Tambah biasiswa untuk pascasiswazah - Utusan Malaysia

Tambah biasiswa untuk pascasiswazah

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi sedang memperhalusi untuk membenarkan pelajar berpolitik. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, kita mendengar satu isu yang merisaukan iaitu pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu melanjutkan pengajian ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) kerana bimbang peluang kerja untuk para graduan yang semakin sukar didapati.

Begitu juga pelajar di peringkat prasiswazah yang tidak mahu melanjutkan pengajian di peringkat pascasiswazah kerana bimbang peluang pekerjaan semakin terhad di negara kita dan tidak mahu menambah beban hutang pembelajaran.

Oleh itu, kerajaan perlu memainkan peranan penting untuk mempertimbangkan bajet negara pada tahun-tahun akan datang bagi memperuntukkan biasiswa kepada pelajar pascasiswazah yang bakal mengambil pengajian di peringkat ijazah sarjana mahupun di peringkat ijazah kedoktoran (PhD).

Memperluaskan agihan dana dengan memperkenalkan biasiswa kepada para pelajar pascasiswazah sedikit sebanyak dapat membantu urusan pembayaran yuran pengajian dan mengurangkan beban perbelanjaan harian.

Biasiswa yang bakal diperkenalkan oleh kerajaan dalam bajet negara pada tahun-tahun akan datang nescaya boleh menjadi sebagai salah satu pemangkin semangat kepada pelajar yang bakal mengambil pengajian di peringkat ijazah sarjana dan di peringkat PhD.

Ini bagi membolehkan mereka terus fokus dalam menjalankan eksperimen, kajian lapangan serta penerbitan jurnal sehingga tamat pengajian.

Diharap dengan adanya biasiswa ini, ia mampu menarik minat dan menjadi pendorong ramai pelajar di peringkat prasiswazah untuk melanjutkan pengajian di peringkat pascasiswazah.

Harapan

Selain kerajaan, syarikat swasta dan IPT juga boleh memperuntukkan biasiswa kepada pelajar pascasiswazah bagi memberi sinar harapan kepada mereka.

Sekiranya terdapat syarikat swasta 22dan IPT yang menawarkan biasiswa, ini akan menjadi penyuntik semangat kepada mereka yang berharap supaya suatu hari nanti dapat berbakti semula kepada keluarga, universiti, masyarakat mahupun negara.

Perkara seperti ini juga memberi kelebihan kepada syarikat swasta dan IPT yang memberikan pinjaman atau biasiswa kepada pelajar pascasiswazah kerana ini merupakan suatu program yang dapat menaikkan nama dan imej mereka.

Justeru, dengan adanya peruntukan biasiswa oleh kerajaan, syarikat swasta dan IPT, ia dapat membantu melahirkan lebih ramai lagi modal insan yang cemerlang pada peringkat pengajian pascasiswazah.

Selain menjadi tenaga pengajar seperti pensyarah, lepasan pascasiswazah juga mungkin boleh terus bekerja di syarikat swasta yang telah mereka tandatangan kontrak biasiswa tersebut.

Perkara seperti ini adalah amat bagus kepada pelajar pascasiswazah kerana masa depan telah terjamin sekiranya mereka berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh telah ditetapkan.

Akhir sekali, dengan adanya peruntukan biasiswa ini, ia dapat membuka lebih banyak peluang kepada semua lapisan masyarakat yang ingin melanjutkan pengajian ke tahap lebih tinggi seperti di peringkat pascasiswazah.

Oleh itu, apabila banyak biasiswa disediakan, para pelajar perlu merebut peluang ini untuk memohonnya bagi membolehkan mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. – UTUSAN

AMIR ASHRAF SUHAIMI, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya