Tuan boleh menghantar pasukan penyiasat Jabatan Sumber Manusia sama ada sahih atau tidak. Oleh kerana surat ini tertera nama saya, maka ia bukan surat layang. Justeru, saya mohon surat ini tidak ditong sampahkan.

Warkah aduan ini menyatakan kesalahan mengikut kaedah yang disyorkan oleh Merrepak setiap kali sambutan Hari Pekerja seperti ini:

1. Datang bekerja 
tepat waktu

Ini terutama pejabat kita tidak menggunakan sistem punch card, semua tahu kita bermula 9 pagi dan segelintir muncul 10 pagi. Ada yang datang 9 pagi, tapi 9.05 pagi dia ke kafe dan muncul semula sejam dua kemudian.

2. Sengaja lewat

Kita ada mesyuarat harian 10 pagi. Ada mesyuarat mingguan bersama bos-bos. Tapi seorang dua ini memang sengaja masuk lewat. Mereka tidak menghormati rakan sepejabat, bongkak terhadap sistem kerja dan biadab terhadap bos-bos.

3. Makanan berbau

Dalam keadaan ekonomi negara tidak baik sekarang, semua digalak berjimat. Tidak salah bawa bekal. Masalahnya, makan di meja kerja adalah sangat tidak sihat. Makanan bersepah, berbau dan bising yang memberi impak serius terhadap kesejahteraan rakan sepejabat lain, termasuk yang terliur melihat anda makan tanpa mengajaknya sekali.

4EL

EL atau cuti kecemasan, adalah keistimewaan di bawah undang-undang kepada pekerja yang berdepan situasi mengejut seperti kematian ahli keluarga, kemalangan, kena rompak atau demam. Tetapi kekerapan mengambil EL pasti menimbulkan tanda-tanya rakan sepejabat, seolah-olah itu menjadi hak peribadi.

5. Negatif

Dalam semua situasi, jawapan diberi mesti condong ke arah `tak boleh, susahlah’. Sikap ini diterjemahkan sebagai `enggan bekerjasama’. Begitu juga mereka yang suka merungut. Gaji lewat, merungut di Facebook. Cuti dipotong, marah besar sampai mak cik kantin pun tahu.

6. Pengotor

Pernah terjumpa cawan tidak bercuci di singki bilik pantri? Ada sampai membusuk sebab berhari-hari terbiar. Kita tahu siapa punya angkara. Nama dia ada pada cawan. Berbanggakah dikenali rakan sepejabat sebagai pengotor? Samalah meja kerja. Berselerak. Hendak cari tetikus pun susah.

7. Main gajet

Mengadakan mesyuarat bukan suatu ritual semata-mata tetapi peluang untuk semua orang aktif di dalam perbincangan. Bila ada yang bermain telefon, berbalas WhatsApp, ia merencatkan kelancaran sesi cambah minda. Yang jelas, anda tidak peduli pun apa yang dibincangkan.

8Menyampuk

Mesti ada kaki sanggah di mana-mana organisasi. Mesti ada berkelakuan ketua pembangkang. Bila orang bagi cadangan, dia mencelah, menyampuk dan mempertikai. Semua ini perlakuan kurang sopan sebab tidak menghormati orang lain yang mahu bersuara.

9. Terhandal

Berbincang bertujuan mencari penyelesaian terbaik. Bukan salah menya­lah, apa­tah lagi jika pasukan yang ada pada organisasi sangat kecil. Bila bersikap tunding jari, apakah dia mengatakan dia seorang yang paling handal kerana tidak berbuat silap?

10Cakap besar

Untunglah ada suami kaya-raya. Layaklah berkereta Jerman ke pejabat. Tetapi wajarkah bercerita mengenai kos servis kereta Jerman anda itu dengan rakan sepejabat yang sekadar memiliki Kia Picanto?

11Kebersihan diri

Kalau hendak dikaitkan kejadian tiada air di Lembah Klang, ia baru berlaku minggu lepas. Kenapa bau hamis? Jimat air atau memang malas mandi pagi? Tak cukup itu, pakaian kerja kusut masai, tidak bergosok. Pelawat datang pejabat, pasti beranggapan warga organisasi anda lekeh.

12. Masalah peribadi

Menurut satu kajian, terdapat dua isu yang ketara bila seseorang itu berbicara mengenai masalah peribadi di tempat kerja. Pertama, anda tidak tekun bekerja kerana sibuk memikirkan hal peribadi. Kedua, masalah peribadi yang tidak putus-putus memberi gambaran anda tidak tahu menyelesaikan masalah, apa lagi berkaitan kerja. Jadi, tempat terbaik bercerita hal peribadi ialah di luar pejabat.

13Aktif berpolitik

Jika seseorang itu aktif berpolitik di luar, kemungkinan dia berpolitik di dalam pejabat sangat besar. Ini terutama terhadap mereka yang tidak sehaluan dengan parti yang didokong. Suasana pejabat pasti menjadi suram dan muram bila bertelagah. Yang sama parti pun boleh gelisah, jika seorang sokong presiden dan seorang sokong penaung.

14. Membawang

Lazimnya ini berlaku bila seseorang itu merasa diri disayangi bos, gaji besar, sangat senior, semua orang tidak sepintar dia atau tiada siapa berbakti besar kepada organisasi seperti dia. Tidak semena-mena terpacul mulut mencela atau membawang rakan sepejabat. Orang yang dicela pasti tersinggung. Orang yang mendengar celaan itu pun sama.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

----------------------------------

Nama:__________________

No kakitangan: ______________