MOHD. ASRI: Saya tak tahu, mereka kena sebut siapa individu berpengaruh itu. Dalam hal ini, Raja Muda Perlis telah mengambil langkah proaktif.
Disebabkan Perlis bukan sebuah negeri yang besar, maka ramai yang mempunyai hubungan antara satu sama lain. Malah di institusi yang dikaitkan dengan pengganas itu, terdapat pelajarnya yang merupakan bekas pemain bola sepak Perlis dan dikenali ramai termasuk baginda.
Oleh sebab itu, baginda bukan sahaja prihatin isu keganasan tetapi juga bimbang sekiranya rakan-rakannya ini terlibat dalam aktiviti pengganas.
Namun semasa pertemuan dengan Ketua Polis Perlis (baru-baru ini), beliau menyatakan yang terbabit (disyaki terlibat keganasan) hanyalah seramai enam orang sahaja.
Mereka yang lain tiada rekod termasuklah yang mentadbir iaitu orang tempatan.
Dalam pertemuan itu, baginda turut menitahkan pihak pengurusan institusi menghadap untuk memberi ruang dan keadilan serta mendengar penerangan mereka.
Pihak institusi tersebut telah memberi jaminan untuk bekerjasama dalam siasatan.

Baru-baru ini, pihak Datuk ada mencadangkan supaya seorang pegawai atasan PDRM tidak terlibat dalam penyiasatan kes ini. Boleh berikan sebab?

MOHD. ASRI: Saya menamakan beliau (Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism-E8 Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay) bukan kerana saya mempertikai keselamatan polis.
Tetapi kerana berdasarkan rekod beliau yang saya lihat sebelum ini sentiasa bekerjasama dengan Dr. Zamihan Mat Zin (Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah-Aswaja). Sebab itu saya menyebut nama Ayob. Jadi saya nak jaga profesionalisme ini.
Kita tahu sebelum ini, Zamihan bekerja dengan E8 seorang individu yang sektarian, anti kepada Perlis dan mempunyai pemikiran yang ekstrem berhubung pelbagai isu.
Antaranya isu dobi selain mengkafirkan orang lain. Zamihan dilarang (berceramah) di Johor dan Selangor kerana pemikirannya yang ekstrem. Beliau juga mempertikaikan Sultan Johor.
Tetapi (hairannya) orang seperti ini bekerja pula dengan pihak untuk memulihkan golongan ekstrem.
Yang kedua, saya pernah jemput Ayob Khan bagi taklimat tentang masalah keganasan, tetapi beliau tidak mahu datang. (Apabila) saya jumpa beliau, saya tanya kenapa tak datang, beliau tidak beri jawapan.
Sebagai seorang yang profesional, apabila surat rasmi dihantar, individu itu mesti menjawabnya secara rasmi juga, 
tetapi beliau senyap, mungkin kerana beliau tahu apa yang kita hendak tanya.
Jadi dalam hal ini, saya bukan mempertikaikan PDRM, tetapi profesionalisme individu berkenaan. Jika Ayob hendak mengetuai siasatan, maka saya rasa tidak wajar.
Saya mempunyai sebab yang jelas. Ini bukan soal peribadi tetapi profesionalisme dan PDRM kenalah beri penekanan kerana melibatkan soal kepercayaan.
Kita mengalu-alukan siasatan terhadap pengganas dan kita memberikan kerjasama.
Tetapi dalam perkara sama, PDRM juga perlu menjawab persoalan yang rakyat ingin tahu seperti isu Kumpulan Pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang mana ratusan laporan polis dibuat di seluruh negara.
Rakyat bertanya adakah mereka ini pengganas atau tidak, tetapi sehingga hari ini tiada jawapan.
Berbagai-bagai bukti dan gambar individu tertentu dikemukakan tetapi sehingga hari ini, tiada satu pun jawapan daripada Bahagian Counter Terrorism termasuk Ayob.

Benarkah pendekatan berbeza di Perlis menyebabkan negeri itu dilabel sebagai pengganas atau tumpuan pengganas?


MOHD. ASRI : Pendekatan beragama yang terbuka di Perlis sehingga timbul isu ini (pengganas) cuba dibuat oleh Zamihan dan rakan-rakannya. Saya kena sebut nama ini (Zamihan) sebab isu ini berkembang daripada apa yang beliau sebut.
Tetapi apakah yang berbeza itu. Kita tidak pernah melihat di Perlis, orang bergaduh kerana isu agama. Tidak pernah ada isu dua imam seperti mana berlaku di Kelantan dan Terengganu. 
Tidak pernah ada orang menceraikan isteri kerana berbeza fahaman agama dan politik seperti yang berlaku juga di Kelantan dan Terengganu, dan parti-parti tertentu.
Tidak pernah ada orang bertumbuk kerana tidak mahu makan sembelihan, tidak mahu datang makan kenduri atau mengasingkan kubur.
Orang Perlis tidak membaca qunut subuh, itu bukanlah berbeza sangat. Kalau kita pergi di seluruh dunia, tiga perempat orang  Islam tidak qunut subuh.
Pergilah ke Turki, Jordan atau sembahyanglah ke mana sahaja, majoriti orang Islam iaitu mereka bermazhab Hanafi dan Hambali, mereka ini tidak qunut semasa subuh.
Membaca bismillah perlahan, juga sama, majoriti dalam dunia ini begitu. Cuma pilihan di Nusantara ini bermazhab Syafie, tetapi itu tidak bermakna Perlis berbeza, sebaliknya kita bersama umat Islam yang majoriti dalam konteks di dunia.
Cumanya ada orang tidak biasa dan tidak terdedah kepada pengetahuan Islam. Begitu pun, apa yang diamalkan di Perlis sudah menjadi pilihan di peringkat negara juga. Kini ada mufti-mufti juga dah mula bercakap yang kita tidak boleh terikat kepada satu mazhab.
Dalam hal ini saya mengalu-alukan kenyataan Mufti Pulau Pinang selain pada masa sama, menteri-menteri sudah mula bercakap tentang fatwa Perlis.
Dahulu Perlis cakap zakat fitrah boleh dibayar menggunakan wang dan (malangnya) kita dianggap salah dan sesat. Tetapi sekarang, seluruh Malaysia menggunakan wang untuk membayar zakat.
Ini kerana pandangan di Perlis itu relevan, sederhana dan fleksibel, malah di Perlis paling banyak meraikan pendapat bukan Muslim.
Ini termasuk fatwa kita yang membolehkan umat Islam berkahwin dengan ahli kitab dan Kristian. Bukan di zaman saya (jadi mufti) tetapi sebelum itu lagi. Pergilah ke Jordan dan negara Arab, perkara ini (perkahwinan) dibenarkan.
Jelaslah, kalau Perlis dilabel sebagai ekstrem, tentu kita kata tak boleh. Maksudnya, kita akan menggunakan pendekatan yang keras.
Begitu juga saya sebagai mufti, ramai yang menuduh sebagai liberal, jadi di mana dan bagaimana hendak disamakan liberal dengan elemen pengganas.
Ini menunjukkan bahawa orang kadang-kadang tidak tahu apa 
itu istilah digunakan. 
Apabila pandangan terbuka dituduh liberal manakala pandangan yang ketat (keras) dikatakan pengganas.
Ini adalah kerana kita diajar mengamalkan Islam ala politik kepartian tertentu yang mana menjurus kepada tujuan-tujuan politik.
Kalau kita melihat Islam yang lebih akademik, maka kita akan melihat dari sudut dalil dan saya rasa Perlis adalah yang paling harmoni.
Buktinya kerana kita tidak ada peristiwa seperti di Memali dan amalan-amalan berbeza dan pergaduhan dalam isu agama.
Begitu juga apabila ramai tokoh Perlis termasuk saya sendiri apabila pergi ke luar, tiada orang yang pernah ditumbuk dan sebagainya.