Hasrat ini dapat dicapai menerusi pengekalan dan pemuliharaan sumber manusia, pelaksanaan pembangunan seimbang dan terancang serta sistem pengurusan landskap yang berkesan sekali gus dapat mewujudkan masyarakat berdaya maju.

Namun usaha kerajaan tidak hanya memfokuskan kepada pembangunan dan penjagaan landskap semata-mata, tetapi mahu usaha itu dipertingkatkan khususnya melalui aktiviti promosi supaya orang ramai mengetahui manfaat dan fungsi taman-taman landskap di negara ini.

Bertepatan hasrat tersebut, Ja­­ba­­tan Landskap Negara (JLN) memperkenalkan aplikasi mudah alih yang dikenali sebagai MyUjana yang berperanan sebagai rujukan pengguna untuk mendapatkan lokasi dan maklumat taman-taman landskap.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Pengurusan Landskap) JLN, Meor Saadon Sofian Mior Razali, orang ramai boleh mengetahui lokasi taman-taman landskap berhampiran dengan hanya di hujung jari sahaja.

“Aplikasi MyUjana adalah kesinambungan Sistem Pengurusan Maklumat Landskap atau eLandskap yang diwujudkan bagi mencapai matlamat JLN dalam mempromosikan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti rekreasi di taman-taman awam.

“Pembangunan aplikasi ini adalah daripada sebahagian pelan strategik kerajaan dengan menggunapakai maklumat data sistem maklumat geografi (GIS)," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Jelas Meor Saadon Sofian, MyUjana yang dilancarkan pada 5 Mac lalu bersempena Hari Landskap Negara 2016 menggunakan teknologi sistem pengesan global (GPS) yang menyenaraikan taman-taman landskap berhampiran.

“Jika seseorang itu membuka MyUjana, aplikasi tersebut secara automatik akan menyenaraikan taman-taman rekreasi dan riadah berhampiran anda.

“Misalnya, jika anda kini di ­Putrajaya, MyUjana secara automatik dengan menggunakan GPS akan menyenaraikan taman berhampiran seperti Taman Botani, Taman Wetland dan Taman Saujana Hijau.

“Orang ramai kini tidak perlu mencari maklumat dengan melayari internet atau bertanyakan kepada masyarakat setempat ke­rana MyUjana menyediakan segala butiran taman-taman rekreasi berhampiran,” kata beliau.

Bukan sahaja menyenaraikan alamat lokasi taman-taman rekreasi, MyUjana memberi peluang kepada orang ramai untuk menyuarakan aduan dan pandangan de­ngan kemudahan taman rekreasi.

Meor Saadon Sofian menambah, MyUjana adalah satu platform terbaharu pihaknya untuk mendengar pandangan rakyat dan idea mereka tentang aspek yang perlu dipertingkatkan berkenaan kemudahan taman rekreasi.

“Usaha ini secara tidak langsung dapat memudahkan aduan orang ramai disalurkan kepada kerajaan sekali gus memberi kami untuk menyelesaikan perkara itu dengan segera,” kata beliau.

Walaupun baru dilancarkan, Meor Saadon Sofian mengakui terdapat beberapa ke­­kurangan terhadap MyUjana namun pihaknya akan melakukan penambahbaikan terhadap aplikasi berkenaan supaya dapat memenuhi keperluan dan kehendak rakyat.

Malah, katanya, JLN akan me­nambahkan beberapa fungsi da­lam MyUjana misalnya platform muat turun gambar.

Mengenai harapan JLN terhadap MyUjana, beliau mahu aplikasi itu dapat digunakan secara meluas di seluruh negara dan menjadi pemangkin kepada seluruh rakyat untuk terus berinteraksi, beriadah dan mengamalkan gaya hidup sihat.

“Kami dalam perancangan untuk bekerjasama dengan pihak Tourism Malaysia, Grabcar, Uber dan Malaysia Airport Holdings Berhad bagi mempromosikan MyUjana dalam aplikasi mereka supaya mereka mengetahui taman-taman rekreasi yang terdapat di negara ini.

“MyUjana kini boleh dimuat turun pada telefon pintar dan tablet menggunakan sistem operasi Apple iOS atau Google Android menerusi carian MyUjana,” katanya.