Tugas yang digalas JLN bukan sahaja mewujudkan kemudahan dari segi pembangunan landskap semata-mata, sebaliknya memu­puk pemahaman berkenaan ke­pentingan landskap dalam kala­ngan masyarakat semaksimum mungkin.

Peranan JLN boleh dirumuskan menerusi definisi landskap iaitu pandangan luaran yang wujud sama ada secara semula jadi atau buatan yang dapat dilihat di atas muka bumi seperti tumbuh-tumbuhan, topografi, bangunan, su­ngai, tasik dan lain-lain.

Selain kewujudan secara semula jadi, pelbagai cara boleh dilakukan untuk mewujudkan landskap yang menarik bagi menghiasi muka bumi ini.

Bagi mencapai maksud tersebut, Ketua Pengarah JLN, Esa Ahmad berkata, kerajaan pada 3 Mac setiap tahun menganjurkan Hari Landskap Negara bertujuan memupuk semangat kecintaan landskap dalam kalangan rakyat yang sekali gus dapat menyemai sikap menya­yangi alam sekitar.

Katanya, matlamat lain Hari Landskap Negara adalah mempertingkatkan kualiti pembangunan landskap dengan mewujudkan minat dan pengetahuan dalam kala­ngan semua pihak terhadap landskap.

“Tujuan Hari Landskap Negara juga bersesuaian dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai Negara Taman Terindah menjelang 2020.

“Tanpa pemahaman yang jitu dan jelas adalah sukar bagi kerajaan untuk menyemat budaya landskap kepada rakyat kerana kese­daran adalah asas utama dalam soal ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di Putrajaya, baru-baru ini.

Esa menjelaskan, landskap adalah komponen penting dalam me­ningkatkan kesejahteraan bandar kerana ia menyediakan infrastruktur hijau dan mampan sebagai teras penghijauan bandar.

Katanya, JLN mempunyai dua matlamat iaitu membangunkan akses-akses taman termasuk dari segi penyelenggaraan dan pengekalan kawasan hijau.

“Penyediaan infrastruktur hijau menjadi akses kepada masyarakat untuk beriadah dan mengamalkan gaya hidup sihat sekali gus mampu meningkatkan kesihatan masyarakat ke arah kehidupan berkualiti dan menyeluruh di kawalan perbandaran.

“Dalam erti kata lain, JLN berperanan menyediakan akses (taman landskap) demi kesejahteraan penduduk bandar,” katanya.

Bercakap lebih lanjut mengenai sambutan Hari Landskap Negara 2016, Esa memberitahu sambutan yang bermula sejak 1997 itu bakal sekali lagi dianjurkan tahun ini pada 5 dan 6 Mac di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak (lama) dan Taman Botani Sarawak, Petra Jaya, Kuching, Sarawak.

Menurut beliau, Hari Landskap Negara 2016 yang bertemakan, Landskap Berfungsi Kehidupan Berkualiti, dijadual dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.

Beberapa program menarik di­atur sepanjang dua hari acara itu berlangsung.

“Antara program menarik adalah pertandingan mereka bentuk landskap dan melukis mural, acara penanaman pokok, dan agihan anak pokok kepada para pengunjung dengan sasaran turut melibatkan pelbagai lapisan umur termasuk kanak-kanak.

“Menariknya sambutan tahun ini ialah kerana diadakan di Taman Botani Sarawak, iaitu salah satu projek pembangunan JLN di ne­geri tersebut selain menjadi lokasi pelancongan utama di negeri itu.

“Pelbagai aktiviti yang dianjurkan melibatkan kerjasama Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan beberapa jabatan serta agensi ne­geri,” katanya.

Menyentuh tentang cabaran JLN, Esa berkata, amanah yang paling besar untuk dipikul oleh pihaknya adalah berkenaan tugas penyelenggaraan taman-taman rekreasi di seluruh negara bagi memastikan ia sentiasa selamat digunakan oleh orang-ramai khususnya kanak-kanak.

Katanya, selain itu, orang ramai perlu memainkan peranan dengan bersama-sama menjaga kemudah­an rekreasi awam yang disediakan kerajaan agar boleh dimanfaatkan oleh masyarakat awam dalam jangka masa panjang.

“Kerajaan terpaksa mengelu­arkan dana yang besar bagi kos penyelenggaraan taman rekreasi awam seluruh negara ekoran sikap tidak bertanggungjawab rakyat Malaysia sendiri.

“Adalah baik sekiranya peruntukan itu digunakan untuk tujuan pemba­ngunan lain.

“Oleh itu, Hari Landskap Negara bersesuaian dengan matlamat ini mahu mengajak masyarakat untuk menjaga keindahan landskap di kawasan masing-masing bagi menjamin kelestarian alam,” katanya.