.

USMAN AWANG BERAT HATI

Saya pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1983 sebagai pegawai penyelidik dan selepas tujuh bulan saya menerima tawaran menjadi kadet Asisten Superintenden (ASP).

Di DBP ketika itu bos saya Usman Awang (Allahyarham) atau dikenali Tongkat Warrant begitu berat mahu melepaskan saya.

Beliau beritahu akan kosongkan kerusi saya selama tiga bulan kalau saya bertukar fikiran untuk kembali ke DBP. Namun saya sebenarnya sudah mula sukakan tugas luar berbanding duduk di dalam pejabat. Saya juga minat jadi polis dan tak sangka rezeki saya dengan PDRM hingga sekarang.

MEMALI, OP LALANG

Saya melalui pelbagai pengalaman tugas termasuk perisikan. Antara kes kendalian semasa menjadi pegawai muda ialah peristiwa Memali dan Operasi Lalang.

Semasa peristiwa Memali saya baru masuk Bukit Aman dan terlibat dengan tugasan penting. Kejadian melibatkan banyak kematian dan saya terusik dengan apa yang berlaku.

Sewaktu Op Lalang pula saya turut membuat tangkapan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menyediakan kertas siasatan. Banyak orang politik terlibat ketika itu.

HILANG ISTERI, ANAK LELAKI

“Saya telah cuba sebaik mungkin melaksanakan amanah yang diberikan. Mungkin ada kecacatan, tetapi saya sentiasa yakin kalau kita mengingati Allah setiap masa, Allah akan melindungi kita.

Siapa yang pernah bekerja dengan saya tahu saya seorang workaholic dan tidak tahu curi tulang sehingga masa tidak sihat pun bertugas.

Saat-saat duka dalam hidup saya ketika kehilangan satu-satunya anak lelaki, Allahyarham Muhamad Faiz (2007) dan isteri, Allahyarham Puan Sri Azizah Hamdi yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi selepas dua minggu saya dilantik menjadi Ketua Polis Negara (4 September 2017) sebelum kembali ke hadrat Ilahi (15 Disember 2017).

Saya juga tidak terlepas daripada tohmahan, tapi saya tetap positif.

DIBALING FAIL

Kejadian yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila semasa dua kali dibaling fail kertas siasatan ke muka oleh dua bos saya kerana lambat melakukan siasatan dan kertas siasatan tidak kemas. Kedua-dua insiden itu berlaku ketika saya bertugas sebagai pegawai penyiasat di Taiping, Perak dan Bukit Aman.

Selepas dibaling fail, saya rasa macam maruah jatuh hingga tidak tidur dua tiga hari. Namun selepas itu saya sendiri berubah secara drastik dan takut hendak membuat kesilapan. Lama kelamaan saya jadi hormat dengan ketegasan ketua saya kerana disebabkan ‘teguran luar biasa’ itu saya menjadi lebih baik.

Ketua waktu dahulu amat teliti dengan kerja dan mahu setiap pegawai mereka benar-benar bertanggungjawab. Teguran mereka antara penyebab kejayaan tugas saya sehingga menjadi Ketua Polis Negara.

PEGAWAI MUDA KURANG DAYA TAHAN?

Selepas menjadi pegawai atasan, anak bos saya yang membaling fail ke muka saya pula bekerja di bawah saya. Tapi tidak pernah saya terfikir untuk ‘balas dendam’ kerana anak ketua saya itu seorang pegawai yang berdedikasi. Tapi saya juga pernah baling fail ke muka pegawai muda yang lakukan kesilapan.

Cuma berbeza dengan reaksi saya ketika mengalami kejadian sama, pegawai itu menangis dan hantar surat berhenti kerja. Ketika itu saya fikir ‘lain hulu lain parang’ berbanding semasa zaman saya menjadi pegawai muda.

Generasi baharu ini (tapi bukan semua) mungkin mereka fikir senang dapat kerja lain kerana mempunyai ijazah. Tahap komitmen terhadap kerja juga tidak begitu tinggi dan kekuatan mental tidak setanding seperti pegawai zaman dahulu.

‘KAMBING HITAM’

Selain di Cawangan Khas (SB) sehingga dilantik sebagai Pengarah, saya pernah bertugas di jabatan lain antaranya jenayah dan pengurusan. Sebagai Ketua Polis Negara, saya cuba membersihkan pasukan ini daripada isu integriti khususnya rasuah. Saya teruja dengan pendekatan yang dibuat banyak negara.

Antara paling berjaya ialah Singapura dan Hong Kong. Saya berkongsi isu ini dengan Ketua Polis Finland, Sweden dan beberapa negara Eropah dan Balkan. Saya tertarik dengan jaminan bahawa institusi mereka sifar kegiatan rasuah dalam kalangan pegawai.

Mungkin disebabkan gaji dan isu kebajikan yang diberi perhatian utama. Di negara ini mungkin ada kelompongan dan lebih 120,000 warga PDRM di bawah saya. Kita memang bercita-cita hendak pastikan PDRM bersih isu rasuah tetapi dalam jumlah besar masih ada ‘kambing hitam’ yang mencalarkan imej pasukan.

CHELSEA

Saya minat main golf dan peminat tegar pasukan bola sepak Chelsea. Setiap tahun saya menyaksikan perlawanan melibatkan Chelsea. Terbaharu, saya menyaksikan Chelsea menentang pasukan Tottenham di Stadium Wembley, England tapi ketika itu Chelsea kalah 1-3.

Antara rancangan selepas bersara, saya mahu menonton secara live perlawanan Chelsea. Saya juga tidak berhasrat berkahwin lagi dan gembira dengan kehidupan sekarang.

Mungkin selepas ini saya akan bergiat aktif dalam sukan golf, dan melawat beberapa tempat.