Bunyinya mungkin agak mengejutkan, namun itulah realiti yang terpaksa diterima sekiranya tiada sebarang langkah diambil bagi menggalakkan kadar pertumbuhan orang Kanaq di negara ini, kata Wan Assin Wan Sheikh.

Beliau yang merupakan Pengarah Jakoa Negeri Johor menegaskan, bilangan pertumbuhan etnik orang Kanaq sangat rendah jika dibandingkan dengan etnik Orang Asli lain di negara ini.

“Mengikut statistik, pada ketika ini, terdapat seramai 89 orang Kanaq daripada 24 buah keluarga dan mereka hanya terdapat di Kampung Selangi, Kota Tinggi, Johor.

“Tidak dinafikan pertumbuhan penduduk Orang Asli ini setiap tahun sangat kecil sehingga ada pada tahun tertentu, tiada langsung kelahiran baharu dicatatkan,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Wan Assin berkata, antara faktor mendorong kepada kadar pertumbuhan yang rendah dalam kalangan etnik itu adalah disebabkan penduduknya yang mengamalkan perancang keluarga sama ada melalui kaedah tradisional mahupun moden.

Katanya, penduduk Orang Asli itu sejak dahulu lagi mengamalkan minuman sejenis herba yang dikenali sebagai ‘jarak anak’ dan tumbuhan herba itu diperolehi di Hutan Panti, Kota Tinggi.

Bukan itu sahaja, wanita etnik itu juga mengambil pil perancang dan membuat suntikan pencegah kehamilan.

Rasionalnya penduduk memakan pokok ‘jarak anak’, mengambil pil perancang dan membuat suntikan pencegah kehamilan adalah disebabkan faktor kemiskinan, yang mana masyarakat itu tidak mempunyai daya saing dan motivasi diri untuk memajukan diri.

“Bukan itu sahaja, faktor lain yang menyebabkan kadar pertumbuhan etnik ini perlahan adalah disebabkan amalan berkahwin dalam kelompok mereka menyebabkan etnik ini tidak berkembang dan berpenyakit.

“Sebagai contoh, pada 2012 hingga 2013, hanya dua kelahiran dicatatkan tetapi pada tempoh sama melibatkan seorang kematian warga emas.

“Justeru, tidak hairan sekiranya dalam tempoh 10 tahun, orang Kanaq akan pupus sekiranya tiada sebarang langkah pencegahan dilakukan,’’ tegasnya.

Bagi seorang wanita daripada suku Kanaq, Radiah Tekeng, 36, beliau mengakui wanita dalam kalangan etnik itu minum minuman herba yang direbus daripada pokok jarak anak sejak zaman nenek moyang mereka lagi.

Bagaimanapun, jelasnya, seiring dengan peredaran masa, mereka lebih senang menggunakan cara moden sama ada dengan makan pil perancang atau membuat suntikan pencegahan kehamilan.

“Nenek moyang kami memang ada makan pokok jarak anak ini tetapi sekarang ada dalam kalangan kami yang memakan pil perancang atau membuat suntikan pencegah kehamilan.

“Saya sendiri mengamalkan suntikan mencegah kehamilan setiap tiga bulan sekali selepas melahirkan anak pertama pada 2002,” katanya.

Radiah yang mempunyai dua anak lelaki berusia 14 tahun dan sembilan tahun menjelaskan, antara faktor lain dia mengambil keputusan membuat suntikan pencegah kehamilan adalah disebabkan saranan doktor memandangkan dia menghidap penyakit jantung.