Hikmah itu mesti berlandaskan keyakinan akidah, sumber ilmu yang sahih dan ia mesti mampu menyelesaikan masalah. Oleh itu, kita harus perbanyakkan majlis ilmu dan perbincangan.

Sekarang isu Dong Zong (Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina), Dr. Zakir Naik serta pembelajaran Jawi dan khat di sekolah. Antara yang melontarkan (pandangan) fahamannya dangkal. Ada yang memperjuangkan Cina dan ada yang menjadi champion Melayu, tetapi mereka sebenarnya sama-sama dangkal. Perbahasan yang tercetus, lebih banyak daripada sumber fahaman kaum yang sempit.

Kita tidak boleh menolak hasrat untuk mempertahankan kepentingan kaum dan agama tetapi mesti bersandarkan prinsip keadilan dan kemanusiaan serta rahmatan lil alamin (pembawa rahmat ke seluruh alam).

Bagaimana kita nak membicarakan soal Islam tetapi ketepikan permasalahan keadilan? Kalau kita pilih untuk menjadi orang Islam yang sebenar, kita kena terima kaedah ini walaupun betapa sukar sekalipun. Tapi ini tidak bermakna menjadi zero-sum game (siapa menang dia berkuasa).

Ada orang kata, Anwar, you nampak kurang dalam soal Melayu. Saya nak menyebut dari segi sejarahnya, dari segi bahasa dan agama, saya lebih keras daripada pejuang-pejuang Melayu haprak ini. Berbicara soal Melayu untuk mengaut kekayaan diri sendiri. Berbicara Melayu tetapi rendah akhlak dan akal budi.