Penerbangan rutin pesawat C130 Hercules TUDM yang berlepas dari Subang menuju Labuan menarik perhatian kerana berbagai-bagai naratif mengenai apa yang sebenar berlaku di laluan udara yang sering digunakan oleh pesawat TUDM bagi penerbangan ke Sabah dan Sarawak.

Naratif yang paling popular akhbar Indonesia adalah pesawat C130 telah dicegat (pintas) dan diusir keluar oleh dua pesawat tempur F16 milik TNI-AU setelah dua radar pemantauan di Ranai, Pulau Natuna dan Tanjung Pinang, Kepulauan Riau dikatakan gagal memperoleh pengesahan pengenalan secara komunikasi audio dengan juruterbang C130.

Tetapi ada juga akhbar Indonesia yang menggunakan naratif selari dengan apa yang rakyat Malaysia dimaklumkan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Akhbar tersebut melaporkan C130 TUDM sebenarnya tidak dicegat atau disergap tetapi pengenalan secara visual dilakukan oleh F16 TNI-AU untuk mengesahkan identifikasi negara milik C130 tersebut.

Walau apa jua bentuk penceritaan yang hendak dipercayai, hasrat utama yang hendak dicapai oleh Jakarta sebenarnya telah tercapai iaitu Indonesia tidak akan berkompromi apabila kedaulatan mereka bagaikan dicabar. Walaupun C130 telah menggunakan laluan lazim yang dipersetujui oleh kedua-dua negara sejak 1982 lagi, isu tersebut tidak penting kerana sistem pertahanan udara Indonesia dikatakan telah melaksanakan tugas mereka.

Dalam keadaan biasa isu C130 dan F16 tersebut dianggap sebagai perkara lazim di antara dua negara bersempadan tetapi dua hari sebelum itu Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) telah melawat Pulau Natuna dan memperingatkan TNI supaya mempertahankan kedaulatan pulau tersebut.

Tiada masalah mengenai kedaulatan Pulau Natuna di antara Indonesia dan Malaysia tetapi peringatan Jokowi dibuat kerana pencerobohan sering berlaku di perairan tersebut terutama sekali oleh nelayan dari China. Tahun ini sahaja telah berlaku tiga pencerobohan dan yang terakhir dua minggu lepas telah memaksa TNI-Angkatan Laut melepaskan tembakan dan menahan kesemua nelayan China tersebut.

Walaupun Pulau Natuna tidak termasuk dalam pertikaian tuntutan bertindih sempadan maritim Laut China Selatan yang melibatkan empat negara ASEAN iaitu Malaysia, Vietnam, Filipina dan Brunei, tetapi tuntutan China yang menghampiri 90 peratus perairan Laut China Selatan bertindih dengan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Indonesia yang menggunakan Pulau Natuna sebagai asas sempadan zon tersebut.

Bukan menjadi rahsia lagi China menggunakan nelayan mereka untuk menangkap ikan di kawasan pertikaian dan sering kali kumpulan nelayan ini mendapat perlindungan sama ada daripada tentera laut atau pengawal pantai China. Dipercayai juga ada kalangan nelayan ini mendapat latihan ala tentera untuk menghadapi cabaran tentera negara asing.

Sebab itu juga jika sebelum ini perairan Pulau Natuna dikawal selia oleh Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia (KKP), tetapi oleh kerana tindak-tanduk nelayan China menjadi begitu agresif, kawalan tersebut diambil alih oleh TNI-AL. Melalui dasar maritim Jokowi yang agak keras sejak dilantik presiden pada Oktober 2014, sebanyak 176 bot nelayan asing telah dirampas dan kebanyakannya dimusnahkan melalui penggunaan bahan letupan.

Malaysia juga menghadapi masalah yang serupa kerana sudah acap kali EEZ negara diceroboh oleh nelayan China terutama sekali di sekitar Beting Patinggi Ali dan Serupai berhampiran perairan Sarawak. Tetapi jika hendak dibandingkan pendekatan Malaysia dan Indonesia dalam menghadapi masalah ini agak jauh berbeza.

Dasar tiada kompromi Jokowi terhadap pencerobohan kedaulatan Indonesia dilaksanakan dengan sepenuhya oleh agensi keselamatan mereka untuk mendapatkan impak paling maksimum. Sebab itu apabila KKP Indonesia tidak mampu menangani kehadiran nelayan China dengan efisien, TNI-AL mengambil alih peranan tanpa timbul konflik pertindihan kuasa di antara dua kementerian berbeza.

Agak berbeza sedikit dengan isu pencerobohan nelayan China terhadap kedua-dua beting milik Malaysia iaitu Patinggi Ali dan Serupai beberapa bulan lepas kerana timbul persepsi bagaikan berlaku pertembungan dasar di antara menteri yang terlibat. Ketika itu rakyat agak keliru mengenai apa yang sebenarnya telah berlaku kerana naratif yang disampaikan agak berbeza di antara satu sama lain.

Indonesia juga pintar menggunakan isu pencerobohan nelayan China dan C130 TUDM untuk mempertingkatkan semangat nasionalis rakyat mereka. Apa yang cuba dipamerkan oleh Jakarta adalah apabila berhadapan dengan isu kedaulatan, segala usaha akan dilaksanakan untuk mempertahankan hak mereka.

Tiada kompromi terhadap nelayan China memberi persepsi kepada rakyat mereka bahawa pemimpin republik itu tidak gentar menghadapi kuasa besar seperti China. Begitu jua dengan isu C130 TUDM dengan pelbagai naratif digambarkan memberi tafsiran bahawa walaupun Malaysia dianggap negara akrab dengan Indonesia, tetapi keakraban itu tidak akan mengaburi tindakan yang sepatutnya diambil.

Begitu berbeza sekali reaksi rakyat Indonesia berkaitan peristiwa C130 TUDM dan F16 TNI-AU. Mereka merasa begitu bangga kerana kedaulatan negara dipertahan walaupun tidak dapat dipastikan naratif mana yang sebenarnya berlaku tetapi di Malaysia pula sebahagian besar rakyat tidak ambil kisah dengan apa yang telah berlaku.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.