TERLEBIH dahulu saya ingin merakamkan terima kasih di atas pihak pembaca yang sangat berminat berkenaan pengurusan perpustakaan sejak akhir-akhir ini.
Apabila membincangkan berkenaan perpustakaan, berbondong-bondonglah kritikan diberikan kepada kewujudan perpustakaan terutamanya di media sosial. Ada yang mengatakan apa relevannya kewujudan perpustakaan terutamanya pada era kecerdasan buatan (AI) yang sangat mencabar ini.
Ironinya, kritikan ini daripada kalangan yang langsung tidak pernah ke perpustakaan. Apabila ditanya, bila kali terakhir ke perpustakaan? Jawapan yang diberikan langsung tidak mencerminkan kritikan yang diberikan sebelum ini. Yang peliknya, ada yang mencadangkan perpustakaan perlu satu anjakan yang lebih hebat dan melontar cadangan dari ‘jauh’ tanpa memahami realiti yang telah dan sedang berlaku di peringkat perpustakaan.
Ada juga yang hanya membaca tajuk akhbar berkaitan perpustakaan, tempel keratan di media sosial dan membuka ruangan komen hanya semata-mata untuk mencipta persepsi dalam masyarakat. Inilah senario yang berlaku oleh masyarakat kita pada hari ini.
Kita tidak menafikan peranan perpustakaan semakin mencabar pada masa kini. Namun semua cabaran ini berjaya diserap kakitangan perpustakaan itu sendiri. Profesional yang dikenali sebagai pustakawan dan separa profesional yang dikenali sebagai penolong pustakawan bersedia untuk menerima pelbagai pembaharuan yang berlaku terutamanya dalam revolusi digital ini.
Peranan profesion ini dicambah dengan pelbagai fungsi demi untuk kekal relevan dalam masyarakat. Terdapat pustakawan menjadi pakar terutamanya dalam bidang AI dan berkebolehan untuk menyebarkan ilmu kepada masyarakat awam mahupun warga universiti.
Perpustakaan dahulunya hanya berkaitan buku dan akhbar semata-mata telah diubah fungsinya. Kini berkembang menjadi pusat kegiatan komuniti atau hub utama masyarakat setempat bagi perpustakaan negeri, cawangan mahupun desa.
Bagi perpustakaan akademik pula telah bergerak jauh kehadapan dan menjadi pakar bagi pusat kajian bagi masyarakat orang kurang upaya (OKU), kajian berkaitan robotik, pusat penyebaran teknologi tinggi seperti Realiti Terimbuh (AR), ruang Makerspace, kelas literasi digital dan internet berkelajuan tinggi.
Selain itu, terdapat perpustakaan akademik sedang mempraktikkan ke arah teknologi blockchain, segalanya internet (IoT) dan data raya. Dengan semua senarai di atas jelas menunjukkan perpustakaan akan terus relevan dan mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna. Sesungguhnya revolusi perpustakaan telah lama berkembang di Malaysia dan berkelas dunia.-UTUSAN
MUHAMMAD LUKMAN HARUN
Timbalan Ketua Pustakawan
Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS)










