Malah, Perlembagaan Persekutuan boleh secara sah mewujudkan sekatan terhadap hak kebebasan berhimpun sepertimana yang dinyatakan fasal 10 (2), (3) dan (4) yang antara lain demi menjaga kepentingan awam, keselamatan persekutuan dan akhlak masyarakat.

Hak kebebasan berhimpun juga boleh dimanipulasi dan mendatangkan mudarat kepada maslahah masyarakat. Suatu iktibar yang boleh kita ambil daripada tindakan golongan yang tidak bertanggungjawab dalam menuntut hak-hak kebebasan berhimpun mereka ialah kejadian rusuhan Stonewall yang berlaku di NYC Greewich Village, Amerika Syarikat. Selepas dua tahun susulan kejadian tersebut, majalah terkenal Barat Newsweek telah menerbitkan satu rencana berjudul "The Militant homosexual" pada 23 Ogos 1971, yang cuba menjelaskan secara panjang lebar kepada pembacanya mengenai sebab-sebab munculnya golongan homoseksual pada waktu tersebut.

Keseluruhan empat muka surat rencana tersebut adalah mengenai kemunculan secara mendadak masyarakat gay, yang memberikan kesan terhadap aspek-aspek peribadi, psikologi, keluarga dan hal ehwal politik masyarakat ketika itu. Suatu perkara yang menarik ialah berhubung penggunaan istilah 'militan' yang muncul sebanyak 15 kali di dalam rencana tersebut. Penulis rencana tersebut menggunakan istilah militan untuk menggambarkan sikap golongan masyarakat gay; mereka bertindak bagaikan militan untuk memaksa rakan-rakan mereka menerima budaya hidup songsang itu, mereka bersikap militan apabila menolak keputusan Persatuan Psikiatri Amerika (APA) yang mengklasifikasikan golongan tersebut sebagai berpenyakit mental (yang akhirnya atas desakan golongan tersebut juga klasifikasi yang telah disepakati terpaksa ditarik balik), mereka bersikap militan dalam menuntut penamatan pengharaman gereja gay dan berkahwin semasa jenis, dan mereka juga bersikap militan menuntut hak untuk menyatakan bahawa gaya kehidupan songsang mereka adalah ‘hebat’.

Tetapi yang lebih membimbangkan ialah antara perkara akhir yang disebut di dalam rencana Newsweek tersebut yang menceritakan tentang usaha mempromosi gaya kehidupan mereka. Rencana tersebut menyebut, "To supporters of gay liberation, marching in the streets and holding hands in public are only minor gestures of assertion. They are picketing the Pentagon, testifying at government hearings on discrimination, appearing on TV talk shows, lecturing to Rotary Clubs, organizing their own churches and social organizations and, perhaps most important of all, using their real names.”

Pada hakikatnya mereka yang mempromosi kehidupan songsang masyarakat gay, yang terangkum dalam istilah popular mutakhir ini sebagai LGBTIQ, akan sentiasa mencari ruang untuk menuntut hak mereka atas nama pembebasan atau liberation.

Ternyata manipulasi golongan LGBTIQ ini sudah mula cuba menzahirkan pengaruh mereka melalui siri-siri demonstrasi Bersih di Malaysia.

Kekhuatiran penulis menjadi semakin bertambah apabila wujud bukti-bukti bergambar semasa perhimpunan Bersih 5 baru-baru ini yang menunjukkan penglibatan segolongan penunjuk perasaan yang mempromosikan hak-hak LGBTIQ. Kewujudan golongan ini tidak pernah dinafikan penganjur Bersih 5, malah tindakan mereka membawa sepanduk yang mempromosi hak-hak gaya hidup songsang tidak mendapat teguran daripada para peserta demonstrasi Bersih 5, apatah lagi pemimpin Bersih 5 dan mereka yang mendukung gerakan tersebut.

Apakah ini menunjukkan wujud agenda tersembunyi dalam kalangan pendukung Bersih 5 untuk turut memperjuangkan hak-hak LGBTIQ di sebalik kononnya tuntutan ‘membersihkan’ pilihan raya? Adakah penganjur Bersih 5 sedar atau secara sengaja membiarkan golongan militan ini (meminjam istilah Newsweek) untuk bermaharajalela yang akhirnya akan menyebabkan agenda mereka menguasai negara ini?

Pernahkah kita mendengar penganjur Bersih 5 menyesali dan memohon maaf kepada para peserta demonstrasi tersebut atas keterlibatan golongan LGBTIQ ini di dalam perhimpunan mereka? Persoalan-persoalan seumpama ini perlu dijawab penganjur Bersih 5.

Penulis pasti penganjur Bersih 5 juga sedar akan bahaya golongan militan ini yang boleh mengakibatkan runtuhnya nilai-nilai tata sosial masyarakat Malaysia sebagai sebuah negara yang berpegang pada Islam sebagai agama persekutuan, sebagaimana termaktub pada fasal 3(1) Perlembagaan Persekutuan, dan kepelbagaian kaum serta penganut agama lain dalam masyarakat Malaysia, menolak gaya kehidupan songsang yang dipromosi tamadun Barat yang saban hari semakin runtuh.

Malah, jika diperhatikan akhir-akhir ini, kejayaan golongan LGBTIQ melobi hak-hak mereka telah menyebabkan Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHRC) menyetujui suatu resolusi yang melantik Profesor Vitit Muntarbhorn sebagai Pakar Bebas mereka untuk menjamin hak-hak SOGI (Identiti Gender dan Orientasi Seksual), iaitu hak-hak yang sebenarnya tidak pernah wujud mahupun diiktiraf mana-mana negara anggota PBB pada awal pengisytiharan hak asasi manusia PBB pada 1948.

Pada zahirnya mungkin nampak mereka mahu memperjuangkan hak kebebasan bersuara dan berhimpun. Mereka ditaja badan-badan antarabangsa yang mahu mempromosi LGBTIQ sebagai satu cara hidup, seperti yang didedahkan Washington Times di dalam rencana bertajuk "The money behind the transgender movement" bertarikh 11 Ogos 2016 iaitu berkenaan peranan bilionair George Soros yang menjadi sumber dana utama gerakan transgender di seluruh dunia.

Pada hakikatnya, wajarlah pihak kerajaan memantau gerakan Bersih yang akan terus berselindung di sebalik perjuangan demokrasi tetapi mempunyai pendirian samar tentang agenda LGBTIQ yang turut dipromosi semasa perhimpunan tersebut. Kita tidak mahu hak kebebasan berhimpun rakyat Malaysia menjadi mangsa manipulasi golongan militan ini sehingga akhirnya menyebabkan berleluasanya amalan hidup yang dilaknat Tuhan.

n PENULIS ialah peguam dan Ketua Eksekutif, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA)