Berhemah guna wang PTPTN

Berhemah guna wang PTPTN

MEMBAYAR semula pinjaman menunjukkan sikap tanggungjawab graduan untuk melihat generasi akan datang dapat menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) banyak membantu pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi tanpa harus terbeban dengan kos yuran dan perbelanjaan harian.

Namun, penggunaan wang PTPTN yang tidak berhemah boleh mengakibatkan kesukaran kewangan dalam jangka masa panjang. Ramai pelajar cenderung menganggap wang ini sebagai ‘duit percuma’ tanpa memikirkan tanggungjawab untuk membayarnya kembali setelah tamat pengajian.

Wang tersebut seharusnya digunakan untuk tujuan utama iaitu pendidikan. Yuran pengajian, buku, alat tulis dan keperluan akademik lain perlu diutamakan dalam perbelanjaan. Pelajar perlu bijak mengutamakan keperluan berbanding keinginan, terutama dalam era yang mana godaan perbelanjaan mewah semakin berleluasa.

Sebagai contoh, ada pelajar yang menggunakan wang tersebut untuk membeli gajet mahal, pakaian berjenama atau melancong tanpa merancang kewangan dengan baik. Sikap sebegini boleh menyebabkan pelajar kehabisan wang lebih awal daripada jangkaan dan terpaksa bergantung kepada sumber lain seperti bantuan keluarga atau pinjaman tambahan, yang akhirnya menambah beban kewangan.

Membuat bajet bulanan dapat memastikan wang PTPTN mencukupi sepanjang semester. Pelajar boleh menyenaraikan perbelanjaan wajib seperti sewa rumah, makan minum dan pengangkutan, kemudian mengasingkan sebahagian kecil untuk simpanan kecemasan.

Disiplin dalam mengurus wang sangat penting agar tidak berlakunya pembaziran. Penggunaan aplikasi kewangan atau buku catatan perbelanjaan boleh membantu pelajar mengawal aliran keluar masuk wang. Dengan adanya perancangan kewangan yang rapi, pelajar dapat mengelakkan kehabisan wang sebelum tempoh semester tamat dan tidak perlu bergantung kepada sumber lain yang boleh menambah tekanan kewangan.

Selain itu, pelajar juga digalakkan mencari sumber pendapatan sampingan untuk menampung perbelanjaan mereka. Terdapat banyak peluang pekerjaan sambilan yang boleh dilakukan tanpa mengganggu pengajian. Sebagai contoh, pelajar boleh melakukan kerja sebagai penterjemah bebas, tutor dalam talian, menjual produk secara dalam talian atau menyediakan perkhidmatan suntingan dokumen. Pendapatan sampingan ini boleh digunakan untuk menampung keperluan harian, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada wang pinjaman ini. Dengan cara ini, pelajar boleh menggunakannya wang PTPTN untuk pendidikan dan mengelakkan pembaziran yang tidak perlu.

Satu lagi aspek yang perlu ditekankan ialah kesedaran untuk membayar balik pinjaman setelah tamat pengajian. Malangnya, terdapat segelintir graduan yang tidak mengambil serius tentang pembayaran balik, menyebabkan hutang terkumpul dan dikenakan penalti. Ini bukan sahaja merugikan peminjam sendiri tetapi juga menyukarkan PTPTN dalam menyediakan dana untuk pelajar generasi seterusnya.

Graduan yang bekerja harus segera merancang pembayaran balik pinjaman mengikut kemampuan mereka. PTPTN menawarkan pelbagai kaedah pembayaran yang fleksibel, termasuk pemotongan gaji dan bayaran secara ansuran dalam jumlah yang mampu dibayar.

Jika seseorang menghadapi kesukaran kewangan, terdapat pilihan untuk berbincang dengan PTPTN bagi mendapatkan pelan bayaran yang lebih sesuai. Sikap bertanggungjawab dalam membayar balik pinjaman bukan sahaja membantu mengurangkan beban hutang sendiri tetapi juga memberikan peluang kepada pelajar lain untuk mendapatkan pembiayaan pendidikan yang sama.

Pelajar harus melihat pembayaran balik PTPTN sebagai satu pelaburan untuk masa hadapan. Dengan melunaskan hutang secara konsisten, mereka dapat meningkatkan rekod kewangan yang baik, seterusnya membantu dalam mendapatkan kemudahan kewangan lain seperti pinjaman perumahan atau perniagaan di masa hadapan. Selain itu, PTPTN juga menawarkan diskaun bagi mereka yang membuat bayaran balik lebih awal atau secara sekali gus. Oleh itu, mengambil peluang untuk membayar balik lebih awal boleh mengurangkan beban kewangan dan memberikan ketenangan minda dalam jangka masa panjang.-UTUSAN

ANIQ SYAFI ZAIMY
Dengkil, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN